Dua rakyat Libya iaitu Abdel­baset al-Megrahi dan Lamin Kha­lifah Fhimah yang dipercayai terlibat dalam jenayah tersebut berjaya dibawa ke muka peng­adilan apabila pemimpin Libya ketika itu Muammar Gadaffi terpaksa akur dengan Resolusi 883 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) demi mengelak Libya dikenakan sekatan ekonomi.

Seperti yang diketahui hanya Megrahi disabitkan kesalahan de­ngan hukuman penjara selama 20 tahun dalam perbicaraan mahkamah khas di Belanda tetapi mengikut perundangan Scotland iaitu tempat kejadian jenayah tersebut.

Walaupun berhadapan dengan negara kecil seperti Libya, negara kuasa besar yang terkesan secara langsung daripada peristiwa pengeboman itu seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) menghadapi kesukaran mengenakan tekanan kepada Ga­daffi supaya mematuhi kehen­dak Resolusi 883.

Kesukaran untuk mensabitkan kesalahan dan juga percaturan geopolitik menyaksikan hanya dua individu berjaya dihadapkan ke mahkamah dan tidak keterlaluan jika dianggap amat mustahil hanya dua individu ini yang terlibat secara langsung dalam pengeboman tersebut.

Sementara itu, keputusan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) MH17 yang dianggotai oleh Belanda, Australia, Belgium, Ukraine dan Malaysia bersetuju supaya perbicaraan bukan sahaja dilakukan di Belanda tetapi mengikut peruntukkan perundangan negara tersebut adalah selari dengan strategi pendakwaan kes Pan Am 103.

Tetapi persamaan antara kes Pan Am 103 dan MH17 hanya selari setakat itu sahaja kerana dalam kes Pan Am 103 kesukaran yang dihadapi hanya berkait dengan negara kecil seperti Libya tetapi dalam hal MH17 pula rintangan yang dihadapi adalah lebih mencabar kerana terpaksa berhadapan dengan satu lagi kuasa besar iaitu Rusia.

Jika kes Pan Am 103 dengan Resolusi 883 berjaya memaksa Libya memberi kerjasama kepada UNSC begitu jua dengan kes MH17 juga mempunyai Resolusi 2166 yang antara lain menghendaki semua negara anggota PBB memberikan kerjasama terhadap siasatan kes tersebut.

Walaupun turut mengundi menyokong Resolusi 2166, te­tapi tingkah laku Rusia amat bertenta­ngan dengan hasrat resolusi tersebut kerana bukan sahaja mempertikaikan keputusan JIT yang menyiasat dari sudut jenayah tetapi juga memperlekeh­kan laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) pada Oktober 2016 yang mengesahkan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu jenis BUK.

Sebab itu juga ketika Malaysia menjadi ahli tidak tetap UNSC, Kuala Lumpur telah mengusul­kan resolusi pada Julai 2015 me­­ngenai penubuhan tribunal antarabangsa bagi menyiasat kes MH17 dan seperti yang diketahui Rusia telah menggunakan kuasa vetonya bagi menghalang pembentukan resolusi.

Kaedah tribunal disifatkan cara paling efektif untuk menongkah tentangan kuasa besar dalam memberi kerjasama kerana pada senario paling ekstrem, UNSC berhak mengambil tindakan ketenteraan terhadap pihak yang enggan memberi kerjasama.

Perlu dinyatakan sekali lagi mengapa Gadaffi terpaksa menyerahkan dua rakyatnya yang dikatakan terlibat dalam pengeboman Pan Am 103 adalah kerana peranan yang dimainkan oleh AS dan UK dalam memberi tekanan kepada pemimpin Libya tersebut.

Dalam kes MH17 pula tidak syak lagi Washington yang ketika itu diterajui oleh Presiden Barack Obama telah menggunakan isu tersebut sebagai modal percatur­an geopolitik dengan Kremlin.

Sebaik sahaja JIT mengumumkan keputusan untuk membicarakan kes MH17 mengikut perundangan Belanda, Jabatan Negara AS telah mengeluarkan ke­nyataan menyokong langkah tersebut. “Kami (AS) mempu­nyai keyakinan penuh terhadap keupayaan sistem perundangan negara tersebut (Belanda) untuk melakukan pendakwaan”, adalah antara kandungan kenyataan yang dikeluarkan.

Mengenai penglibatan Rusia, kenyataan Jabatan Negara AS turut menegaskan bahawa Wa­shington akur dengan keputusan JIT bahawa puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine yang bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu BUK.

Sokongan Jabatan Negara AS adalah selari dan konsisten sejak hari pertama peristiwa MH17 ditembak jatuh yang menjerumus kepada penglibatan Rusia. Tetapi kita perlu berwaspada ke­rana pentadbiran White House pada era Obama dan ketika ini Presiden Donald J. Trump dalam hal yang membabitkan Rusia adalah begitu jauh berbeza.

Trump sebagai salah seorang calon pemilihan presiden untuk Parti Republikan pada 2015 pernah menyatakan bahawa masih belum ada bukti kukuh yang boleh mensabitkan pembabitan Rusia atau pun Presiden Vladimir Putin dalam kes MH17 walhal pada ketika itu maklumat risikan menjurus kepada sebaliknya.

Selepas dipilih sebagai calon Parti Republikan untuk berhadap­an dengan Hillary Clinton sehi­nggalah hari ini, Trump tidak pernah menimbulkan isu MH17 dan kaitannya dengan Rusia. Me­mang benar banyak isu geopolitik antarabangsa Trump yang ti­dak konsisten dan semberono seperti mengenai China, tetapi dalam hal Rusia, Trump dari 2015 hingga sekarang seolah-olah cuba melindungi kepentingan Kremlin.

Memang benar masyarakat antarabangsa tidak boleh mengharapkan sangat Washington sebagai faktor tekanan terhadap Rusia untuk memaksa kerjasama Kremlin, tetapi hakikatnya adalah antara empat negara ahli tetap UNSC iaitu AS, UK, China dan Perancis, hanya Washington yang mempunyai kekuatan berhadapan dengan Kremlin.