Adalah dijangkakan giliran rekod hak asasi manusia negara ini hanya akan disemak pada November 2018, tetapi proses penelitian rekod dan laporan pemegang kepentingan telah pun bermula dan NGI serta kesemua pemegang kepentingan akan berpeluang menghantar laporan hak asasi manusia masing-masing kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac 2018 kelak.

Sepanjang tahun ini, gabungan NGI aktif terlibat di dalam beberapa siri perundingan bersama Wisma Putra mengikut gugus (clusters) hak asasi manusia yang ditetapkan di dalam kerangka UPR. Proses UPR ini adalah mekanisme yang boleh memberikan manfaat kepada negara jika strateginya ditekuni dan dioptimumkan sepenuhnya oleh gabungan NGI.

Adalah mendukacitakan se­perti yang berlaku pada Oktober 2013, gabungan NGO yang mengetepikan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, realiti budaya dan terutamanya panduan Islam sebagai agama negara menurut artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah memanipulasi proses UPR untuk mengemukakan beberapa tuntutan tidak munasabah mereka di pentas antarabangsa.

Kita telah mendengar bagaimana gabungan NGO itu yang menggunakan label Comango menggunakan mekanisme UPR ini untuk mendesak supaya rakyat Malaysia boleh mentafsirkan hak kebebasan beragama mengikut kehendak mereka.

Seperti yang kononnya dituntut Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR), hak-hak keistimewaan Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak diketepikan dengan desakan me­ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Juga, amalan songsang berkaitan gaya hidup lesbian, gay, bisexual, transgender, intersex dan questioning (LGBTIQ) dibenarkan dengan desakan mengiktiraf Yogyakarta Principles 2016 dan mengakibatkan desakan memansuhkan beberapa seksyen di dalam Kanun Keseksaan dan Enakmen Syariah Negeri-negeri. Pada masa sama, desakan menghapuskan Akta Hasutan 1948 demi melampiaskan hak kebebasan bersuara tanpa batas serta lain-lain tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Di seluruh dunia, kita melihat perbahasan mengenai hak asasi manusia menjadi semakin mencabar. Di Eropah, dengan bermulanya proses Brexit oleh United Kingdom pada 29 Mac lalu, perdebatan untuk mengembalikan citra hak asasi manusia beracuan sendiri yang mendaulatkan negara tersebut menjadi semakin tajam dan meluas dalam kalangan pelbagai segmen masyarakat.

Sementara itu, benua Eropah terus dibebani isu migrasi pela­rian Asia Barat khususnya dari Syria akibat kesan krisis peperangan berlarutan manakala negara seperti Jerman pula berhadapan dengan lambakan kehadiran warga Islam sehingga menyerlahkan sikap anti-Muslim dan rasis mereka sendiri.

Di negara ini, isu yang lebih membimbangkan adalah usaha mentafsirkan semula asas-asas hak asasi manusia yang pada awalnya disepakati semenjak UDHR 1948. Bagi penulis, antara cabaran paling getir di saat ini ialah tuntutan mentafsir kebebasan beragama yang ternyata me­langgar banyak sempadan yang ditetapkan Islam.

Dalam konteks Malaysia, usaha-usaha berterusan NGO-NGO liberal nampak zahir melalui desakan untuk menghapuskan peranan mahkamah Syariah (melalui usaha campur tangan dan usaha memanipulasi usul RUU355), memperlekehkan Islam melalui media sosial, serta usaha menyebarluaskan gerakan revolusi gender. Masyarakat kita juga dilanda desakan hedonisme se­perti penganjuran pesta arak yang berselindung di sebaliknya agenda tuntutan kebebasan individu tanpa batas.

Terkini, perbahasan mengenai gaya hidup songsang LGBTIQ dijadikan agenda paling utama mereka yang ingin mengetepikan terus sikap dan pendirian baki 76 negara yang masih menjadikan beberapa tingkah laku berkaitan LGBTIQ sebagai jenayah mengikut lunas undang-undang negara masing-masing.

Percubaan menganjurkan pesta gay White Party BKK Warm UP di Lembah Klang selepas Big Gay Iftar pada bulan Ramadan lalu adalah gejala krisis identiti gender yang semakin parah dan me­rupakan antara percubaan me­runtuhkan institusi kekeluargaan.

Perlu diketahui krisis kehidupan golongan songsang ini pada hakikatnya menjadi dilema besar masyarakat Barat sehingga sarjana dalam kalangan mereka terpaksa mendedahkan kebobrokan agenda kemuncak mereka, sebagai contoh seperti yang ditulis seorang felo kanan The Catholic Association, Ashley McGuire mengenai kempen radikal menghapuskan perbezaan gender yang sangat berbahaya di dalam karya terbaru beliau, A gender-neutral World? Sex Scandal: The Drive to abolish Male and Female (2017).

Jika di negara Barat nilai-nilai kehidupan sudah semakin berkecamuk dengan percanggahan nilai yang sangat ketara di­sebabkan proses sekularisasi serta pegangan agama mereka yang semakin longgar, maka usaha-usaha yang dijalankan gabungan NGI di Malaysia untuk mempertahankan kedudukan Islam, nilai-nilai murni masyarakat Asia serta budaya hidup bertamadun tinggi perlulah diberikan sokongan sewajarnya.

Meskipun persediaan gabu­ngan NGI pada kali ini berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding sesi sebelumnya apabila disedarkan kegiatan terancang mereka yang mengakui liberal di persada PBB, namun kita tidak boleh leka dan mengambil mudah cabaran-cabaran yang bakal menjelma pada sesi pusingan ketiga kelak.

PENULIS ialah peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).