Jumlah kelahiran hidup di Ma­laysia dicatatkan mencapai 521,136 orang pada 2015 dengan nisbah 52 peratus lelaki dan 48 peratus wanita (Jabatan Statistik Malaysia, 2016). Laporan ­penemuan utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 menunjukkan 65.5 peratus populasi adalah kategori reproduktif iaitu antara umur 15 hingga 59 tahun dan 60.9 peratus golongan wanita berstatus berkahwin.

Sejumlah 51 peratus daripada wanita adalah golongan bekerja dengan purata singulat umur perkahwinan adalah 26.2 tahun dalam kalangan wanita dan 29.3 tahun dalam kalangan lelaki (LPPKN 2016). Data dari Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan kadar kesuburan dicatatkan ­menurun dari 2.1 pada 2014 kepada 2.0 pada 2015. Ratio kematian ibu hamil adalah 22.7 untuk setiap 100,000 kelahiran hidup dan kadar kematian perinatal adalah 7.2 untuk setiap 1,000 kelahiran hidup (Kementerian Kesihatan 2016).

Berikutan lewat berkahwin, kesibukan kerjaya dan kadar ke­suburan yang menurun ini perancangan ke arah kehamilan selamat perlu bermula seawal peringkat perancangan perkahwinan. Tiada siapa yang mahu kehamilannya diakhiri tragedi. Wanita yang inginkan kehamilan selamat perlu merancang bersama pasangan untuk menentukan waktu sesuai dan perancangan bilangan anak yang diingini.

Perancangan kesihatan ini di­namakan penjagaan kesihatan pra-kehamilan dan disediakan di semua premis kesihatan kli­nik atau hospital untuk membolehkan pasangan melakukan ­saringan kesihatan dan rawatan jika perlu sebelum kehamilan bermula. Seorang ibu yang sihat dari segi mental fizikal, emosi dan sosial akan melalui masa kehamilan yang menyeronokkan dan proses kelahiran yang tiada komplikasi.

Kajian populasi yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum pada 2016 berkaitan kesihatan ibu dan anak menunjukkan wanita yang berisiko tinggi untuk kehamilan dengan kehadiran penyakit kronik seperti kencing manis, hipertensi, penyakit jantung dan paru-paru masih tidak secara ­keseluruhan mendapatkan jagaan kesihatan pra kehamilan ini. (Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan, 2017).

Mengenal pasti penyakit di pe­ringkat awal dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya sebelum kehamilan mampu menjamin kehamilan selamat. Amalan cara hidup sihat dan menangani stress secara berkesan, menge­lakkan diri dari pendedahan kepada toksiditi dari pencemaran udara, air dan makanan serta radiasi adalah sangat penting pada peringkat pra kehamilan.

Pemeriksaan antenatal keha­milan sebaik-baiknya perlu di­lakukan pada setiap bulan kehamilan sehingga tujuh bulan (28 minggu) dan diikuti dengan setiap dua minggu sehingga cukup bulan iaitu 37 minggu kehamilan dan setiap minggu hingga saat kelahiran.

Pada setiap kali lawatan klinik, ibu hamil perlu diperiksa bagi menentukan status kesihatan berdasarkan senarai semak dan pemeriksaan penyiasatan makmal atau ultrasound bila perlu. Rawatan dan rujukan kepada pakar di hospital jika perlu, akan dikendalikan oleh mereka berkemahiran untuk menanganinya berdasarkan garis panduan oleh Kementerian Kesihatan.

Perancangan tempat kelahiran dan teknik kelahiran perlu ditekankan dan tempahan di hospital yang akan menyambut kelahiran tersebut perlu dirancang bagi memastikan rekod kesihatan ibu tersedia jika berlaku kecemasan semasa proses kehamilan atau kelahiran. Tanpa penyaringan tahap pemeriksaan kesihatan yang teratur dan pengetahuan penjagaan kesihatan ibu semasa hamil yang sepatutnya boleh mengundang bahaya kepada ibu dan anak dalam kandungan.

Masalah kesihatan mental kepada ibu dilaporkan 1 dalam 12 orang ibu semasa post-natal mempunyai risiko kemurungan (Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan, 2017). Kemurungan boleh dikesan di peringkat awal semasa kehamilan lagi dan boleh dirujuk untuk rawatan sewajarnya bagi pencegahan.

Kajian di Malaysia menunjukkan masih terdapat ibu yang ingin memilih kelahiran secara natural tanpa menggunakan alatan dan ubatan. Kaedah secara natural ini boleh memudaratkan kesihatan pada ibu dan juga bayi jika tiada persediaan oleh pihak kesihatan yang sewajarnya kerana setiap ibu hamil yang melahirkan anak adalah umpama kiasan telur di hujung tanduk. Kelahiran tersekat, pendarahan banyak, jangkitan dan kelewatan bersalin yang mengakibatkan anak lemas adalah sangat berisiko dan memerlukan rawatan segera.

Oleh itu, pastikan setiap pasangan mendapatkan khidmat nasihat yang tepat dan berbincanglah dengan penyedia kesihatan da­lam perancangan kehamilan yang selamat. Peranan keluarga sa­ngat mempengaruhi dalam pemilihan dan peranca­ngan.

Data dari kajian populasi oleh LPPKN mendapati sejumlah 82% keluarga adalah didominasi oleh lelaki sebagai ketua keluarga (LPPKN 2016) yang kebanyakannya dari segi budaya akan membuat keputusan. Ketua keluarga juga perlu diberi pendedahan kepada keperluan untuk penjagaan kesihatan dalam masyarakat.

Cabaran kepada wanita be­kerja yang berkahwin menunjukkan 6.9 peratus berfungsi sebagai keluarga komuter. Sejumlah 18.7 peratus menyatakan masalah mengimbangi antara kerja dan keluarga dan sejumlah 13.7 peratus menyata­kan keperluan untuk majikan menyediakan waktu anjal. Oleh itu peranan pasangan, keluarga, masyarakat sekeliling dan tempat kerja yang sesuai turut menjamin kehamilan yang selamat di sam­ping fasiliti kesihatan sedia ada berhampiran.

Informasi kesihatan di hujung jari di zaman teknologi telefon pintar ini perlu dipraktikkan untuk mendapatkan sumber pendidikan kesihatan yang tepat dan bersesuaian. Berbincanglah dengan doktor atau penyedia kesihatan lain seperti jururawat kesihatan mengenai maklumat kesihatan yang tidak jelas.

Kesimpulannya, ibu yang ingin melahirkan anak yang sihat dan selamat bukan hanya terbatas kepada urusan dirinya sendiri sahaja. Komitmen dan tanggungjawab bersama dari pasangan, keluarga, majikan tempat kerja, masyarakat sekeliling dan penyedia kesihatan perlu ditekankan dalam negara kita yang membangun.

PROFESOR MADYA DR. ROSNAH SUTAN ialah Pensyarah Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).