Amat perlu kita memahami teras belanjawan itu sebagai berharmoni dengan kerangka maqasid syariah yang menjangkau semua urusan kehidupan dengan sasaran kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Ini bererti, kita perlu merungkai agenda kehidupan dalam kerangka al-Quran, sebagaimana perintah Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah apa yang Allah sediakan di alam akhirat (balasan dan kebahagiaan), tapi janganlah lupa nasib kalian daripada dunia (yakni amal perbuatan dan kenikmatan).” (Al-Qasas: 77).

Berdasarkan ayat ini, Allah memerintahkan agar pandangan alam dan prinsip hidup bermatlamatkan akhirat sebagai pra-syarat sebelum menekuni usaha dan menikmati habuan kehidupan duniawi. Gagasan akhirat mampu membersihkan urusan yang menyalahi etika kemanusiaan dan adab syariah seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penganiayaan, penipuan dan segala kemungkaran.

Seperti ungkapan hikmah para cendekiawan mengatakan “jika kita mengejar dunia, dunia akan lari lebih pantas dan kita akan kepenatan. Jika kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita”. Sesungguhnya, orang yang memahami ungkapan ini ialah orang yang telah menjiwai mafhum firman Allah tersebut. Merekalah yang te­lah mencapai Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.

Semua pihak perlu memastikan pembangunan inklusif dalam rentak revolusi perindustrian keempat. Umat Islam sewajarnya lebih peka dan bersedia kerana semua teknologi yang sedang pesat berkembang ini telah disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW antara lain memberi maksud bahawa suasana suatu zaman yang masanya menjadi singkat, jarak sudah menjadi dekat dan komunikasi pula menjadi le­bih rapat (berdasarkan hadis diriwayatkan oleh At-Tirmizi).

Seiring dengan kefahaman ini, semua sektor perlu mempersiapkan diri tidak kira dalam bidang ekonomi, sosial dan sebagainya. Suasana yang digambarkan telah memaksa manusia turut berevolusi dan tidak statik dengan pendekatan tradisi dalam kehidupan.

Namun, maksud pembaharuan dan pembangunan ini ditujukan kepada kaedah kehidupan yang diperbaharui, bukannya memperbaharui teras agama bersifat qat’ie (muktamad) dan tidak berubah.

Orang tua-tua selalu berpesan agar budaya sediakan payung sebelum hujan perlu sentiasa diamati, lebih-lebih lagi apabila membincangkan tentang revolusi teknologi.

Di samping manfaatnya yang banyak, impak teknologi dan globalisasi bakal menggandakan persaingan dan meluaskan capaian tanpa sempadan.

Malaysia yang dalam proses menangani isu pengangguran bakal dikejutkan dengan kehilangan beberapa jenis pekerjaan tradisi dalam bidang-bidang tertentu kerana digantikan dengan peranti, teknologi dan aplikasi pintar.

Pujian perlu diberikan kepada kerajaan yang peka terhadap nasib pemandu teksi dalam belanjawan 2018 de­ngan inisiatif geran RM5,000 dan e-hailing. Bukan setakat itu, malah negara juga wajar menubuhkan pasukan petugas khas mempelopori rangsangan membina aplikasi pintar dengan penglibatan langsung usahawan tempatan seperti mengadakan pertandingan membuat pendua teknologi pintar sedia ada.

Dilaporkan bahawa Monetary Authority of Singapore (MAS) sedang dalam proses membangunkan mata wang maya (wang kripto) sendiri ekoran dari perkembangan pasaran wang digital antarabangsa sebagai alternatif dan langkah strategik negara tersebut mempersiapkan diri menjadi hub-kewangan digital.

Landskap industri dan jenis pekerjaan sudah mula berubah.

Peluang pekerjaan tradisi bakal digantikan dengan jenis pekerjaan baru umpamanya keperluan kepada pembangun aplikasi pintar, jurutera program, mudah alih dan pakar teknologi.

Sehubungan itu, premis perniagaan juga tidak lagi diperlukan kerana urusniaga dilakukan secara atas talian tanpa halangan masa dan tempat. Premis pejabat, kaunter pelanggan dan perkhidmatan lepas jualan um­pamanya akan dilakukan secara maya.

Di masa hadapan, kehadiran teknologi pintar dalam pelbagai industri menyebabkan ekosistem ekonomi dan sosial turut berubah.

Urusan perbankan sekarang ini lebih mudah dilakukan secara atas talian kerana menjimatkan masa dan tenaga. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 11 aplikasi pintar teknowang (teknologi kewangan) telah mampu menggantikan enam kluster fungsi tradisi kewangan melibatkan insurans, deposit dan pinjaman, pembiayaan dana, pelaburan, provisi pasaran dan sistem pembayaran.

Kemudahan penggunaan teknologi ini jika tidak dihemati akan membawa bersamanya sampah sarap anasir buruk seperti aplikasi berbahaya serta boleh membawa kesan moral dan jenayah.

Pesan al-Quran dalam surah al-Baqarah, ayat 195 mafhumnya; “Berinfaqlah kalian ke jalan Allah dan jangan kalian jerumuskan diri kepada kemusnahan, berbuatlah baik kerana Allah menyukai orang yang berbuat kebaikan.”

Inisiatif dan peruntukan bajet kerajaan memerlukan sokongan semua pihak untuk merealisasikan kejayaannya. Semua pihak perlu menjalankan peranan masing-masing supaya aspirasi negara melalui belanjawan 2018 berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan, pengangguran, ketidaksamaan agihan, kos sara hidup dan menjamin kestabilan moral masyarakat.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).