Pemilihan kali ini bukan sahaja penting kepada mereka tetapi juga kepada UMNO secara keseluruhannya.

Mereka sudah pun menge­tahui siapa calonnya dan sudah tentulah dalam keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi pemerintah di peringkat Pusat dan terlepas cengkaman di Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Terengganu, selain Pulau Pinang, barisan kepemimpinan sayap perlu benar-benar ampuh untuk memastikan UMNO dan BN bangkit semula.

Tidak kiralah siapa pun yang terpilih, kemenangan yang dicapai bukanlah untuk diraikan apatah lagi menganggap ia sebagai platform untuk mencapai cita-cita politik peribadi, sebaliknya mereka yang terpilih tersebut hakikatnya diberikan mandat dan amanah cukup besar untuk memulihkan sokongan kepada parti.

Oleh itu, sebaik sahaja selesai pemilihan, pemimpin ketiga-tiga sayap itu perlu melakukan post mortem, bermuhasabah dan merancang strategi untuk memperkasakan kembali UMNO.

Kalau mahu dikaji dan de­ngan merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apa yang dialami oleh UMNO dan BN tidak boleh dipersalahkan kepada individu tertentu sahaja.

Kita tidak mahu lagi mende­ngar apatah lagi melihat bagaimana ada pemimpin sayap yang begitu mudah menyalahkan ke­pemimpinan tertinggi apabila parti mengalami kekalahan.

Bagi penulis, pemimpin seumpama ini boleh dianggap tidak bertanggungjawab apatah lagi jika beliau sendiri mempunyai jawatan penting dalam parti. Oleh itu, pemimpin baharu yang me­mimpin sayap perlu menghapuskan sikap ini. Mereka perlu mempunyai sikap untuk sama-sama bertanggungjawab sama ada ketika parti mencapai kemenangan atau mengalami kekalahan.

Kajilah kenapakah masih ada persepsi bahawa Pergerakan Pemuda UMNO bertaraf elit, fikirkanlah kenapa Wanita UMNO dianggap hanya tahu meminta jawatan dan kenapa Puteri UMNO ditafsirkan sekadar beretorik.

Mungkin tafsiran ini tidak benar, mungkin ia sekadar persepsi, tetapi persepsilah yang menghumban UMNO dan BN ke lembah kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya. Hakikatnya, ketiga-tiga sayap UMNO sama ada Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai tugas yang amat penting bagi meraih kembali sokongan rakyat khususnya orang Melayu kepada UMNO dan BN.

Bagi mencapai impian itu, kesemua mereka yang terpilih memegang jawatan dalam sayap-sayap tersebut perlu benar-benar berfungsi sama ada sebagai ­ketua, naib ketua, exco mahupun ahli jawatankuasa bahagian.

Pendekatan hanya menonjolkan individu tertentu dalam gerakan politik sudah tidak relevan lagi. Lihat sahaja sebelum ini, berapa ramai yang dilantik sebagai exco bagi ketiga-tiga sayap tetapi yang bersuara dan benar-benar berfungsi hanya individu tertentu sahaja.

Ketua-ketua sayap harus bergerak sebagai satu pasukan dengan naib ketua dan exco-exco, bukannya bergerak sendirian seolah-olah hanya dia sahaja yang memimpin sayap berkenaan.

Agenda memperkasakan parti perlu disusun dengan rapi dan teliti dengan mendengar suara ahli akar umbi yang pastinya kelompok paling dekat dengan rakyat. Janganlah melaksanakan program-program yang disifatkan ‘syok sendiri’ tetapi soko­ngan kepada parti entah ke mana.

Berikutan pencapaian UMNO dan BN dalam pilihan raya umum lalu, ketiga-tiga sayap kini benar-benar perlu memainkan peranan sebagai pendesak dan bukanlah dilihat sebagai ‘pak turut’ tetapi apabila parti kalah, macam-macam alasan diberikan.

Mereka perlu berani membuat teguran, kritikan dan me­lontarkan pandangan bagi memastikan UMNO kembali mendapat tempat di hati rakyat. Jika ada kelemahan di peringkat kepe­mimpinan induk, berilah teguran, janganlah berfikir untuk menjaga kedudukan semata-mata.

Dalam memastikan UMNO kembali bangkit dalam pilihan raya umum akan datang, parti itu tidak memerlukan kepemimpinan sayap yang dilihat ha­nya pelengkap organisasi sahaja, sebaliknya UMNO memerlukan satu barisan sayap yang benar-benar berfungsi mengukuhkan parti.

Ketiga-tiga sayap mempunyai tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, laksanakan mandat yang diberikan dengan berkesan. Ahli-ahli membuat keputusan memilih mereka dengan harapan yang besar.

Mereka mahu melihat UMNO pulih semula dan mengharapkan segala kelemahan yang ada diperbaiki. Justeru barisan kepemimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu memahami hakikat ini.

Dengan kekalahan yang dialami ketika pilihan raya umum lalu, banyak kerja yang perlu dilakukan bagi memulihkan keyakinan rakyat termasuklah anak muda kepada UMNO. Sama ada ia berjaya atau tidak segala-galanya bergantung kepada perancangan yang mereka lakukan.

Oleh itu adalah diharapkan, ketiga-tiga sayap UMNO tidak me­lakukan tindak tanduk politik yang boleh menjauhkan rakyat daripada parti itu. Buanglah sikap meminta-minta, hapuskanlah imej elit dan kikislah politik retorik.

Sebaliknya, aturlah agenda yang bertujuan meraih sokongan rakyat kepada UMNO. Banyakkan program turun bertemu rakyat dan sentiasa ke hadapan dalam memperjuangkan isu berkaitan rakyat.

Penulis percaya sesiapa pun yang terpilih menerajui kepe­mimpinan ketiga-tiga sayap ­itu memahami tanggungjawab berat yang terpikul di bahu mereka.

UMNO perlu bangkit dan diperkukuhkan semula, inilah ca­baran getir yang menanti.

Justeru laksanakan amanah yang diberikan dengan berkesan. Janganlah hanya pandai menawarkan diri untuk bertanding dan menagih sokongan tetapi apabila sudah dipilih, tanggungjawab dicampak entah ke mana.

Sesungguhnya masa depan UMNO turut terletak sejauh mana sayap-sayapnya berfungsi. Inilah hakikatnya.