Menyedari hakikat dan kepen­tingan perkara ini, beberapa buah negara di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura bersetuju membentuk kerjasama serantau yang bertunjangkan consensus atau kesefahaman bersama.

Justeru, terbentuklah ASEAN pada Ogos 1967. Sejak 50 tahun yang lalu, sekiranya dirungkai lipatan sejarah, ASEAN tidak lekang dari menghadapi pelbagai cabaran dan liku-liku yang kadang-kala menggugat kesepakatannya.

Apatah lagi pelbagai konflik yang telah wujud sejak sekian lama menguji dan mengancam ke­amanan rantau ini. ASEAN terbentuk dengan berpaksikan kepada tiga tonggak iaitu politik keselamatan, ekonomi dan sosio budaya.

Bermatlamatkan untuk menge­kalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini, Malaysia mendukung penuh penubuhan ASEAN ini. Malaysia percaya bahawa kerjasama ASEAN ini adalah platform yang konkrit untuk memastikan pembangunan ekonomi yang lebih mapan.

ASEAN sememangnya telah berkembang maju sejak penubuhannya. Penubuhan Komuniti ASEAN semasa dipengerusikan Malaysia pada 2015 menandakan permulaan era baharu untuk ASEAN. Dijangkakan bahawa Komuniti ASEAN akan membawa perubahan yang bermakna dan impak yang positif kepada kehidupan dan kesejahteraan 630 juta rakyatnya. Ia bertunjangkan kestabilan politik, pembangunan ekonomi yang adil dan tanggungjawab sosial.

Hari ini, saya berbangga untuk menyatakan bahawa aspirasi, visi dan impian Tun Abdul Razak berserta empat orang pengasas ASEAN yang lain telah tercapai. Dari segi politik dan keselamatan, ASEAN te­lah berjaya memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.

Faktor yang menyum­bang kepada kestabilan di rantau ini adalah apabila Malaysia menyarankan agar ASEAN dikenali sebagai sebuah rantau yang aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN) melalui Deklarasi KL pada 27 November 1971.

Dengan wujudnya ZOPFAN sebagai satu agenda ASEAN, rakyat Malaysia dan rakyat ASEAN tidak pernah dibelenggu krisis yang menggugat keselamatan negara-negara anggotanya. ASEAN juga telah berjaya mengurangkan persaingan yang mengancam keselamatan dalam kalangan negara-negara anggotanya. Ini jelas menunjukkan kesepakatan membawa kemakmuran di rantau ini.

Dari segi kepentingan geopolitik, ASEAN kini diiktiraf sebagai penggerak utama dalam senibina keserantauan (regional architecture) melalui pelbagai meka­nisme yang diterajui oleh ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF).

ASEAN dilihat sebagai zon berkecuali yang turut melibatkan penglibatan kuasa-kuasa besar dunia. ASEAN juga menjadi perhatian negara-negara asing, ini terbukti kerana sehingga kini, ASEAN mempunyai 10 Rakan Dialog, iaitu Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, Republik Korea, Rusia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Dari segi ekonomi, ASEAN kini mempunyai pasaran bernilai AS$2.6 trilion dengan penduduk berjumlah lebih 630 juta orang. Pada masa sama, ASEAN telah mewujudkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang menghapuskan hampir sepenuhnya halangan terhadap aliran bebas barangan, perkhidmatan dan buruh. ASEAN juga dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2050. Saya bangga menyatakan bahawa ia hanyalah satu permulaan kepada perjalanan yang le­bih gemilang.

Lanjutan daripada penubuhan Komuniti ASEAN, ASEAN telah menghasilkan satu dokumen ASEAN 2025: Maju Bersama Ke Hadapan yang menggariskan panduan untuk membina Komuniti ASEAN dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Dalam usaha untuk mengukuh­kan ASEAN, Wisma Putra telah mengenal pasti pendekatan utama dalam Pelan Strategik Lima Tahun Kementerian (2016-2020). Pelan Strategik tersebut memfokuskan untuk memacu ASEAN bagi menggapai kemajuan di pe­ringkat domestik dan antarabangsa. Justeru, tumpuan diberikan kepada beberapa bidang utama iaitu ASEAN Centrality dan a people-centred ASEAN.

Melihat peranan utama ASEAN dalam senibina keserantauan ini dan hubungannya dengan kuasa-kuasa besar dunia, Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN lain menekankan keperluan untuk memberi tumpuan kepada ‘ASEAN centrality’.

ASEAN juga mempunyai pendirian yang sama bagi beberapa resolusi dalam menangani topik-topik yang sensitif seperti pertikaian di Laut China Selatan. Pendekatan ASEAN yang tidak menyebelahi mana-mana pihak telah mengekalkan kredibiliti sebagai sebuah institusi yang meng­utamakan kepentingan rantau.

ASEAN Centrality dan ASEAN Unity berkait rapat dengan konsep ASEAN berpaksikan rakyat atau dalam erti kata lain mele­takkan keutamaan rakyat. ASEAN yang berpaksikan rakyat bermaksud rakyat ASEAN yang merasakan dirinya adalah kepunyaan rantau ini (sense of belonging), yang bertutur dalam satu suara, bersatu dan bekerjasama bagi kepentingan rantau. ASEAN berpaksikan rakyat (a people-centred ASEAN) meletakkan prinsip bahawa ASEAN sentiasa didorong dan didukung oleh rakyat.

Saya percaya usaha ini ha­nya dapat dicapai dengan mengutama­kan tujuan dan aspirasi rakyat negara kita.

Walaupun kita percaya bahawa ASEAN akan menghadapi cabaran yang lebih rumit serta menguji daya ketahanan negara-negara anggotanya, saya yakin setiap negara anggota ASEAN akan bangkit mencari formulasi terbaik bagi kejayaan bersama.

Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada ASEAN pada ulang tahun keemasannya dan mengucapkan Selamat Hari ASEAN kepada semua rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anifah Aman ialah Menteri Luar.