AHMAD FAIZAL AZUMU

Ahmad Faizal, 48, juga dikenali dengan panggilan Peja adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang dan Ahli Parlimen Tambun.

Dalam tempoh sebulan, Ahmad Faizal sudah berdepan beberapa ujian yang menguji kewibawaannya sebagai Menteri Besar dan setakat ini isu-isu yang ditimbulkan dapat dijawab atau diselesaikan dengan berhemah dan memuaskan hati.

Isu awal dihadapi oleh Ahmad Faizal ialah perkara yang dibangkitkan dan dibantah oleh ahli dalam Pakatan Harapan sendiri iaitu penyertaan Jamaluddin Mohd. Radzi ke dalam PPBM kerana bekas ADUN Behrang itu menjadi punca kejatuhan kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 2009.

Menjawab isu tersebut, Ahmad Faizal pantas memaklumkan PPBM menolak permohonan Jamaluddin dan isu itu selesai tanpa ada yang mempertikaikannya.

Ahmad Faizal kemudiannya diasak dengan isu pelantikan wakil rakyat BN iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin sebagai penasihat khas bertaraf exco.

Namun beliau menegaskan bahawa keputusan melantik Zainol Fadzi dibuat atas persetujuan bersama empat pengerusi parti dalam Pakatan Harapan di negeri.

Malah persoalan mengenai kelulusan akademiknya yang memegang Ijazah Kajian Perniagaan dari Universiti Edith Co­wan, Perth, Australia seakan-akan dipertikaikan juga dijawab oleh beliau.

Mengenai perkara itu, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kelulusan akademik yang dimilikinya setelah keraguan mengenainya tular di laman sosial.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan tiga syarikat milik kerajaan (GLC) gergasi di negeri itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) bakal mempunyai pentadbiran baharu.

Malah, kerajaan negeri masih menjalankan siasatan audit forensik terhadap kesemua urus tadbir di dalam ketiga-tiga GLC yang diuruskan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Ia merupakan ‘dua sesi awal’ yang diberi tumpuan oleh Ahmad Faizal untuk diselesaikan dan sekarang rakyat menunggu bagaimana pula dasar-dasar pentadbiran beliau dalam aspek pembangunan dan kemajuan untuk rakyat dan negeri Perak.

Sudah sampai masanya Ahmad Faizal merangka program-program membangunkan negeri dan rakyat mengikut kerangka dan acuan sendiri.

Begitu juga janji-janji dalam manisfesto Pakatan Harapan untuk negeri seperti yang dijanjikan dalam PRU-14 perlu diberikan perhatian.

Kerajaan negeri tidak seharusnya menunggu rakyat merungut tentang janji-janji manifes­to kerana mereka sedang memerhatikan apakah yang beliau akan lakukan untuk manfaat kepada penduduk.

Sementara itu, seperkara yang menjadi perbualan rakyat ialah tentang sikap bersahaja, serba ringkas atau ‘sempoi’ beliau yang tetap dikekalkan walaupun sudah bergelar Menteri Besar.

Malah Ahmad Faizal sendiri mengakui tidak mahu terlalu terikat dengan protokol yang ketat atau keterlaluan sehingga menghalang hubungan beliau dengan rakyat.

Beliau turut mahu hubungan di antara beliau dan para wartawan dijalinkan dengan erat, tidak terlalu terikat dengan protokol namun sebagai wartawan, kami tetap menjaga batasan hubungan dengan beliau sebagai pemimpin nombor satu negeri.