Di Johor, negeri yang melahirkan UMNO, tetapi kalah mengejut pada 9 Mei lalu sekadar mengaut 19 daripada 56 kerusi DUN, lagilah getir cabarannya. Setelah tiga wakil rakyat UMNO keluar parti, komposisi terkini kerusi DUN berubah kepada BN/UMNO (16), Pakatan Harapan (36), Pas (satu) dan Bebas (tiga).

Bercakap dengan ketua pembangkang DUN Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga ADUN Benut ketika dihubungi penulis baru-baru, beliau menyuarakan kebimbangannya kepada akhbar ini, andai kata masih ada lagi orang UMNO yang berfikiran lama.

Yakni, masih nak balik macam dulu waktu berkuasa. Kononnya UMNO masih pegang rekod parti dominan - yang paling ba­nyak ke­rusi berbanding parti-parti dalam kerajaan baharu.

Kata Ketua UMNO Bahagian Pontian itu yang tampak berte­rus-terang semasa diajukan soalan adakah gabungan UMNO-MCA-MIC yang membentuk gabungan terbaharu Barisan Nasional (BN) masih relevan, meluahkan:

“Ini suatu cabaran besar, zaman UMNO macam itu (sebagai tunjang BN) cukup-cukuplah selama 61 tahun ini.

“Sewajarnya kita perlu lebih cenderung membentuk sistem dua parti. UMNO mungkin boleh menang dalam kawasan Melayu atau luar bandar. Siapa nak jadi wakil rakyat atau calon pilihan raya? UMNO lah di situ asal sahaja UMNO mahu cepat berubah.

“Sebab itu kalau dapat meya­kinkan atau convince masyarakat terhadap sistem dua parti ini de­­ngan UMNO membuang pemi­kiran lamanya, kita boleh berjaya,” kata Hasni.

Tetapi bagaimana pun dengan kedudukan MCA atau MIC? Kata Hasni lagi:

“MCA bertandinglah antara me­reka berdua, maksud saya menentang DAP sahaja. UMNO tak perlu masuk bersaing di kawasan marginal, cuma bertanding dalam populasi 80 peratus Melayu.

“Ini kerana UMNO lebih faham situasi ini dan diterima kalau bercakap pasal orang Melayu.”

Dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu, BN yang ditunjangi UMNO tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi Parlimen yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13. UMNO, tunjang kepada BN hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi berban­ding 88 kerusi pada PRU-13.

Jumlah 54 kerusi itu menyusut menjadi 51 kerusi setelah tiga wakil rakyatnya termasuklah bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin secara tiba-tiba bertukar menjadi ‘katak’.

Kecuali Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (PRBS) yang masing-masing mengekalkan sa­tu kerusi, parti komponen lain mengalami kemerosotan. MCA menyusut daripada tujuh kepada satu kerusi, MIC (4-2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (14-13), Parti Rakyat Sarawak (6-3), Parti Demokratik Progresif (4-2), UPKO (3-1) dan PBS (4-1).

Biarpun dijanjikan ketelusan atau keterbukaan daripada kerajaan Pakatan Harapan, Hasni me­ngakui beliau perlu realistik dengan suasana politik hari ini bahawa UMNO bukan lagi parti pemerintah.

“Sebagai ketua pembangkang, saya diperuntukkan RM1,000 sebulan oleh kerajaan negeri. Tanpa staf dan dengan satu pejabat disediakan dalam DUN, ia menampakkan tidak ada kesungguhan da­ripada pemerintah ke arah men­dukung sistem dua parti ini.

“Dulu kata nak lantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) negeri, tapi kemudian mahu lantik daripada DAP...tiada ke­sungguhan, sedangkan kita setuju perlu ada checks and balances (semak dan imbang). Kita (UMNO) nak jadi pembangkang yang cre­dible, tapi kekangan semua ini akan melambatkan pembaharuan.

“Dahlah susah sangat nak ubah daripada pembangkang kepada kerajaan, cakap sahaja, tapi tak laksanakan,” kata beliau.

Hasni turut menarik perhatian betapa perlunya pemimpin UMNO terutama Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Hasan bertindak cepat bertemu dengan wakil-wakil rakyat Parlimen dan DUN parti itu.

“Kalau kita biarkan mereka, bahaya. Kita kena engage dengan mereka. Dengar luahan mereka dan beri harapan, apa peranca­ngan parti dan ingatkan matlamat perjuangan UMNO. Kalau perlahan, kita bimbang dengan situasi tidak menentu ini (lompat parti),” katanya.

Beliau mengingatkan, UMNO masih mampu berdaya saing. Ti­dak ada kampung yang tiada ca­wangan UMNO berbanding pi­hak di ‘sebelah sana’ sehingga di­khabarkan tiada pejabatpun.

Sambil mendedahkan bukan mu­dah pihak di sana untuk menyusun atur perancangan mereka, beliau memberitahu pernah dimaklumkan oleh seseorang daripada parti sekutu kerajaan yang meluah­kan kerumitan membuat pelantikan ketua-ketua kampung sahaja.

“Katanya, ketua-ketua kampung pun perlukan kuota, mesti ada kuota termasuklah kuota daripada DAP. Bu­kan mudah nak uruskan isu ini,” kata Hasni yang bertanggungjawab menjaga kawasan luar bandar di Johor semasa era BN, yang memerlukannya berurusan dengan kira-kira 600 ketua kampung.

Mengakhiri perbualan, Hasni mahu orang UMNO terutama wa­kil rakyat khususnya di Johor supaya setia kepada parti.

Tegasnya: “UMNO Melayu. Me­layu itu UMNO. Jangan berhenti mengkritik sesiapa yang mem­perlekeh­kan orang Melayu. Mana boleh nak ubah Islam sebagai agama rasmi yang sudah terpahat kukuh dalam Perlembagaan.”