Tahap kesihatan yang buruk akan menyebabkan wakil rakyat tidak dapat melakukan tugas de­ngan baik sehingga akhirnya membebankan rakyat. Kata Subramaniam yang juga Presiden MIC: “Saya nasihatkan agar calon yang mempunyai masalah kesihatan lebih baik tampil memaklumkan kepada perdana menteri menolak tawaran menjadi calon atas faktor kesihatan,”. Itu berkaitan dengan sihat tubuh badan, sihat tanpa penyakit yang memudaratkan. Usia bukan faktor penentu untuk seseorang itu layak menjadi calon. Apa kaitan sihat dengan tua dan muda? Orang tua yang sihat, masih mampu bekerja dan turun padang menemui rakyat adalah lebih baik berbanding orang muda yang jarang mendampingi rakyat atau hanya turun ke bawah apabila memerlukan rakyat.

Alangkah baik jika orang muda yang masih sihat sanggup bekerja tanpa mengira kedudukan dan masa serta kerap mendampingi rakyat, bukan hanya menjelang PRU. Namun sekadar sihat tubuh badan juga belum menjamin tugas wakil rakyat berjalan lancar. Selain kesihatan, ada halangan lain yang menyebabkan wakil rakyat terganggu atau tidak mampu menjalankan tanggungjawab. Mereka sihat tubuh badan tetapi ‘tidak sihat’ dalam aspek lain.

Sihat bukan setakat membawa maksud tidak ada sebarang pe­nyakit. Maksudnya boleh diperluaskan kepada sesuatu keadaan yang baik, berjalan lancar, masuk akal, tidak menimbulkan keburukan dan sebagainya. Kita biasa mendengar ayat yang dikaitkan dengan sihat seperti fikiran yang sihat, persaingan yang sihat, amalan yang sihat, Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, gejala tidak sihat dan pelbagai lagi. Maka eloklah sihat ini diperluaskan lagi dalam kalangan bakal calon PRU, bukan setakat aspek kesihatan tubuh badan. Makna­nya, tidak terlibat dengan gejala tidak sihat seperti ketagihan dadah, rasuah, salah laku moral dan macam-macam lagi.

Dalam politik, tidak dinafikan ada ketika musuh boleh menjadi kawan tetapi untuk meningkat naik, ada juga yang sanggup mencari silap orang yang dimusuhi atau menjadi saingannya. Ibarat pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk.Kadang-kadang jika hasad dengki ada dalam hati seseorang pelbagai usaha akan dilakukan untuk menyelak segala kelemahan yang ada. Menjelang PRU, akibat fikiran yang tidak sihat, akan ada orang yang akan membongkar keburukan sekali pun sekadar ‘kudis’ atau ‘parut kecil’. Jangan sangka rakan keliling tidak memerhati anda. Ada saja yang boleh dijadikan ‘peluru’ untuk menyerang. Apa yang penting bagi musuh ini adalah untuk menjejaskan kredibiliti calon supaya peluang untuk dicalonkan terjejas dan jika di­pilih, mungkin menjejaskan peluang untuk menang. Kadang-kadang kerana anda berkereta besar atau berumah besar, ada pihak yang cemburu. Bukan setakat di gelanggang politik tetapi dalam kalangan rakan-rakan atau keluarga. Silap haribulan, boleh sampai ke pengetahuan ketua jabatan atau bos syarikat, mungkin juga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pelbagai lagi.

Biasanya disebabkan perasaan cemburu dan hasad dengki, pengadu tanpa usul periksa dan menyelidik latar belakang isu akan membuat laporan. Contohnya jika anda sebagai bakal calon mempunyai kereta mewah berjenama tetapi melihat dengan mata kasar, anda berkeupayaan untuk memilikinya. Tanpa usul periksa, orang yang membuat aduan itu tidak perasan bahawa itu adalah kereta kereta terpakai (second hand) yang menggunakan plat terkini! Begitu juga ada yang berumah besar tetapi pemiliknya hanya ada sebuah kereta lama yang tidak bertukar ganti berbanding orang lain asal keluar kereta baharu akan bertukar ganti. Hal sebegini mungkin tidak disedari tetapi perkara kecil beginilah yang menyebabkan musuh akan mencari jalan untuk menggagalkan seseorang itu dipilih sebagai calon. Keadaan inilah yang menyebabkan calon wakil rakyat perlu benar-benar ‘sihat’ bukan setakat sihat tubuh badan, mental dan fizikal.

Hari ini dalam era maklumat di hujung jari, sebaran fitnah atau berita palsu begitu pantas, bukan lagi mulut ke mulut tetapi di alam maya. Pelbagai salah laku, malahan sehingga berkaitan peribadi calon akan menjadi bahan kempen. Bayangkan dalam tempoh 14 hari untuk menghadapi segala fitnah (jika benar-benar fitnah) itu. Eloklah calon-calon yang bakal dipilih atau sudah terpilih me­nyemak semula ‘peribadi’ mereka supaya apabila tiba hari penentuan, mereka tidak akan menimbulkan masalah atau menyulitkan parti. Jika ada pun isu yang terpalit, biarlah ia boleh diperjelaskan tanpa menjejaskan peluang untuk bertanding. Ingatlah, walaupun kebanyakan calon yang akan menghadapi kempen PRU ini terdiri daripada orang Melayu Islam tetapi ada kalangan orang politik yang ‘tidak sihat’ sehingga tidak mampu berkempen dengan semangat ihsan, menggunakan akal fikiran tanpa mendedahkan keaiban orang. Tidak ada manusia yang sempurna kehidupannya. Sedikit sebanyak pasti ada kesilapan tetapi biarlah dengan bukti kukuh, bukan sekadar bercakap kosong. Sesiapa pun boleh membuat tuduhan dan dakwaan tetapi sejauh mana ianya berasas?

Bertandinglah dalam suasana demokrasi yang diizinkan. Bentangkan perancangan untuk rak­yat sekiranya berkuasa bukannya ghairah mendedahkan keburukan orang yang tidak dapat dibuktikan. Di samping memenuhi kriteria ‘sihat’ yang meliputi pelbagai aspek itu, parti-parti politik sudah tentu akan turut mengambil kira penerimaan masyarakat terhadap calon berkenaan. Tidak ada maknanya jika calon yang dipilih hanya digemari pemimpin bahagian atau negeri tetapi sukar diterima secara keseluruhannya di kawasan berkenaan. Situasi inilah yang kadang-kadang berlaku dalam pilihan raya sehingga calon yang dipilih kecundang.

Seluruh jentera parti juga perlu ‘sihat’ supaya segala masalah dalaman diatasi serta tidak mengganggu kempen pilihan raya. Pimpinan di semua peringkat parti juga perlu bersedia menerima calon pilihan. Mereka harus bersama bagai aur dengan tebing, seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, bukan menjadi enau di dalam belukar sehingga akhirnya menang jadi arang, kalah jadi abu. Begitu juga dengan pengundi. Mereka perlu ‘sihat’ dalam membuat pilihan. Hargai hak mengundi supaya pilihan di peti undi jangan sampai memudaratkan.