Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

PENASIHAT Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim antara lain menjelaskan bahawa pada masa ini orang Melayu sudah hilang budaya dan warisannya. Tambah beliau, orang Melayu sudah hilang bahasanya. Mereka juga sudah hilang pelbagai aspek dalam budaya dan menjadi pak turut budaya barat.

Isu tentang bahasa dan kecelaruan berbahasa yang dialami di negara ini ternyata bukan mudah untuk diselesaikan. Ia berkait rapat dengan osmosis budaya, keyakinan dan kerapuhan jati diri dalam kalangan masyarakat di Malaysia terutama golongan muda yang menganggap isu bahasa sangat remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan, sedangkan ia amat bermakna untuk mengangkat martabat bahasa, budaya dan nama negara.

Seorang penulis, Zaitul Azma Zainon Hamzah dalam Pelita Bahasa antara lain pernah menyebut dalam rencananya ‘Bahasa SMS menconteng bahasa standard’ bahawa keghairahan masyarakat kini terutamanya golongan remaja telah mengikis keupayaan bahasa rasmi negara untuk berada di tahap yang sepatutnya.

Kegilaan remaja dengan bahasa SMS, bertutur bercampur aduk antara bahasa sendiri dengan bahasa asing memburukkan keadaan dan menjejaskan imej bahasa sendiri. Malah, dalam rancangan-rancangan realiti televisyen yang berbahasa Melayu juga mengalami nasib yang sama seolah-olah bahasa Melayu tidak berperanan langsung.

Penulis yang berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu selama 30 tahun dapat menyaksikan pelbagai ragam anak-anak murid dan bekas anak-anak murid apabila bertemu semula dengan penulis. Walaupun mendapat pangkat A dalam subjek tersebut dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) suatu masa dahulu, jika bertemu semula dan bertutur dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu mereka sudah mula tunggang-langgang, bercampur-aduk dengan istilah asing dan sebagainya.

Sikap pelajar-pelajar yang mempelajari bahasa Melayu hanya untuk mendapat seke­ping sijil sahaja tambah memburukkan keadaan. Selepas lulus atau mencapai kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu, mereka mengabaikan bahasa Melayu.

Pernah berlaku seorang juri rancangan realiti televi­syen memberitahu penonton bahawa beliau menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi komen kerana rancangan itu bukan hanya disaksikan oleh orang Melayu tetapi turut digemari oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia.

Alasan ini tidak kukuh kerana semua bangsa boleh bertutur dalam bahasa Melayu di negara ini kerana subjek Bahasa Melayu wajib dipelajari oleh semua pelajar.

Kongres Budaya 2017 yang bakal diadakan 15 April nanti dijangka dapat merungkai pelbagai permasalahan tentang bahasa dan budaya di negara ini yang sedang meruncing. Perbincangan mesti dilakukan untuk mencapai kata sepakat bagaimana mahu mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dalam arus pemodenan yang pesat, disertai kemasukan pelbagai teknologi dari luar, pertembungan budaya, bahasa dan sebagainya.

Usaha-usaha juga mesti dilakukan untuk melindungi budaya yang diwariskan sejak-temurun tanpa menolak kemasukan budaya luar. Pengaruh budaya luar dapat ditangkis dengan kemantapan jati diri dan budaya tempatan yang sudah lama berakar umbi dalam diri masyarakat negara ini.

Guru-guru turut memainkan peranan penting menaikkan imej bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sejak di tadika sampailah ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Tugas ini bukan hanya terletak di bahu guru subjek Bahasa Melayu sahaja, tetapi semua guru yang sewajarnya memahami kedudukan bahasa kita yang semakin terpinggir.

Masa depan bahasa Melayu bergantung kepada pengamal dan penuturnya. Bahasa Melayu akan mantap bukan sahaja kerana wujud pertuturan atau komunikasi dalam kalangan masyarakat, tetapi kualiti berbahasa itu lebih penting.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain