Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

DUNIA pada hari ini mengalami krisis ber­darah dan pembunuhan kejam yang ­semakin berleluasa dan hal ini sering dihubungkan dengan kebangkitan golongan pelampau agama. Oleh kerana peristiwa kejam ini sering dikaitkan dengan ajaran agama, malah melibatkan semua agama besar di dunia ini, maka perhatian dan perdebatan dunia pada hari ini tidak lagi tertumpu kepada kepentingan ajaran agama kepada manusia, malah perdebatannya ialah apakah dalam zaman moden ini agama dan kepercayaan kepada Tuhan itu adalah satu keperluan bagi manusia? Apakah agama itu masih perlu dan relevan pada zaman ini?

Pada 9 Mac 2013, satu debat agung atau Big Debate telah berlangsung di London dengan tajuk Islam or Atheism, Which make more sense? (Islam dan golongan ateis - mana satukah yang lebih rasional?)

Perdebatan ini disertai oleh seorang ahli cosmologist Barat Profesor Lawrence M. Krauss dengan seorang pemikir Islam dari Asia Tengah, Hamza Andreas Tzortzis, yang menekankan pada masa kini perdebatan tidaklah lagi seharusnya berlaku di sekitar agama manakah yang lebih baik di antara agama dunia, malahan perdebatan pada hari ini seharusnya berkisar tentang siapakah di antara dua golongan manusia, iaitu orang mempercayai agama dan tidak mempercayai Tuhan (ateis) yang lebih relevan dengan perkembangan dunia moden ini.

Kecenderungan untuk me­negaskan bahawa golongan yang masih berpegang kepada agama sekarang ini tidak relevan lagi dengan perkembangan dan ­kesejahteraan manusia itulah sebenarnya yang mendorong kepada debat ini. Malahan pendebat yang mempertahankan golongan ateis lebih banyak membawakan contoh negatif golongan agama yang mencetuskan krisis, keganasan dan keruntuhan tamadun manusia pada masa kini di dalam dunia seluruhnya, meskipun hujahnya ini disanggah pendebat yang mempertahankan kelangsungan kepercayaan agama sebagai asas kemajuan dan tamadun manusia.

Sementara itu, satu perdebatan di antara seorang ahli sains, Leonard Mlodinow dengan seorang pemikir spiritual, Deepak Chopra yang mengandungi hujah-hujah yang kuat daripada kedua-dua world view masing-masing telah juga diadakan dan laporan perdebatan ini diterbitkan di dalam buku bertajuk Is God an Illusion? (Adakah Tuhan itu satu ilusi?).

Dalam keadaan ini, nampaknya manusia moden pada hari ini sedang berusaha supaya segala bentuk kepercayaan kepada Tuhan, dan komitmen generasi baharu kepada agama, haruslah dihapuskan sama sekali kerana mereka memberikan hujah bahawa agama, dan manusia yang mempercayainya, tidak lagi relevan dalam zaman ini, terutamanya dalam jangka masa satu atau dua dekad terakhir ini, ketika dunia menyaksikan krisis politik, ekonomi dan sosial, yang dicetuskan oleh pengikut agama.

Satu ulasan berita dalam akhbar The Sunday Telegraph pada 30 Jun 2013 mengutarakan komentar yang amat sinikal terhadap orang agama dan skandal yang berlaku dalam kalangan ketua agama Katholik, ketika seorang koresponden BBC, David Willey menulis tajuk The sins of Vatican dengan menegaskan bahawa “the sex and corruption scandals are growing at the heart of the Catholic Church” (Dosa-dosa Vatican). Skandal seks dan korupsi semakin meningkat di tengah-tengah pusat gereja Katholik. Malah beliau menambah “it was claimed that Roman priests had used prostitutes” (terdapat dakwaan yang mengatakan para paderi Roman telah menggunakan pelacur).

Di samping itu terdapat dalam pasaran sebuah buku ditulis bangsa Amerika Syarikat (AS), Fuller, memaparkan pandangan serta pengalamannya tentang permusuhan yang berlaku di antara Islam dan AS juga dunia Barat sehingga menimbulkan banyak krisis dan konfrontasi.

Buku itu bertajuk A World Without Islam (Dunia tanpa Islam) terbitan 2012. Hujah dan kupasannya nampak seimbang sepintas lalu, tetapi mentaliti orang AS amat jelas terbayang dalam tulisannya ini, yang mungkin juga ingin mengatakan dunia tanpa Islam akan menjadi lebih aman dan sejahtera.

Kita mungkin tidak dapat menjawab bagi pihak agama lain dalam arus perdebatan dan krisis pemikiran yang ditimbulkan ini. Namun untuk menjawab bagi pihak Islam, kita sendiri mungkin terperangkap dengan situasi dan peristiwa yang berlaku di dalam dunia Islam akhir-akhir ini, ketika gelombang permusuhan yang membawa kepada pertumpahan darah dan keganasan melampau, semakin melanda masyarakat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Turki, Somalia, Nigeria, Libya, Yemen dan lain-lain lagi, walaupun dapat dihujahkan bahawa kekejaman ini tidak sedikit pun berlandaskan ajaran agama.

Bagaimana pun model keharmonian dan keamanan haruslah ditonjolkan berdasarkan dunia kita di sebelah sini. Hingga kini, umat Melayu pada umumnya masih kuat berpegang kepada nilai-nilai universal Islam dalam dunia Melayu ini.

Para ilmuwan dan pemikir Melayu amat banyak terpengaruh dengan pengajaran yang diterima di Mekah, dan Al-Azhar yang amat berpengaruh itu. Para ulama agama, ahli Sufi dan para ilmuannya telah menyumbang kepada kemerdekaan negara, malah memberikan banyak panduan terhadap pengurusan sosial dan tata negara bagi negara kita yang berbilang kaum ini.

Oleh itu, langkah memperluaskan budaya dan sistem hidup yang harmoni dan kukuh dalam masyarakat negara dan rantau kita yang ditunjangi oleh bangsa Melayu haruslah dikembangkan dalam kepelbagaian saluran ke dalam masyarakat serantau dan antarabangsa, terutamanya dalam model penghayatan Islam dalam pelbagai aspek kehidupan ini kepada pemikiran dan tamadun Melayu itu sendiri yang dipengaruhi oleh ajaran Islam.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain