Isu-isu yang menarik perhatian ketika ini tentulah berkaitan dengan tindak tanduk atau pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). Menjelang dua pilihan raya kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, semakin ghairahlah isu berkaitan berlegar di ruang WhatsApp. Isu panas ketika ini tentulah berkaitan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Gaya hidup pemimpin juga menjadi bahan. Ketika PRK nanti, akan muncul lagi cerita panas lebih-lebih lagi berkaitan calon dan parti yang bertanding. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mungkin juga merujuk kebimbangan ini apabila menegaskan calon BN akan dipastikan bebas daripada sebarang isu peribadi dan berimej bersih.

Memang tepat pendirian itu kerana dalam politik, keupayaan pembangkang adalah untuk meyakinkan orang ramai terutama penyokong taksub mereka menghadam sebarang ‘imej atau peribadi’ tidak baik ‘orang mereka’ tetapi akan mencari keburukan calon lawan untuk dijadikan modal politik.Bukan sekadar calon tetapi dalam banyak perkara, ‘kesilapan’ BN akan dibongkar habis-habisan tetapi pura-pura tidak nampak ‘kesilapan’ di pihak mereka. Kita tunggu dan lihat bagaimana sibuknya penyebar bahan WhatsApp menjelang PRK di Parlimen Permatang Pauh dan Rompin.

Begitulah kemudahan dalam era teknologi maklumat ini. Semua perkara yang menyentuh isu peribadi, keluarga, pejabat, masyarakat, pemimpin sehinggalah kepada sesebuah kerajaan dapat disebarkan dalam masa yang singkat. Betul atau salah perkara No.2. Tidak dinafikan ada sesetengahnya memang benar, boleh diterima tetapi ada juga umpama `sampah’. Kebenarannya masih boleh dipertikai kerana ia lebih berunsur fitnah, menyebar berita palsu, tanggapan atau persepsi negatif. Itu berkaitan dengan peribadi. Paling menakutkan ialah berkaitan agama. Ada sesetengahnya menyebarkan sesuatu perkara yang sebenarnya berkait dengan hadis palsu serta khurafat. Bayangkan jika kita tidak pintar untuk menapis kebenaran dan kepalsuan berita atau laporan yang dikirimkan, terus ‘hadam’ semuanya. Biasanya ketaksuban politik menyebabkan seseorang itu akan mudah menerima berbanding mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik akan memikirkannya terlebih dahulu sebelum memberi komen.

Orang yang menyokong satu-satu pihak tentunya pantas memberi reaksi mempertahankan hujah masing-masing. Lebih malang apabila kita menjadi generasi forward, menjadi antara pelapor pertama sampai ke grup yang dianggotai. Akhirnya apabila berita itu palsu, ia bertukar menjadi fitnah. Adakah ketika itu kita sudah menjadi salah seorang penyebar fitnah? Jika orang yang kita fitnah itu mahu mengambil tindakan undang-undang, mungkin masih dikira baik kerana paling tidak kita sudah dihadapkan di ‘mahkamah dunia’, terimalah hukuman dijel atau denda.

Bagaimana pula jika orang yang difitnah itu tidak mahu memaafkan kita atau kita tidak mampu atau tidak sempat meminta maaf ? Apa kata selepas menyebarkan berita palsu, beberapa minit kemudian anda dijemput menemui Ilahi? Memang seronok jika kita menjadi pelapor utama mengenai sesuatu perkara. Orang akan puji dan berterima kasih kepada kita. Jika perkara yang betul, boleh dijadikan panduan atau amalan tentulah boleh dibanggakan tetapi bagaimana pula dengan berita palsu yang boleh mencetuskan kekeliruan, mencemaskan, menimbulkan permusuhan atau persengketaan?

Contohnya berita kematian. Baru-baru ini, kebanyakan orang pernah menerima berita kononnya juara tinju dunia Muhammad Ali dan pelawak, Mr. Os meninggal dunia. Hakikatnya mereka masih bernafas. Adakah mereka yang menyebarkannya sudah meminta maaf kepada Muhammad Ali dan Mr. Os? Bagaimana pula kita yang menjadi tukang foward ke grup lain? Begitu juga viral mengenai video seorang pemimpin dari Johor baru-baru ini. Jumaat lalu ketika makan tengah hari di sebuah restoran di Johor Bahru, seorang usahawan yang juga ahli politik menceritakan bagaimana video seorang timbalan menteri dari Johor diputar belit sehingga menimbulkan fitnah. Beliau ada pada maj­lis itu dan menyaksikan apa yang berlaku. Tentunya disebabkan ketaksuban, video asal tanpa edit itu ditolak. Amat malang, hasil video yang diubahsuai itu telah mendorong orang ramai memberi ulasan memperlekeh dengan kata-kata kesat dan mengaibkan. Tidak habis setakat video itu tetapi berlarutan kepada isu lain. Tindakan menyebarkan sesuatu yang mengaibkan orang itu bukan sekadar memalukan individu itu tetapi yang turut terasa aibnya juga terdiri daripada keluarga individu berkenaan. Bagaimana jika keaiban kita didedahkan? Adakah kita sedia menerimanya? Adakah anak-anak kita di sekolah atau di tempat kerja sanggup menerimanya jika ibu atau bapa mereka diaibkan?

Bagi kita yang mengaku sebagai orang Islam, adakah kata-kata yang dizahirkan dalam bentuk WhatsApp tidak diketahui oleh Allah SWT. Kata-kata kita itu pula dipinjam oleh grup lain dan terus menyebarkannya. Jika ia sesuatu yang baik, mungkin kita akan mendapat ganjaran dan menikmati pahalanya sehingga ke akhir hayat tetapi bagaimana jika perkara tidak baik? Justeru, fikirlah sebelum buat.Baca dulu apa yang kita terima, semak kesahihan dan fakta yang berkaitan. Setelah mendapat kepastian barulah kita sebar dan berkongsi dengan grup atau rakan-rakan lain. Ingat firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka periksalah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan’’ - al - Hujurat: 6

Jika telefon pintar itu lebih pintar kerana teknologiya, manusia pula perlu lebih pintar menganalisis kebenaran dan keburukan perkhabaran yang kita terima. Jangan kita telan dan hadam semuanya. Janganlah disebabkan kemudahan WhatsApp ini kita begitu mudah terjerumus dalam sifat-sifat sombong, dengki, takbur, mengumpat dan menyebar fitnah. Sekali lagi dalam hal ini, ambil panduan firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah sebahagian kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesunggunya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang’’ - al- Hujurat:12

Amat malang sekali, sembang WhatsApp ini telah membuat diri terjerumus dalam fitnah tanpa ditegur oleh rakan-rakan dalam grup kerana bimbang atau tidak yakin teguran itu dapat diterima. Lebih-lebih lagi grup yang mempunyai golongan bergelar ustaz, cerdik pandai dan terpelajar yang sepatutnya lebih layak menegur hanya diam malahan tumpang semangkuk memberi komen tanpa usul periksa berdasarkan andaian dan dengar cakap. Tidak dinafikan sesetengah kiriman itu ada kebenarannya, atau samar-samar. Kiriman itu hanya bertukar menjadi fitnah atau mengumpat akibat komen atau ulasan ibarat ‘nasi tambah’ .

Apakah kita yang menegur ini semuanya baik belaka? Tidak pernah melakukan kesilapan? Tegur dan kritiklah tetapi jangan sampai bertukar menjadi fitnah dan umpat mengumpat. Jagalah lidah dan tangan kita. Awasi tangan daripada mengirim kata-kata yang tidak berfaedah berbentuk mengumpat, memfitnah dan mengaibkan. Ingatlah fitnah boleh menimbulkan permusuhan dan persengketaan. Jangan kita menghalalkan segala perbuatan atas alasan mahu menegur dan mengkritik. Susahnya bagi orang kita, kebanyakannya hanya menyedari yang haram itu sekadar babi dan arak sedangkan banyak perbuatan lain tanpa disedari adalah haram.