Tidak hairanlah sehingga ke hujung nyawa, Ratu Cantik Singapura 1951 itu masih mengekalkan penampilan segar dan bergaya, sama seperti masa muda di zaman popular filem-filem lakonannya di Studio Jalan Ampas, Singapura sehingga ke Studio Merdeka di Kuala Lumpur.

“Ya, itulah mummy kami. Sehingga ke saat-saat akhir, sehingga dia sakit sekalipun, dia kekal mahu bergaya dengan cantik. Dia tidak mahu dilihat orang lain dalam imej yang selekeh atau tidak berhias apabila keluar. Kesukaannya ialah topi dan rambut palsu dan dia selalu meminta kami membelikannya dua benda itu jika pergi ke luar negara.

“Seminggu sebelum meninggal dunia, dia ada minta untuk dibeli­kan sebuah beg tangan berwarna putih. Dan adik saya, Melissa ada membelikannya. Arwah cukup gembira apabila menerima pemberian itu,” cerita anak Allahyarham, Siti Haslinda Syed Hamid atau panggilannya Shasha.

Seniwati kelahiran Studio Jalan Ampas itu meninggal dunia pada pukul 7.32 petang Selasa di rumah Shasha di Sentul, Kuala Lumpur. Jenazahnya dikebumikan sekitar pukul 11 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur bersebelahan dengan pusara adiknya, Allahyarham Puan Sri Saloma dan berhadapan dengan pusara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kesihatan Allahyarham Maria­ni yang disahkan menghidap kanser usus tahun lalu terjejas teruk semenjak seminggu lalu sebelum koma sekitar pukul 4 petang kelmarin.

Dua belas daripada 13 anaknya termasuk yang menetap di Singapura ada di sisi ketika Maria­ni menghembus­kan nafas terakhir. Hanya anak sulungnya, Noraini Darus yang berada di Indonesia tidak ada bersama, namun dia juga bergegas kembali ke tanah air sejurus mendengar perkhabaran tentang kehilangan ibu tercinta.

“Syukur kepada Allah, hampir semua anak sempat bersama-sama, mengaji dan memberikan ciuman terakhir ke pipi sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. Selain itu, kami adik-beradik merasa begitu lega kerana berjaya melaksanakan tiga permintaan utama arwah mummy.

“Pertama, dia mahu meninggal di depan anak-anak, kedua meninggal di rumah sendiri dan ketiganya, dia mahu pergi dalam keadaan yang tenang. Ketiga-tiga permintaan terakhir mummy berjaya dilaksanakan,” katanya lagi.

Dalam detik-detik terakhirnya, Mariani turut sempat menyampaikan salam dan meminta maaf kepada semua menantunya yang sebelum ini banyak membantu menguruskan dirinya.

“Apabila ditanya, kenapa hendak minta maaf? Arwah mummy menjawab, dia perlu minta maaf sebab selama ini sudah banyak menyusahkan anak-anak dan menantu, selepas dia sakit,” kata Shasha lagi.

Sementara itu, seorang lagi anak arwah, Normah Darus sedang dalam proses pembikinan buku khas bagi mengenang seniwati terkenal ini. Buku yang bakal diterbitkan dalam dua edisi bahasa Malaysia dan Inggeris itu adalah idea Allahyarham sendiri yang begitu bersemangat untuk berkongsi kisah-kisah peribadinya bermula dari muda hingga ke hujung usia, mengabdikan diri kepada dunia seni.

Lahir pada 20 April 1933 di Tanjung Pagar Singapura, Mariani ialah antara seniwati Melayu popular hampir sebaris dengan adiknya biduanita Puan Sri Saloma, selain menerima gelaran sebagai seniwati paling cantik bergaya sewaktu ke­gemilangan Studio Jalan Ampas.

Bercita-cita menjadi seorang doktor, Mariani berjaya dipujuk oleh Saloma untuk mencuba nasib dalam bidang lakonan. Kerjaya seninya bermula selepas memenangi pertandingan Ratu Cantik Singapura pada 1951 ketika berusia 17 tahun dan mendapat jolokan wanita tercantik di negara seberang tambak ketika itu.

Filem pertama lakonannya ialah Chemburu arahan S. Ramanathan pada 1952. Filem lain yang menampilkan arwah termasuk Istana Impian, Kembali Seorang, Labu Labi, Nasib Labu-Labi dan Tiga Abdul, di samping filem-filem terbitan Studio Merdeka, Kuala Lumpur adalah seperti Masam-masam Manis dan Putus Sudah Kasih Sayang.

TRIVIA

> Mariani ialah Ratu Cantik Singapura 1951.

> Berkahwin tiga kali dan melahirkan 13 anak. Anak kelapan hingga ke-12 adalah lelaki.

> Mr. Perfect penampilan terakhir dalam drama.