Bagi DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Pahang ke-15 pada 15 Mei lalu, beliau amat menyedari dan memahami cabaran dihadapi dalam melaksanakan tugas berkenaan.

Diberikan amanah selama dua tahun atau satu tempoh yang diperkenankan oleh istana Pahang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu positif mampu bekerjasama dengan Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat dan membantu memacu kemajuan negeri.

"Kita di Pahang pun ingin berkhidmat kepada rakyat dan di peringkat Persekutuan pun ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, demi rakyat saya ingat tiada masalah," katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. SHARIZA ABDULLAH , MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan jurufoto AHMAD ZAKKI JILAN di kediaman rasmi Menteri Besar di Kuantan, kelmarin.

Wan Rosdy, 60, yang mengambil alih teraju pentadbiran daripada Datuk Seri Adnan Yaakob yang 19 tahun memegang jawatan Menteri Besar, turut berkongsi pandangannya dalam mendepani cabaran dan ke mana hala tuju Pahang yang ingin dibawanya.

 

 

MINGGUAN: Rakyat mungkin belum mengenali Datuk. Siapa sebenarnya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini memegang jawatan Menteri Besar Pahang ke-15 ini?

WAN ROSDY: Saya sebenarnya anak kampung, menetap di kawasan pedalaman dan belajar di daerah Lipis. Saya melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara dalam bidang Diploma Pengajian Perdagangan. Selepas itu saya bekerja sekejap sebelum menyambung pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM). Maknanya, saya ini anak kampung yang duduk di Tanjung Gahai (Kuala Lipis). Infrastruktur langsung tiada pada waktu itu, membaca buku pakai pelita dan kena menaiki bot untuk ke sekolah serta ke bandar.

Pernah menjadi pegawai Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) dan Bernas, bagaimana Datuk Seri boleh terlibat dalam politik?

WAN ROSDY: Semasa bertugas dengan LPN sekejap kemudian dikorporatkan dan diswastakan, saya sedar bahawa saya boleh belajar, boleh buat diploma dan ijazah sebenarnya adalah disebabkan oleh kerajaan yang ada pada ketika itu yang menyediakan kemudahan pelajaran.

Sampai satu peringkat, saya terfikir untuk membalas semula jasa kerajaan dan dengan sendiri berasa terpanggil untuk berbuat demikian. Kebetulan pula bidang saya adalah Sains Kemasyarakatan pengkhususan Sains Politik.

Saya ada minat tetapi tidaklah begitu 'ambitious' dalam politik. Saya sekadar berminat, bila ada peluang saya suka balik kampung. Apabila ada program politik, saya akan turut serta tetapi tidak menonjolkan diri dan minat ada di situ.

Tetapi tanpa disangka saya telah diminta oleh banyak ahli politik setempat supaya melibatkan diri dalam politik. Ketika itu saya Pengurus Bernas dan Bernas tiada halangan sebab ia sektor swasta. Saya tidak boleh menolak sebab ramai yang minta saya turut serta dalam politik, mereka hanya mengatakan tunggu dapat persetujuan daripada saya.

Saya masa itu tiada masalah. Sudah berkerja, gaji pun sudah okey dan anak-anak pun sudah besar. Saya tidak menolak harapan rakan-rakan yang berada di kampung dalam bahagian Lipis ketika itu.

Apabila saya menceburkan diri dalam politik di peringkat bahagian, saya dapati ada penerimaan daripada masyarakat setempat dan ini dapat dibuktikan apabila saya telah diminta untuk bertanding jawatan.

Saya mendapat antara kedudukan paling tinggi dalam jawatan dan setiap kali ada pemilihan saya mendapat tempat tertinggi. Ekoran itu, saya turut serta dan bila saya menjadi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian, saya keluarkan pandangan, pendapat, tidak mendesak, mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan ketika itu.

Apabila sampai Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11), nama saya tanpa disangka-sangka disebut untuk menjadi calon. Oleh sebab minat itu ada dan saya pula tidak merancang untuk menjadi wakil rakyat, tidak bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa dan sebagainya, saya diminta untuk bertanding. Jadi, atas dasar tersebut saya menawarkan diri bertanding dalam PRU-11.

Difahamkan, Datuk Seri hanya mengetahui tentang pemilihan sebagai Menteri Besar pada sebelah pagi 15 Mei lalu sebelum pelantikan pada sebelah petangnya. Bagaimana Datuk Seri menerimanya?

WAN ROSDY: Penerimaan ini seperti mana saya menerima jawatan saya sebagai wakil rakyat, dicalonkan sebagai Exco kerajaan negeri dan ditawarkan sebagai Menteri Besar. Ketiga-tiga ini saya rasa sama sahaja. Maknanya, tidak disangka-sangka, saya serah kepada Allah SWT sebab kerja ini kita hendak berkhidmat. Maknanya kalau kita ditawarkan kita kena bekerja dan apabila mendapat berita, saya terima tanggungjawab ini dengan penuh amanah. Saya akan pikul tanggungjawab ini lebih-lebih lagi dalam keadaan landskap politik yang berubah ketika ini.

Bagaimana Datuk Seri melihat syarat pelantikan Menteri Besar selama dua tahun atau satu tempoh yang diperkenankan oleh istana Pahang?

WAN ROSDY: Saya ingat tempoh dua tahun ini bagus. Ini mungkin Pemangku Raja, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ingin lihat supaya kita ada stand of urgency. Maknanya, dalam masa dua tahun itu, you must do something, mungkinlah. Jadi bagi saya ini tidak ada masalah sebab kita semua ingin menawarkan diri untuk berkhidmat.

Apakah pendekatan atau acuan pentadbiran yang Datuk Seri mahu terapkan selepas menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob yang menjadi Menteri Besar sejak empat penggal lepas?

WAN ROSDY: Lebih kurang sama, untuk rakyat tetapi mungkin pendekatan berbeza dan sudah tentulah ada ruang-ruang untuk saya pertingkat dan perkemaskan lagi. Tetapi kita punya core business itu untuk rakyat, sama sahaja tidak lari tetapi cara itu mungkin berbeza sikit. Yang penting, matlamat sama, faedah dapat kepada rakyat, kita bantu rakyat dan beri kebajikan kepada rakyat.

Mengetuai Kerajaan Negeri Pahang pada saat berlakunya perubahan besar dalam landskap politik negara, apakah cabarannya?

WAN ROSDY: Saya ingat tiada cabaran yang besar sangat sebab rakyat sudah membuat pilihan dan kedua-dua pihak pun ingin berkhidmat kepada rakyat. Kita di Pahang pun ingin berkhidmat kepada rakyat dan di peringkat Persekutuan pun ingin memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, demi rakyat saya ingat tiada masalah.

Kalau Kerajaan Negeri Pahang minta sesuatu untuk rakyat, saya ingat Kerajaan Persekutuan tidak akan menghalang malah akan memberikan kerjasama yang baik.

Pentadbiran Datuk Seri mungkin berdepan kekangan termasuk dari segi kewangan kerana Pahang kini negeri berstatus pembangkang, bagaimana hendak menyerap cabaran ini?

WAN ROSDY: Saya tidak menafikan apabila di peringkat Persekutuan tidak sehaluan dengan negeri, maknanya kita ini pembangkang tetapi di negeri Pahang kita adalah kerajaan. Saya tidak fikir akan menimbulkan masalah yang begitu besar. Cuma untuk projek-projek besar, kerajaan negeri mungkin tidak ada kemampuan kewangan.

Namun dari segi untuk memberi kebajikan dan perkhidmatan yang kosnya tidak begitu banyak, tidak ada masalah. Saya sendiri insya-Allah akan memperkemaskan lagi kedudukan kewangan kerajaan negeri, kita juga akan melihat anak-anak syarikat kerajaan negeri dapat menyumbang kewangan kepada kerajaan negeri.

Saya harap mereka dapat meningkatkan kecekapan, mengurus kewangan dengan baik, mengelakkan pembaziran dan mencipta keuntungan yang lebih daripada sekarang.

Menyentuh mengenai UMNO, lazimnya Menteri Besar menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Negeri tetapi sehingga kini Datuk Seri Adnan masih menjalankan tugas berkenaan. Apakah Datuk Seri akan mengambil alih tugas ini?

WAN ROSDY: Di Pahang, semangat kerjasama kita ini macam keluarga. Saya sendiri sebenarnya, apabila Datuk Seri Adnan minta saya pegang jawatan tersebut, saya sendiri minta beliau pegang jawatan itu atas alasan saya ingin memberikan tumpuan, fokus kepada pentadbiran negeri. Dengan keadaan politik yang ada pada hari ini, kita kena komited dan bersungguh-sungguh.

Kalau saya Menteri Besar dan saya juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, agenda dan fokus saya terbahagi kepada dua. Keadaan politik pun tidak begitu tenteram dan sebagainya, saya rasa saya akan beri perkhidmatan yang kurang berkesan.

Kalau jika saya fokus kepada pentadbiran, Datuk Seri Adnan pegang jawatan Pengerusi Perhubungan, masing-masing memainkan peranan dan kita ada sinergi. Dalam erti kata lain, ia akan menjadi lebih berkesan. Tiada tempoh ditetapkan untuk jawatan itu kerana kita satu keluarga dan kita bekerja sebagai satu kumpulan.

Datuk Seri tidak bertanding untuk apa-apa jawatan tertinggi pada pemilihan UMNO kali ini. Mengapa mengambil keputusan ini?WAN ROSDY: Saya sendiri menawarkan diri untuk tidak bertanding Majlis Tertinggi kerana bagi saya untuk menjaga negeri lebih penting. Parti bukan tidak penting, tetapi ramai orang lain yang boleh jaga parti ini dan kita lihat di Pahang pun ramai yang hendak bertanding Majlis Tertinggi. Elok kita bagi peluang kepada rakan-rakan. Jadi, saya sendiri, saya tidak fikir banyak pun, saya sendiri rasa tidak perlu untuk saya bertanding sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO.