Menurut laporan media, murid terbabit dikatakan mempunyai pelbagai masalah disiplin dan tertangkap ketika sedang melakukan kesalahan di sekolah. Sebagai pendidik sejati, guru itu dikatakan tidak berdendam, malah mendoakan agar murid berkenaan berjaya pada masa depan.

Kes itu mendapat liputan meluas daripada pengguna media sosial yang teruja menjadi ‘hakim’ dan ‘tuhan’ sehingga terlupa tentang perkara utama berkaitan kes iaitu masa depan seorang kanak-kanak.

Tanpa merujuk kepada sikap segelintir ibu bapa, guru mahupun kes tertentu, kita bercakap tentang hidup kanak-kanak yang dibunuh karakternya oleh pengguna media sosial. Adakah kita ingin menghadapi ‘episod ke­dua’ pembakaran sebuah sekolah tahfiz oleh sekumpulan kanak-kanak yang mengorbankan puluhan nyawa?

Akan tetapi, benarkah dengan hukuman pembunuhan karakter mahupun kecederaan fizikal mampu mengubah anak-anak menjadi lebih baik daripada hari ini? Bagi menjawab persoalan ini, amat penting untuk kita memahami dan mengetahui definisi dan hak kanak-kanak dalam konteks negara dan agama.

Di Malaysia, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu di bawah usia 18 tahun seperti termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001. Secara umumnya, kanak-kanak yang melakukan kesalahan berat tidak boleh dijatuhkan hukuman mati.

Dalam Islam, seorang kanak-kanak dikatakan mencapai usia baligh apabila tanda-tanda kematangan seksualiti telah jelas seperti didatangi haid dan keluar air mani.

Bagaimanapun dalam membahaskan aspek kanak-kanak, sekalipun anak itu telah mencapai usia baligh menurut agama, dia tidak semestinya boleh diandaikan memiliki kematangan mental sepenuhnya seperti orang dewasa. Misalnya kanak-kanak perempuan. Ada antara mereka didatangi haid seawal usia sembilan tahun yang mana pemikiran masih belum matang.

Justeru, kita ada melihat ulama membuat pendirian tertentu untuk melindungi kemaslahatan anak-anak ini sekalipun dia telah baligh seperti melarang dan mengetatkan undang-undang atau tidak menggalakkan perkahwinan pada usia kanak-kanak seperti dinyatakan dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia (2015).

Dari segi kelayakan sah berkenaan hak dan tanggungjawab dalam agama (ibadah) dan banyaknya disentuh dalam konteks pengurusan harta, terdapat dua jenis kelayakan atau ahliyyah kepada manusia iaitu ahliyyah al-wujub dan ahliyyah al-ada’.

Secara umumnya ahliyyah al-wujub ialah tentang kelayakan menerima hak dan terbahagi kepada dua; menerima hak yang tidak sempurna (ahliyyah al-wujub al-naqisah) seperti janin di dalam kandungan untuk menerima pusaka dan menerima hak sempurna (ahliyyah al-wujub al-kamilah) yakni bayi yang lahir sehingga usia mumayyiz yakni sekitar tujuh tahun se­perti menerima hibah. Pada peringkat usia begini, individu tersebut tidak bertanggungjawab ke atas janji dan kontrak yang dilakukannya.

Ahliyyah al-ada’ pula secara umumnya ialah tentang kelayakan melaksanakan atau menunaikan sesuatu tanggungjawab atau perkara. Kelayakan ini juga wujud pada dua peringkat iaitu kelayakan untuk melaksanakan sesuatu tetapi tidak sempurna (ahliyyah al-ada’ al-naqisah) - lazimnya di peringkat usia mumayyiz sehingga baligh seperti ibadahnya diberikan ganjaran.

Kedua, kelayakan untuk melaksanakan sesuatu secara sempurna (ahliyyah al-ada’ al-kamilah) di peringkat selepas baligh yakni dikira sebagai mukallaf. Bagaimanapun, kanak-kanak yang telah mencapai usia baligh tetapi tidak mencapai pembangunan mental sepenuhnya diletakkan di bawah kategori ahliyyah al ada’ al-naqisah (kelayakan untuk melaksanakan sesuatu tetapi tidak sempurna) dan memerlukan pengawasan daripada orang lain.

Bahkan dari segi pengurusan harta, kanak-kanak sekalipun telah mencapai usia baligh namun pemikirannya masih ‘belum matang’, tidak boleh diserahkan kepadanya secara mutlak.

Justeru, ada pandangan yang meletak usia tertentu seperti 18 tahun sebagai penunjuk kepada ‘kematangan’ individu tersebut lalu boleh diserahkan pengurusan hartanya kepada dirinya sendiri.

Selain itu juga, terdapat halangan-halangan yang boleh menghilangkan kelayakan (ahliyyah) sempurna individu dalam menerima hak dan ketanggungjawaban sama ada faktor boleh dikawal seperti mabuk atau yang tidak boleh dikawal seperti safih dan gila.

Jika dilihat jenis-jenis kelayakan ini - sekalipun perbincangannya banyak mengkhususkan tentang aspek pengurusan harta - mengikut pandangan Islam, perkembangan mental individu memainkan peranan sangat penting dalam menentukan kelayakan bagi setiap perbuatan mereka.

Berbalik kepada pokok perbincangan, bagaimana menentukan bentuk pendidikan seperti hukuman ke atas kanak-kanak yang masih belum mencapai perkembangan mental sempurna sekalipun telah baligh pada usia sembilan tahun (misalnya), apatah lagi yang masih belum baligh?

Tidak dinafikan pada era globalisasi ini kanak-kanak terdedah dengan pelbagai unsur di luar bimbingan awal keluarga. Ditambah lagi dengan tekanan sosioekonomi sekalipun tidak mewajarkan pengabaian kepada kanak-kanak, itulah antara faktor yang sangat menekan setiap keluarga demi kelangsungan hidup. Akhirnya kanak-kanak dilihat ‘matang’ dari segi gesaan seksualiti dan ke­giatan ‘masa lapang’ mereka berbanding matang dari segi perkembangan mental sihat.

Inilah sebenarnya cabaran paling genting dalam aspek bimbingan awal kanak-kanak serta memerlukan kerjasama semua pihak. Ibu bapa, guru dan semua ahli masyarakat tidak boleh bertindak sendirian dalam menghadapi cabaran ini. Memberi pendidikan dan bimbingan awal kepada kanak-kanak diumpamakan sebagai membina negara kerana merekalah yang akan menerajui masa depan kita.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).