Biarpun tiada publisiti besar-
besaran, namun gabungan pasukan berkenaan yang turut dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah banyak berjasa kepada negara sejak ditubuhkan pada tahun 2011.

Kejayaan terbaharu itu sekali gus mengejutkan banyak pihak yang selama ini tidak menyangka bahawa perbuatan tidak membayar cukai atau elak cukai hakikatnya amat serius berlaku dalam kala­ngan ahli-ahli perniagaan ter­masuk mereka yang bergelar Tan Sri dan Datuk Seri.

Berdasarkan apa yang di­be­ri­tahu kepada penulis, perbuatan kedua-dua ahli perniagaan itu menyebabkan kerajaan kerugian beratus-ratus juta ringgit setahun dari segi hasil pendapatan cukai sedangkan dalam tempoh sebulan ahli-ahli perniagaan itu mengaut berpuluh-puluh juta ringgit.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada ahli perniagaan bergelar Tan Sri atau Datuk Seri terlibat dengan kegiatan judi haram dan pusat hiburan tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar. Hanya apabila NRRET ­melakukan serbuan barulah segala-­
ga­lanya terbongkar.

Tetapi apa yang malangnya, mereka bukannya baru beroperasi. Sebagai contoh dalam satu kes di selatan tanah air sindiket judi haram sudah lebih 10 tahun beroperasi, bukan sahaja di negeri itu malah sudah berkembang ke seluruh negara.

Begitu juga dengan ahli-ahli perniagaan yang terlibat dalam bidang hartanah, perkilangan dan sebagainya, mereka seolah-olah tidak mempunyai semangat nasiona­lisme apabila sanggup tidak mengisytiharkan pendapatan sebenar.

Justeru ketegasan NRRET amat penting bagi memastikan kerajaan tidak terus dipermainkan oleh ahli-ahli perniagaan yang mungkin ada antara mereka ‘bermulut manis’ di hadapan kerajaan tetapi di belakang sanggup ‘mengkhianati’ kerajaan dengan tidak membayar cukai.

Kelompok seumpama ini hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Jika mereka benar-benar mahu menyumbang kepada pembangunan negara, membayar cukai secara telus adalah buktinya.

Sebab itulah peranan NRRET tidak boleh diperkecilkan apatah lagi diganggu oleh mana-mana pihak. Ini termasuklah daripada jabatan atau kementerian yang menyumbang kakitangan mereka untuk bergabung dalam pasukan tersebut. Sepatutnya agensi-agensi itu berbangga kerana diberi penghormatan sedemikian demi kebaikan negara.

Tetapi malangnya terlalu ba­nyak kisah yang tidak enak didengar berhubung sikap jabatan dan kementerian terlibat. Ada antaranya seolah-olah ‘berada dalam kedudukan panas’ apabila NRRET berjaya membanteras penyelewengan dan ketirisan serta salah guna kuasa. Lanjutan itu mereka cuba memberi tekanan kepada anggota yang disumbangkan dalam NRRET.

Bagaimanapun setakat ini, ketabahan dan kegigihan anggota NRRET masih belum tergugat. ­Kesemua mereka terus bertungkus lumus berbakti kepada negara siang dan malam untuk memastikan kelompok yang boleh mendatangkan kerugian kepada hasil negara dapat dibanteras habis-habisan.

Kewujudan NRRET amat pen­ting kerana dalam keadaan ekonomi sekarang tidak boleh ada mana-mana pihak khususnya ahli-ahli perniagaan cuba mengelak cukai dan bersedia merasuah anggota agensi penguat kuasa bagi memastikan operasi mereka tidak terganggu.

Inilah keadaan yang berlaku dalam kes serbuan terbaru NRRET. Salah seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri itu bersedia ‘menyediakan modal’ mencecah sehingga RM2 juta sebulan bagi membayar ‘ufti’ bulanan kepada anggota di tiga agensi penguat kuasa.

Hakikatnya, wang sebanyak itu tidak mempunyai apa-apa nilai kepada ahli perniagaan tersebut kerana keuntungan yang diperoleh berpuluh kali ganda setiap bulan, malah ada mencecah berpuluh-puluh juta ringgit sebulan.

Tetapi seperti biasa, anggota agensi penguat kuasa yang bersedia menerima rasuah bersikap ‘pendek akal’ atau dalam bahasa mudah bersedia diperbodohkan oleh ahli-ahli perniagaan atau sindiket semata-mata mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram. Kesudahannya apabila ditangkap oleh SPRM, anggota terlibat hilang punca pendapatan sedangkan operasi sindiket berjalan seperti biasa.

Dalam berhadapan situasi se­perti ini, peranan NRRET amat pen-ting kerana mereka dianggotai oleh pegawai dan kakitangan dari jabatan atau kementerian yang mempunyai integriti tinggi.

Ketirisan hasil negara akibat sikap tamak ahli perniagaan mahupun anggota agensi penguat kuasa tidak harus dibiarkan. Inilah sebab kenapa kerajaan mewujudkan NRRET, oleh itu pasukan petugas khas tersebut perlu diperkasakan termasuklah memastikan anggota-anggotanya mendapat pelbagai faedah dan kelengkapan bagi memudahkan mereka melaksanakan tanggungjawab demi untuk negara kerana itu sahaja niat mereka.

Kewibawaan dan kemampuan NRRET tidak boleh dinafikan. Sudah banyak kejayaan yang mereka capai sekali gus membantu meningkatkan hasil pendapatan negara. Penulis percaya, banyak lagi yang boleh dilakukan oleh NRRET dalam soal tersebut.

Ia kerana kita tidak boleh membiarkan hasil negara tercicir atau tiris akibat wujudnya sikap tidak jujur sesetengah ahli perniagaan yang ada antara mereka berlindung di sebalik hubungan rapat dengan ‘orang penting’ bagi menutupi ‘pengkhianatan’ mereka dalam menyumbang hasil kepada negara.