Mengapa dihujahkan sedemikian rupa adalah beberapa hari selepas itu Menteri-menteri Luar dari ASEAN yang mengadakan perjumpaan sampingan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York telah menggesa kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan terhadap tentera yang melakukan ke­salahan hak asasi terhadap Rohingya.

Gesaan Menteri-menteri Luar ASEAN ini ada kena mengena dengan laporan PBB yang dikeluarkan Ogos lalu mengenai krisis Rohingya yang mendapati kepimpinan tertinggi tentera Myanmar perlu disiasat kerana disyaki mendorong perlakuan kejam tentera seperti membunuh, merogol, penderaan dan perhambaan. Seperti diketahui kerajaan Myanmar pimpinan Suu Kyi menolak kesahihan laporan PBB ini.

Jika dilihat secara bersama ke­nyataan Dr. Mahathir dan Menteri-menteri Luar ASEAN, maka sudah agak pasti cara ASEAN berdepan de­ngan isu Rohingya akan berubah secara drastik kerana buat sekian lama walaupun Malaysia telah memulakan langkah mengutuk Myanmar secara terbuka tetapi ia jarang disambut oleh lapan negara ASEAN yang lain.

Jika sebelum ini Malaysia yang menanggung beban paling ketara dengan bilangan pelarian Rohingya yang agak ramai berada di sini dilihat bersendirian menongkah dasar tidak campur tangan negara sesama ASEAN, kenyataan Menteri-menteri Luar pula adalah manifestasi perubahan bakal berlaku dalam organisasi ini apabila berhadapan isu sensitif yang melibatkan negara anggota.

Bulan hadapan bermula 11 November Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 akan berlangsung di Singapura dan kehadiran Dr. Mahathir sudah pasti akan membawa pendekatan yang berbeza apabila isu Rohingya dibincangkan kerana beliau terkenal dengan sikap tidak akan menyembunyikan pendapat peribadi apabila membincangkan isu sensitif.

Menarik jika dikaitkan rasa tidak puas hati Dr. Mahathir terhadap keha­diran kapal perang asing di Laut China Selatan dengan agenda perjumpaan di Singapura November nanti. Selama ini ASEAN begitu berhati-hati membincangkan dan seterusnya mengeluar resolusi mengenai Laut China Selatan kerana ia melibatkan dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China. Tetapi dijangkakan Dr. Mahathir akan berterus terang membincangkan isu ini walaupun berhadapan dengan tentangan kedua-dua kuasa besar tersebut.

Sebab itu juga dihujahkan jika Dr. Mahathir berani berhadapan dengan AS dan China dalam hal Laut China Selatan, maka sudah pasti beliau tidak akan berselindung menyuarakan pendapat mengenai isu Rohingya di hadapan Suu Kyi.

Malah Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan diberitakan agak vokal ketika perjum­paan Menteri-menteri Luar di New York dengan menyuarakan kebimbangan isu Rohingya yang tidak ditangani dengan baik akan menjadi pemangkin kepada pengganas di rantau ini.

Harapannya adalah perjumpaan di Singapura nanti pemimpin ASEAN yang lain akan memberi tekanan kepada Suu Kyi supaya mengambil tindakan demi keadilan hak asasi Rohingya yang masyarakat antarabangsa anggap sebagai rakyat Myanmar juga walaupun Suu Kyi mempunyai pandangan yang berbeza.

Walaupun jawatankuasa pemilih Hadiah Nobel untuk Keamanan membuat keputusan untuk tidak menarik balik anugerah Suu Kyi yang diberi pada 1991 walaupun berhadapan dengan bukti laporan PBB, ASEAN sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan walaupun bakal menggoncang keharmonian organisasi tersebut.

Alasan yang digunakan oleh jawatankuasa pemilih tersebut adalah anugerah Nobel diberikan kepada Suu Kyi kerana bakti beliau sebelum 1991 dan apa yang berlaku selepas itu walaupun bertentangan dengan prinsip asas keamanan, perbuatan Suu Kyi itu tiada kena mengena dengan anugerah yang telah disampaikan.

Sememangnya Hadiah Nobel Keamanan tidak pernah pudar dengan kontroversi yang membabitkan penerima berbanding dengan hadiah lima bidang yang lain, tetapi isu Rohingya adalah begitu ekstrem sekali dan ASEAN sebenarnya mempunyai peluang untuk mempamerkan kepada dunia bahawa keadilan perlu di­tegakkan kepada kumpulan minoriti seperti Rohingya.