Cadangan pemansuhannya dibuat berdasarkan faktor penggunaan wang pembayar cukai. Setiap tahun kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan yang banyak untuk membolehkan fungsi dan peranannya dapat dilaksanakan. Perbelanjaan yang besar itu dikatakan tidak adil dan membazir kerana 90 peratus pembayar cukai di Malaysia dilakukan oleh bukan Islam.

Ada juga cadangan agar fungsi dan peranan institusi Islam di bawah pentadbiran Jakim diperkecilkan bagi mengurangkan beban perbelanjaan negara memandangkan sumber kewangan dan hasil negara perlu digunakan untuk membayar hutang yang dianggarkan berjumlah RM1.2 trilion atau lebih 80 peratus daripada pendapatan negara.

Sekiranya fungsi dan peranan institusi Islam diperkecilkan ada pihak menganggarkan kerajaan mampu melakukan penjimatan yang besar, iaitu lebih daripada separuh. Bajet 2018 misalnya, peruntukan yang diluluskan untuk keperluan emolumen, pembangunan dan melaksanakan aktiviti di bawah institusi Islam melebihi RM 1.02 bilion. Perbelanjaan tersebut telah meningkat daripada RM920.167 juta tahun sebelumnya.

Selain dua cadangan tersebut, pendapat lain memohon agar fungsi hal ehwal Islam dikembalikan kepada negeri-negeri kerana ia adalah di bawah kuasa Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja atau Sultan, penyelarasannya adalah di bawah Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Ia tidak lagi berada di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.

Turut dicadangkan Jakim yang diperluaskan mulai tahun 1987 (ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri keempat) diperkecilkan semula kepada Bahagian Hal Ehwal Islam sebagaimana sebelumnya. Menurut pandangan sesetengah pihak, Jakim sebenarnya diperhebatkan bagi membendung pengaruh Pas, dan memandangkan parti itu bukan lagi berpengaruh, adalah lebih baik beberapa institusi diubah suai.

Fungsi penentuan status halal dipindahkan ke Kementerian Kewangan atau Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Untuk menentukan proses pengeluaran sijil halal dan pematuhan halal, boleh mendapat kerjasama daripada pelbagai kementerian lain antaranya Kementerian Pertanian dan Asas Tani (penggunaan bahan mentah), Kementerian Kesihatan (bahan kimia dan kawalan makanan) dan pematuhan piawaian menggunakan Akta Perihal Dagangan dan sebagainya.

Berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebagaimana disebut dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan mengekalkan institusi Raja Berperlembagaan, tidak ada sebab kenapa ia perlu dijadikan bahan cemuhan dan kritikan liar.

PH berjanji bukan sahaja mempertahankan status-quo tersebut bahkan bersedia untuk mengembalikan kuasa “Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu” dan menghentikan “campur tangan Kerajaan Pusat.” Atas hasrat itulah ketika ditanya mengenai langkah berikutnya, Perdana Menteri menjelaskan bahawa satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji keperluannya, sama ada kekal atau sebaliknya.

Hasil perbincangan jawatankuasa yang dianggotai oleh ahli agama dan ilmuwan Islam itu akan digunakan sebagai input bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan.

Sebelum jawatankuasa tersebut digerakkan, terdapat pihak-pihak yang melihat bahawa ‘kerajaan yang dipimpin oleh PH’ berusaha untuk menatijahkan sesuatu dasar awam sebelum kerajaan membuat keputusan dan ia merupakan satu perubahan yang besar daripada persekitaran pentadbiran sebelumnya.

Mempertahan

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, dalam mencorakkan sesuatu dasar yang melibatkan kepentingan awam, kerajaan tidak lagi boleh bertindak berdasarkan keputusan kerajaan semata-mata, ia juga perlu mengambil kira pendapat awam.

Persoalan mengenai institusi-institusi Islam tidak dilihat sebagai sesuatu yang boleh menyulitkan kerajaan kerana asas penting kepada Malaysia ialah undang-undang tubuh yang telah dipersetujui sebelumnya, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Tiga asas utama, iaitu Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu tidak akan tergugat kerana setiap perubahan fungsi dan peranannya perlu dilaksanakan berdasarkan proses undang-undang. Walaupun kerajaan boleh melakukan ‘pindaan’ dalam tiga asas tersebut ia tidak dapat dilakukan sekiranya tidak mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Tindakan Kerajaan Persekutuan atau negeri memperuntukkan sebarang perbelanjaan untuk Islam adalah sah berdasarkan Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Di mana, Peruntukan itu menggariskan bahawa adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Kita ingin mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu di negara ini supaya tidak mencampuri urusan hal ehwal umat Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembangaan.

“Buku Harapan” juga menjelaskan bahawa Maqasid Syariah akan menjadi panduan program pembangunan negara, dan ‘akhirnya memberi rahmat dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia’.

Proses mempertahankan institusi-institusi Islam menurut Perdana Menteri adalah untuk meletakkan Islam sesuai dengan misinya dan bukan menghalang bukan Islam. Atas keperluan itu, institusi-institusi dan umat Islam tidak wajar memperlihatkan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian. Umat Islam perlu memperlihatkan pengamalan yang terbaik dan bukannya menjadikan agama sebagai ‘alat politik’ sehingga melabelkan mereka yang tidak memeluk agama Islam sebagai ‘musuh ataupun ancaman kepada Islam’.

Suasana itu adalah bersesuaian dengan visi Islam dan tidak bercanggah dengan jaminan kepada bukan Islam untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Dalam perkembangan semasa, oleh sebab kecenderungan menggunakan agama sebagai ‘alat politik’, sebahagian bukan Islam seolah-olah merasakan bahawa tindakan umat Islam semakin tidak ‘menghormati kebebasan penganut agama lain’.

Suasana dan iklim permusuhan atas faktor agama perlu diperbetulkan dan tindakan umat Islam serta institusi penguatkuasaan Islam wajar dinilai semula, bukan bertujuan ‘membuang Islam’ tetapi untuk menjadikan Islam dihormati sebagai tatacara kehidupan terbaik.

Pandangan untuk mengembalikan peranan Raja-Raja Melayu sebagai pentadbir hal ehwal Islam adalah suatu tindakan pembetulan yang mungkin boleh dilakukan sekiranya setiap umat Islam memahami bahawa ‘kuasa raja-raja Melayu’ perlu dipertahankan. Institusi-institusi Islam wajib atau perlu mendapat perkenan terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu tindakan dan ini boleh mengelak ‘suasana tidak harmoni’ antara kedua-dua pihak.

Institusi Islam di peringkat Persekutuan boleh kekal memainkan peranannya tetapi tidak lagi tertakluk kepada ‘keputusan politik’. Setiap perkara yang bersangkutan dengan Islam perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja dan bukan lagi merupakan keputusan sepihak sebagaimana pernah berlaku. Sultan Johor mengarahkan agar pihak berkuasa agama di negeri itu tidak lagi membuat sebarang perundingan dengan Jakim hanya atas kes yang membabitkan operasi kedai dobi untuk Muslim.

Melihat kepada realiti politik semasa dan iltizam Buku Harapan tidak ada sebab setiap rakyat Malaysia merasa curiga bahawa institusi-institusi akan dihapuskan hanya berdasarkan tularnya beberapa cadangan yang dikemukakan oleh orang perseorangan. Dalam sistem politik demokrasi, seseorang dibenarkan untuk menyatakan pendapat masing-masing dan kerajaan tidak tertakluk kepada pendapat-pendapat tersebut.

Berdasarkan prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, saperti yang digariskan dalam Perkara 3(2), Islam adalah urusan negeri-negeri dan terletak hak pada Raja-Raja sama ada dalam perundangan dan pentadbirannya, maka kebimbangan terbubarnya institusi Islam adalah sesuatu yang tidak ada asas. Kalaupun dilaksanakan perubahan mengenai kedudukannya ia adalah untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang selama ini dibiarkan berlaku sehingga memudaratkan imej Islam itu sendiri.

Kritikan-kritikan yang ditimbulkan ke atas institusi-institusi Islam kadangkala membawa kepada sikap yang radikal dan sebahagiannya adalah berpunca daripada pandangan sebelah pihak sedangkan tatakelola kehidupan bermasyarakat.

Islam adalah kerangka utama pembentukan Malaysia dan sebab itulah dalam Perlembagaan dinyatakan dengan jelas. Agama-agama lain, tetap dibenarkan tetapi, ia tidak dinyatakan dengan jelas apakah agama-agama itu. Dominasi Islam tidak menyekat kehidupan masyarakat bukan Islam, sebaliknya Islam telah memberikan persekitaran yang lebih kepada bukan Islam, kecualilah ada usaha untuk mencabar atau meruntuhkan institusi Islam.

Penulis ialah Setiausaha Analisis Dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)