Kuasa media sememangnya cukup besar. Impak media meresapi dalam segenap aspek kehidupan sama ada politik, ekonomi dan sosial. Meskipun media sosial semakin menjadi pilihan utama masyarakat, media tradisional iaitu media cetak dan media elektronik masih lagi relevan dan dirujuk oleh banyak pihak.

Apresiasi tinggi saya terhadap media bertitik tolak daripada satu faktor penting, iaitu pengalaman saya sebagai Setiausaha Akhbar Menteri atau SUA. Sebagai SUA, saya berpeluang meneroka hubungan istimewa dengan media, memahami tugas dan proses yang mereka lalui untuk menghasilkan satu-satu berita.

Peranan media ketika itu (juga sekarang) sangat kritikal kerana setiap dasar, polisi dan inisiatif oleh kementerian dan menteri perlu dijelaskan kepada rakyat. Dasar yang baik, jika tidak dapat dijelaskan oleh media atau kurang mendapat sokongan media, akan mewujudkan vakum yang boleh mengakibatkan salah faham dan kekaburan dalam kalangan masyarakat.

Media tidak semestinya menyokong membuta-tuli apa yang dilakukan oleh kerajaan dan kementerian. Kritikan dan teguran media juga penting untuk proses semak dan imbang kerana rakyat berhak mendapatkan yang terbaik. Namun kritikan dan teguran itu sama sekali tidak menjarakkan hubungan media kerana mereka hanyalah melaksanakan tugas. Justeru, kita tidak boleh menerima sekiranya ada SUA menyalahkan media kerana tidak berpuas hati dengan laporan yang diberikan kepada menteri mereka.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tindakan seorang SUA mendakwa media melakukan sabotaj kerana ucapan menteri yang tidak disiarkan secara langsung. Meskipun telah memohon maaf, tindakan beliau tidak wajar diulangi oleh SUA lain kerana media tidak bersalah dalam hal ini. Media terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dan ia adalah satu prosedur yang sekian lama dilaksanakan. SUA perlu tahu dan faham the rule of law.

SUA adalah jawatan yang tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Justeru, seperti penjawat awam lain, SUA perlu melunaskan tugas yang telah ditetapkan. Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2018, (Perjawatan dan Urusan Perkhidmatan di Pejabat Menteri dan Timbalan Perdana Menteri), SUA mempunyai akauntabiliti untuk memberi khidmat nasihat dan menyelaras sebarang isu berkaitan media melibatkan kementerian dan merancang serta menyelaras sebarang sesi media yang melibatkan menteri dan timbalan menteri bagi memastikan ia berjalan lancar dan teratur.

Tugas utama SUA adalah memberikan idea dan nasihat komunikasi strategik kepada menteri dan timbalan menteri berkaitan isu-isu kementerian dan hubungan media; mengendalikan isu perundangan dan bukan undang-undang yang mungkin disoal kepada menteri dan menyediakan cadangan jawapan kepada menteri dan timbalan menteri untuk pihak media massa jika terdapat percanggahan laporan atau isu-isu berkaitan.

Selain itu, menerima dan melaksanakan arahan secara langsung daripada menteri dan timbalan menteri berhubung isu kementerian, politik dan peribadi; menyelaras penyediaan teks ucapan/surat berita/kenyataan media/perutusan menteri dan timbalan menteri; menilai impak peristiwa semasa dan laporan media berkaitan menteri dan timbalan menteri, berperanan sebagai pegawai perhubungan antara menteri dan pihak media dengan menyelaraskan sesi sidang akhbar, temubual (wawancara), perutusan dan rakaman peristiwa menteri.

Berbanding Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang mendapat keutamaan liputan media, menteri pula perlu bersaing dalam kalangan menteri yang lain. Media perlu memilih nilai berita yang tertinggi. Maka di sinilah letaknya kepentingan faktor manusia iaitu hubungan menteri dan SUA dengan media.

Peranan SUA menjaga imej menteri sangat penting, lebih-lebih lagi menteri juga adalah seorang ahli politik. Perjalanan ahli politik sangat bergantung kepada media dan liputan yang diberikan kepadanya.

Akhir kata, tahniah kepada Kumpulan Utusan atas kejayaan menganjurkan majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan tahun ini. Tahniah juga kepada para pemenang atas pengiktirafan karya masing-masing.

PROF. MADYA DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Pengajian Tinggi.