Bermula dengan gabungan yang dianggap belum sah ekoran belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), sehinggalah kepada pemilihan bakal Perdana Menteri, soal pengagihan kerusi untuk dipertandingkan dan terkini masih tercari-cari penentuan untuk menggunakan logo atau simbol bagi empat parti komponen menjadikannya sebagai identiti bersama pada PRU-14.

Sebelum ini, gabungan yang menamakan mereka sebagai Pakatan Harapan itu telah menyenaraikan nama-nama yang bakal dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika ditakdirkan memenangi PRU-14 nanti.

Namun, ‘riak pertikaian’ di belakang tabir terhadap senarai itu terus kedengaran. Masing-masing penyokong parti masih tertanya-tanya kenapa tokoh-tokoh tertentu dinamakan sebagai calon bakal Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri?

Bagi pembangkang, seolah-olah mereka membuat andaian mudah terhadap ‘daya fikir’ rak­yat Malaysia. Barangkali meng­anggap rakyat sedia mengikut apa saja kerenah dan isu yang dibawa oleh pihak pembangkang.

Umpamanya, dikatakan jawatan Perdana Menteri yang bakal disandang hanya sekadar tempoh dua tahun, sebelum kononnya akan diganti oleh seorang ‘tokoh’ yang masih dalam tahanan di penjara. Itu belum termasuk ada pemimpin yang kerap bertukar-tukar kawasan untuk bertanding pilihan raya.

Masing-masing penyokong parti juga masih tunggu dan lihat jumlah sebenar kerusi-kerusi yang diagihkan untuk calon-calon mereka tandingi. Ramai bimbang dengan nisbah terlalu berbeza, sehingga seolah-olah kelihatan ada parti yang mengi­damkan ‘dominasi’ dalam Pakatan Harapan dan terus ‘memiliki kuasa sebenar’ meskipun mungkin tidak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri jika memenangi PRU-14 nanti.

Justeru, tidak mustahil akan berlaku pertembungan sesama mereka di sesetengah kawasan tertentu. Sekali lagi, ini tidak menggambarkan kalangan mereka mampu memuktamadkan persetujuan dalam hal-hal pen­ting atas nama kesepakatan parti-parti gabungan.

Kecelaruan dan ketidaktentuan ini membuatkan mereka tiada masa untuk menyenaraikan apa kebaikan yang bakal mereka tawarkan kepada rakyat, berban­ding parti yang sedang menerajui pemerintahan negara ketika ini.

Benar, masih belum dikeluarkan manifesto pilihan raya, tetapi setidak-tidaknya harus pamerkan bayangan rangka dasar, program serta perancangan supaya rakyat dapat mula berfikir dan membezakan apa yang terbaik bagi mereka di antara yang dijanji dengan apa yang sedang mereka nikmati.

Saban waktu hanya persoalan dan kecaman ‘sama’ ditimbulkan. Perkara mengenai Perbada­nan Strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terus-terusan dijadikan ‘isu’. Seolah-olah tiada lagi isu lain untuk dimani­pulasikan di musim PRU-14 ini.

Sebaliknya, rakyat sudah men­dapat cukup penjelasan me­ngenai isu-isu yang dibangkitkan melalui saluran media rasmi kerajaan baik elektronik, cetak, mahu pun portal serta secara bersemuka. Pembangkang mungkin masih ‘bermimpi di siang hari’ jika menganggap rakyat masih belum mendapat maklumat jelas tentang hal-hal yang mereka jadikan isu.

Dalam masa sama, ada kala­ngan rakyat dari negeri-negeri di bawah pembangkang sendiri sudah bangkit mempersoalkan, “apalah sangat yang kerajaan negeri berjaya lakukan sejak beberapa tahun mereka memerintah, sama ada dari aspek pemba­ngunan dan jaminan keselesaan hidup rakyat?”

Sementara, pucuk pimpinan negara terus mengatur segala perancangan dan program baik jangka pendek, mahu pun jangka panjang demi kesejahteraan rak­yat. Malah prospek kemajuan dan kegemilangan hidup bagi gene­rasi muda hari ini turut terpamer megah dan meyakinkan melalui gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ertinya kerajaan terus konsisten dengan agenda memba­ngunkan negara dan kemakmuran rakyat, tanpa ‘menghiraukan’ sangat cemuhan, fitnah dan pro­paganda pembangkang bagi merencat keyakinan umum.

Cerita-cerita mengenai kejayaan kerajaan (government success stories) seperti lonjakan pertumbuhan ekonomi negara mencecah 5.9 peratus bagi tahun 2017 turut mengesahkan bahawa segala tohmahan buruk pembangkang terhadap pengurusan ekonomi dan kewangan negara jelas meleset.

Ditambahkan pula, banyak penarafan dunia terhadap beberapa aspek termasuk Malaysia sebagai negara yang meliputi segala ‘ke­terangkuman’ terbaik di Asia, iaitu sebuah negara yang mampu dan berkesan menyediakan segala kemudahan sosial untuk rakyat.

Segala ini semakin menyusutkan lagi cagaran pembangkang untuk meremehkan kerajaan dan menggugat keyakinan rakyat terhadap negara yang pesat membangun.

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.