Pada masa ini bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan empat buah negara, iaitu Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.

Bahasa Melayu telah digunakan di kawasan ini (Kepulauan Melayu) sejak wujudnya kerajaan-kerajaan Melayu tua seperti Kerajaan Campa dan Langkasuka.

Zaman yang penting bagi bahasa Melayu ialah zaman kerajaan Melaka iaitu keagungan kerajaan Melayu.

Walaupun Kerajaan Melayu Melaka tewas di tangan Portugis pada 1511 dan orang-orang Barat mula menguasai daerah Kepulauan Melayu, peranan bahasa Melayu kekal sebagai lingua franca antara mereka dengan masyarakat pribumi dan antara ahli-ahli masyarakat pribumi yang menuturkan pelbagai bahasa yang berlainan.

Van Linschotten, seorang pe­gawai Belanda yang pernah tinggal di Indonesia antara 1586-1592 telah membuat kenyataan bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja sangat harum namanya tetapi juga dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa di kawasan itu.

Demikian juga, pada awal abad ke-18, Francois Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis tentang sejarah wilayah Kepulauan Melayu telah membuat kenyataan berikut tentang bahasa Melayu:

“Bahasa mereka, bahasa Me­layu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-ne­geri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan Levant.”

Satu bukti lagi tentang tinggi­nya martabat bahasa Melayu dan luas penggunaannya di wilayah ini adalah pada surat-menyurat antara pentadbir Barat dengan raja-raja di Kepulauan Melayu. Contohnya ialah surat Sultan Aceh kepada kapitan Inggeris, James Lancaster, dalam tahun 1601, surat Sultan Alauddin Shah dari Aceh kepada Harry Middleton (kira-kira tahun 1602) dan surat Sultan Aceh kepada raja Inggeris, James I. Ketiga-tiga surat ini, dalam bahasa Melayu dan tulisan Jawi, ada tersimpan di Perpustakaan Bodleian, London.

Dari segi undang-undang, kedudukan bahasa Melayu amat teguh. Pertama, bahasa Melayu pada tahun 1957 telah dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan mengatakan: “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah di­tulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang melalui Parlimen.”

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 - Akta 32, Kemas Kini 2006 pula menetapkan bahawa “Bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) hendaklah digunakan bagi maksud rasmi”. Dengan kata lain, bahasa Melayu telah dinobatkan untuk digunakan dalam semua urusan rasmi negara, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri, tempatan mahupun oleh badan-badan berkanun.

Namun begitu, pada akhir tahun 1980-an, awan mendung mula berarak, dibawa masuk oleh orang Melayu sendiri yang semakin risau dengan kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar dan remaja kita. Golongan ini, tanpa alasan yang munasabah, berpendirian bahawa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah telah menyebabkan gejala kemerosotan bahasa Inggeris ini.

Jika pelajar kita tidak dapat me­nguasai bahasa Inggeris setelah 11 tahun persekolahan, me­ngapakan bahasa Melayu dipersalah? Mengapa tidak dilihat dari segi faktor-faktor lain, seperti teknik pengajaran dan pembelajaran, taraf motivasi pelajar dan peluang untuk menggunakan bahasa Inggeris?

Tokoh yang amat ketara dalam kalangan usaha peminggiran bahasa Melayu ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Sewaktu mengutarakan Wawasan 2020, beliau melihat bahasa Melayu sebagai ancaman besar kerana bagi beliau, kemajuan negara ini bergantung pada penguasaan bahasa Ing­geris. Pada beliau, bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan lambang jati diri negara, tidak mempunyai apa-apa peranan dalam perancangan masa depan Malaysia.

Maka bermulalah cabaran-ca­baran besar bagi Malaysia dalam abad ke-21 yang perlu ditangani jika kita masih berbangga dengan kedaulatan negara kita.

Sikap menganggap bahasa Inggeris penting telah tersemat­ dalam jiwa kebanyakan ahli ma­syarakat kita, lanjutan kepada keadaan pada zaman penjajahan dahulu. Satu sebab ialah kerana mereka telah memperoleh pendidikan dalam bahasa Inggeris dan kecintaan terhadap bahasa Melayu tidak pernah dipupuk dalam jiwa mereka.

Oleh sebab sebahagian daripada mereka yang yakin dengan kepen­tingan bahasa Inggeris ini terdiri daripada pucuk pimpinan dan orang-orang yang meme­gang jawatan utama dalam sektor awam dan swasta, penggunaan bahasa Inggeris semakin berleluasa. Orang-orang besar kita dan ketua-ketua pengurusan tinggi, sewaktu menyam­paikan ucapan atau taklimat dengan senang hati menggunakan bahasa Inggeris. Nama-nama bangunan dan institusi sekian lama sudah tidak lagi mencerminkan jiwa bahasa kebangsaan.

‘Pudu Raya’ berubah menjadi Pudu Central. ‘Pusat Transformasi Bandar’ dengan megahnya dilaung-laungkan sebagai UTC (Urban Transformation Centre). Bangsar South serta Bangi Gateway dan Melaka Gateway bermain-main di bibir warganegara padahal apa salahnya jika dikatakan ‘Bangsar Selatan’ dan ‘Gerbang Bangi/Gerbang Melaka’.