Memang tidak dinafikan bahawa banyak cabaran yang terpaksa kita hadapi sepanjang tempoh hendak mencapai kemerdekaan malah selepas negara kita mencapai kemerdekaan, pelbagai insiden berlaku yang sedikit-sebanyak mengganggu kesejahteraan hidup.

Apa yang dibimbangi adalah ada pihak yang tidak bertanggungjawab selalu mencari jalan dengan pelbagai cara untuk menjatuhkan nama baik negara termasuklah melakukan ancaman, kritikan hebat dan fitnah.

Inilah kesan daripada kemajuan dalam pelbagai bidang yang perlu diterima oleh pelbagai pihak tetapi kesan negatif akan dialami sekiranya wujud segelintir manusia yang jiwanya dikawal oleh rasa dengki, sakit hati dan sebagainya.

Suatu masa dahulu, telefon bimbit menjadi senjata kepada mereka yang tidak bertanggungjawab membuat fitnah dan sebagainya. Selepas pemilik telefon bimbit disyaratkan mendaftar nama dan nombor kad pengenalan, gejala ini dapat dibendung. Tidak ada yang berani melempar fitnah sewenang-wenangnya menerusi khidmat pesanan ringkas. Cuma, fitnah masih terjadi sekiranya berlaku kecurian ke atas telefon bimbit jika pemiliknya tidak membuat aduan dan membatalkan perkhidmatannya.

Kini, kemudahan Internet pula menjadi senjata penting individu tidak bertanggungjawab. Terdapat pelbagai penyebaran berita palsu lain seolah-olah menjadi rutin atau makanan harian mereka yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab sesama manusia, malah negara.

Contoh jelas adalah kenyataan untuk menghasut rakyat Sabah membawa keluar Sabah dari Malaysia. Tidak kira sama ada ia dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, siasatan mesti dijalankan untuk mengetahui tujuan sebenar kenyataan itu dibuat.

Apa pun, perbuatan ini jelas dilihat bertujuan untuk mengkucar-kacirkan negara dan sudah semestinya dilakukan oleh individu atau kumpulan yang tidak senang dengan pencapaian negara.

Di samping itu, kes-kes yang membabitkan sensitiviti agama sudah lama berlaku malah dilakukan dari luar negara dengan menggunakan akaun laman sosial yang didaftarkan di luar negara.

Dalam soal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berusaha mengesan aktiviti ini agar tidak terus merebak.

Menyedari hakikat bahayanya penyebaran bahan menerusi alam siber, amatlah wajar satu undang-undang diwujudkan untuk membendung gejala tidak sihat dan membahayakan ini. Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mesti dilakukan segera kerana fitnah siber semakin berleluasa dan membimbangkan pelbagai pihak.

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura dan China sudah ada undang-undang untuk menangkap pengguna Internet yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.

Malangnya, ada pihak yang mengkritik bahawa menyekat kebebasan seseorang itu menyuarakan pendapatnya adalah melanggar hak asasi manusia. Apa yang perlu difahami, di Malaysia, konsep kebebasan bersuara diiktiraf sebagai satu hak kebebasan asasi manusia dan ia mestilah diamalkan dengan cara berhemah.

Ini menunjukkan bahawa kebebasan bersuara itu ada hadnya kerana jika dibenarkan wujud kebebasan bersuara sehingga tanpa batasan atau sekatan, akan timbul keadaan di mana setiap orang akan gemar mencari kesalahan dan kelemahan orang lain, kemudian menghebahkan tanpa rasa takut. Malah, ada juga manusia yang tidak ada kena-mengena akan menjadi mangsa fitnah.

Kita juga bimbang suatu masa nanti fitnah dan tabiat menyebar berita sesuka hati ini akan menjadi satu budaya atau amalan yang sukar dikawal. Malah, tujuan memiliki Internet dan akaun Facebook itu bukan lagi sebagai usaha untuk mencari ilmu dan menjalin hubungan tetapi dijadikan tapak untuk menjatuhkan orang lain.