Bercakap berdegar-degar kononnya ‘tahu segala benda’. Padahal sehingga hari ini pun DAP masih belum mampu selesaikan isu pemilihan partinya yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013. Paparan 10 siri oleh wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.

 

UNTUK Penasihat DAP, Lim Kit Siang sahaja sejak tahun 1969 lagi hingga sekarang, dia telah bertanding banyak kawasan berbeza dalam pilihan raya. Lima negeri, tujuh kerusi Parlimen dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dijelajahi veteran DAP berusia 76 tahun ini.

Setiap kali masuk musim pilihan raya umum (PRU), Kit Siang mula sibuklah menjengah kawasan baharu untuk ditandingi­nya. Khabarnya cerita untuk PRU-14 nanti, Kedah dan pangkalan lamanya, Pulau Pinang menjadi sasarannya.

Mungkin Kit Siang cukup maklum dan mengerti penyokong Cina DAP tidak bersifat ‘kedaerahan’. Sebaliknya terarah ‘federalisme’. Dari aspek memahami psikologi penyokong tegarnya, Kit Siang mungkin menang.

Percaturan DAP dengan meletakkan calon-calon ‘payung terjun’ atau paracut yang kononnya lebih ‘berwibawa dan menyerlah’ kelihatan seperti satu strategi bijak. Tetapi realitinya, ia sama sekali tidak dapat diterima para pengundi di kawasan terlibat.

Hakikatnya juga, tradisi membawa calon-calon luar bertanding ke kawasan di negeri lain bukanlah asing pada calon-calon pembangkang. Lihat sahajalah PKR, sekutu DAP di mana presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak semena-mena bertanding di DUN Kajang biarpun tumpuan sepatutnya dilebihkan di Parlimen Permatang Pauh - lebih 300 kilometer jarak antara dua kawasan berkenaan.

Seorang pemimpin veteran DAP yang pernah berpindah parti ketika diminta mengulas perkembangan itu kepada akhbar ini semalam, menganggap tindakan itu dibuat kerana para pemimpin DAP yang berkuasa mahu meneruskan jangka hayat hidup politik masing-masing dengan bertanding pada pilihan raya. Namun, mereka bertanding pun bukan di sebarangan kawasan. Tetapi mencari kawasan yang selamat atau kubu tradisi DAP yang menjadi pilihan mereka.

Lihat sahajalah Kit Siang yang tidak nampak gusar pun berdepan dengan Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Parlimen Gelang Patah. Ini kerana Kit Siang sudah membuat kajian sebelum masuk gelanggang dengan sejumlah besar pengundi Cina di belakangnya. Kit Siang menang besar meraih majoriti 14,762 undi menundukkan heavyweight Abdul Ghani.

Malangnya setelah menang di Gelang Patah, rakyat di situ dapat melihat dengan mata kepala sendiri berapa kerapkah kehadiran Kit Siang di kawasan itu untuk menyelesaikan permasalahan pengundi. Kadang kala kehadirannya hanya untuk memberikan penerangan isu nasional yang ditentang oleh parti itu. Dan bukannya untuk menyelami permasalahan rakyat.

Januari lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai Tiong Lai berkata, tidak menghairankan jika Kit Siang berpindah ke kawasan lain kerana sifat semulajadinya suka lari dari tanggungjawab.

“Lim Kit Siang, kita tahu dia selalu lari daripada kawasan ke kawasan. Itu memang cara dia untuk mengelak daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau. (Sebelum ini bertanding) Beliau daripada Melaka sampai ke Pulau Pinang, kemudian pergi ke Ipoh, dari Ipoh pergi ke Johor, (lepas ini) tak tahu ke mana (dia) nak pergi lagilah,” kata beliau.

Bagaimanapun, Tiong Lai memberitahu, hal itu bukanlah sesuatu yang pelik. Ini kerana semua kuasa DAP pada hakikatnya terletak di tangan Kit Siang walau apapun jawatan yang ­disandangnya.

“Dalam DAP yang ada hanya Lim Kit Siang dan anaknya (Lim Guan Eng) Sdn. Bhd. Ia satu syarikat bapa dan anak. (DAP) bukan parti. Kalau kita tengok parti, MCA sudah tukar presiden 10 orang. (Tetapi) Lim Kit Siang (dalam DAP) hanya seorang sahaja, sejak parti itu wujud sampai sekarang. Apabila dia (Kit Siang) jadi Pengerusi (DAP), dia yang paling berkuasa. Apabila dia jadi Setiausaha Agung (DAP), dia yang paling berkuasa. Sekarang, dia (Kit Siang) tidak memegang Setiausaha Agung atau Pengerusi, dia hanya jadi penasihat, (tetapi) dia juga yang paling berkuasa,”katanya.

Hakikatnya Kit Siang tidaklah sehebat mana pun.

Kalau benarlah dia ‘hebat’ dan ma­hu me­nyerlahkan sifat ‘persekutuan’nya, kenapa hanya bertanding di kawasan majoriti Cina? Mengapa tidak di kawasan pengundi bercampur (50-50 pengundi Cina dan Melayu).

Masuklah gelanggang Parlimen Putrajaya, Pekan, Bagan Datuk atau Bera kah? Kalau kata takut kalah, tidak yakinkah pada jentera DAP di situ?

Dahulu semasa bersaing di kawasan pengundi bercampur, DAP serahkan tanggungjawab memancing undi kepada sekutunya PKR belaka. Dan PKR pula bergantung kepada jentera Pas? Tapi bila Pas enggan tunduk kembali ke pakatan harapan, DAP singkirkan Pas dan berpaling pula ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Alasan Kit Siang sebelum ini dari gelagat ‘pindah-randah’ bertanding kononnya ‘sebagai satu strategi kerana DAP mahu mengadakan gerakan berbentuk politik di seluruh negara bagi membangkitkan kesedaran rak­yat’.

Ungkapan itu mudahlah diluahkan demi agenda peribadi. Tapi bagaimana nasib pengundi untuk mendapatkan khidmat wakil rakyat mereka? Takkanlah pengundi Cina di Gelang Patah misalnya masih mengharapkan menteri Pusat membantu mereka. Namun bila mengundi, calon MCA dan Gerakan disingkirkan.