Cakap jelas ini, boleh dikatakan cara menyampaikan mesej menggunakan ayat mudah dan pendek supaya pantas difahami orang. Tidak semestinya lantang. Elakkan menjadi lancang.

Begitu juga Merrepak. Apa benda makna Merrepak ini? Merrepak adalah bahasa Melayu Sarawak yang maknanya bersamaan dengan membebel. Kadang-kadang Merrepak berbunga-bunga, mesej tidak difahami.

Jadi hari ini kita Merrepak secara lain sedikit. Hari ini kita cakap terus-terang sajalah.

Bila anda sudah 'kena sound’ untuk memulangkan pemberian orang, elok pulangkan sahajalah. Bukan kerana dia buruk siku tetapi kerana awak tidak mengerti etika menjaga pemberiannya. Bila awak buat salah, kenapa dia pula terpalit sama. Jadi cara terbaik, pulangkan saja. Oh tidak mahu? Terus-terang sajalah orang lain pun buat salah tapi buat tidak kisah.

2 Individu ini meletak jawatan dengan alasan tidak sealiran dengan hala tuju organisasinya dalam isu-isu semasa. Bunyinya sungguh murni, berani dan pasti syahid. Itu alasan sahaja. Perlahan-lahan dia sendiri membuka pekungnya. Tindakannya meletak jawatan lebih didorong kepada fahaman politik. Bukan kerana prinsip keadilan atau kebebasan. Semua kita termakan pembohongannya. Terus-terang sajalah dia berhenti kerja kerana menyokong aliran politik berlainan. Itu saja.

Rakan sepejabat yang telah melepaskan jawatan, menggunakan Facebook untuk menyerang syarikat tempat anda masih bekerja. Dia tidak gaduh dengan kita tetapi dengan pihak pengurusan. Kita pun terus-terang kepada dia, berhentilah. Tolonglah hormat dan jagalah perasaan kami yang masih mencari pendapatan di syarikat ini. Terus-terang sajalah, awak bolehlah berhenti sebab bapa mentua awak kaya-raya.

Anda yakin kaedah pemasaran menggunakan media sosial pasti melariskan produk jualan anda. Di sebalik memaparkan kelebihan produk, anda tonjolkan diri sendiri dengan propaganda mengenai kemewahan dan lawatan anda ke luar negara. Tidak mengapa sebab dalam konteks sains komunikasi, ia suatu kaedah positif juga demi melariskan jualan. Tetapi janganlah cepat sangat melenting bila anda menerima kritikan-kritikan netizen kerana anda sememangnya bergelumang dengan media sosial, maka itulah audiens anda. Terus-terang sajalah bahawa setakat itu sajalah mentaliti anda.

5 Kenapa kerap sungguh berita ekonomi negara positif dipaparkan di dalam media massa? Ia penting untuk memberitahu semua orang, terutama pelabur dalam dan luar negara bahawa iklim dan kesihatan ekonomi negara adalah sesuai untuk mereka meneruskan atau menambah pelaburan. Masalahnya, Pak Ali tidak mengerti semua itu bila terpaksa membayar mahal untuk ikan di pasar. Takkan hendak berhenti makan ikan pula! Terus-terang sajalah strategi komunikasi anda harus ditukar.

6 Sekian lama awak merungut mengenai keadaan ekonomi negara yang teruk. Betul. Tiada salah. Saham berprestasi sederhana. Tukaran mata wang meruncing. Tetapi sekarang, sudah ada kemajuan. Ringgit berbanding dolar AS kini di paras RM3.95 berbanding dulu RM4.50. Tetapi masih juga merungut. Terus-terang sajalah, awak ini bukan merungut kerana ekonomi semata-mata tetapi bernafsu politik juga.

Ramai yang mempertikaikan kenyataan artis yang merungut mengenai kos hidup sekarang. Memanglah betul kata artis itu bahawa kos hidup sekarang sulit sebab itu tiket konsertnya berharga RM500 sekeping pun habis terjual semua. Apa kata jika artis itu sedia menurunkan harga tiket konsertnya kepada RM200 sekeping. Mungkin lebih ramai peminat veteran akan sanggup datang ke konsertnya. Terus-terang sajalah, turunkan harga tiket konsert tiada dalam agenda artis.

Sekarang musim menjelang pilihan raya. Ramai yang melobi untuk kekal dalam jawatan atau mahu jadi calon. Terus-teranglah sahajalah ya, sila ketengahkan calon muda bijak bistari dan seimbangkan nisbah wanita. Calon atau penyandang yang berusia 50 tahun ke atas tidak perlu diteruskan atau diperkenalkan. Ini masanya penggubal dasar dalam parti harus berani untuk berubah mengikut cita rasa Milenial.

9 Anda beritahu wakil akhbar bahawa syarikat anda tiada bajet untuk mengiklan tahun ini. Tetapi iklan syarikat anda dikesan pada akhbar bahasa Inggeris dan televisyen. Terus-terang sajalah syarikat anda tidak peduli pun hendak mengiklan. Dengan ini, wakil akhbar itu pun sama tidak akan peduli apa-apa kenyataan media atau jemputan dari syarikat anda sepanjang tahun ini. Terus-terang sajalah, janji awak hendak mengiklan tahun ini masih diingati dan akan dituntut.

10 Terus-terang sajalah bahawa awak tidak suka orang berterus-terang. Apatah lagi hujah Merrepak hari ini dibaca sebagai 'cenderung kepada sebelah pihak’. Tidak mengapa, jika itu pemahaman awak. Tetapi awak pasti menyoal kenapa isu-isu yang di ketengahkan di atas tidak menyebut nama secara terus-terang? Alahai. Nak terus-terang nescaya disaman. Terus-terang sajalah, memang saya tidak berapa berani (ketawa perlahan-lahan dengan mata memandang ke langit).