Sepanjang lapan tahun, ada zaman kecemerlangan dan cabaran serta tumpuan untuk mencari jalan penyelesaian ke atas isu semasa; ada waktu berhadapan dengan rintangan getir dan ada waktu beliau membawa pelbagai perubahan. Hakikatnya perjalanan beliau penuh liku dan onak tetapi masih terus memimpin tanpa berganjak malahan terus cuba membawa pembaharuan seiring dengan persekitaran semasa.

Harus diingat, beliau tidak ­seperti Perdana Menteri sebelum ini yang mengambil alih kepe­mimpinan negara dalam keadaan stabil walhal Najib muncul ketika BN kehilangan sokongan dua pertiga dan keadaan ekonomi terganggu serta perpaduan nasional berada dalam keadaan tidak menentu. Jadi, apa telah beliau lakukan sepanjang lapan tahun Malaysia di bawah pentadbirannya? Apakah yang mahu diingati?

Adakah yang memberi kekuatan dan peluang atau ancaman dan kelemahan sedangkan membina negara yang rencam dengan mengambil kira kemahuan, ke­perluan dan mindset setiap warga bukan tugasan mudah dan pada waktu yang sama menzahirkan konsensus memerlukan seorang pemimpin itu memikirkan masa depan pelbagai kumpulan agama, etnik, kelas dan pekerjaan baik di bandar mahupun luar bandar.

Konsep 1Malaysia digunakan untuk memulihkan perpaduan sebaik sahaja beliau memimpin berteraskan kepada nilai ke­negaraan, keadilan sosial dan per­paduan. Rundingan, tawar-menawar dan mediasi digunakan untuk mencari keadaan menang-menang walaupun ada sebahagian tidak menghargainya sehingga ketara dalam pola pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Di bawah pentadbiran beliau, beberapa pelan transformasi dilancarkan termasuk Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan dua Rancangan Malaysia iaitu RMK-10 dan RMK-11 dibentangkan. Dalam masa sama, walau dikritik, beberapa perkara yang diteruskan antaranya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), penubuhan Tabung Amanah Saham 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Kedai Runcit Kecil, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA), 1Malaysia For Youth (1M4U), 1Malaysia Privilege Card dan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

Di samping itu, dilancarkan antaranya klia2; Terminal Bas Selatan menggantikan Terminal Bas Pudu Raya; Projek Lebuhraya Pan Borneo 1,000 kilometer lebih tanpa tol; Projek Lebuhraya Pantai Timur LPT 2; Lebuhraya baru Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui Merapoh; kereta api laju Kuala Lumpur ke Padang Besar; MRT Line 1 beroperasi, bangunan Signature Tower di TRX ­setinggi KLCC yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2018; Projek KL Putra World Trade Centre; LRT 2; menara ter­tinggi KL118 sedang dibina dan Projek Bandar Moden Malaysia dan TRX ­termasuk kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura.

Najib juga dalam mentransformasi perundangan negara telah mengambil langkah berani dengan memansuhkan Akta ­Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memansuhkan Akta Buang ­Negeri, mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Polis 1967, pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 dan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman.

Malahan, satu jawatankuasa dibentuk untuk melihat semula dana politik bertujuan memperkenalkan Akta Kawal Selia Dana Politik yang menunggu masa untuk dibentangkan di Parlimen.

Sepanjang lapan tahun, hubungan luar Malaysia juga menjadi perhatian. Antaranya lawatan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama serta pemimpin utama negara seperti Perancis, Britain, Jepun, China, India, Australia, New Zealand, Korea Selatan, ­Vietnam, Si­ngapura dan yang lain. Ke­upayaan Malaysia meleraikan isu Korea Utara, pengganas Abu Sayaf di Filipina serta di Selatan Thai dan isu pelarian Rohingya sewajarnya mendapat perhatian semua.

Malahan, lawatan Raja Salman dari Arab Saudi adalah satu pencapaian yang barangkali menunjukkan pengiktirafan negara Arab ke atas pentadbiran Najib.

Kehadiran beliau di bumi Pa­lestin juga membawa detik sejarah baharu buat Malaysia.

Walaupun berhadapan de­ngan krisis ekonomi global, secara ­keseluruhannya kedudukan Malaysia tidak tergugat. Mengikut Laporan World Bank untuk ‘membuat perniagaan’, Malaysia berada di tangga ke-22 pada 2016. Human Capital Index 2016 menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-42 dalam Laporan World Economic Forum. Kajian IHS Inc, AS mendapati Malaysia menjadi tumpuan 10 negara teratas dalam konteks Pelaburan Langsung Asing (FDI). Kedudukan dalam Global Peace Index pula, Malaysia berada di paras tangga 30 dari 163 negara untuk 2016.

Dari sudut politik, keupayaan untuk mendapat mandat besar berbanding dengan kejatuhan parti-parti konvensional di seluruh dunia wajar dihormati. Ini kerana beliau berjaya mengekalkan 133 kerusi (kini 134: Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan walaupun berhadapan dengan beberapa isu persepsi ketika buat pertama kali mengetuai PRU. Tahun lalu, Sarawak dimenangi dengan majoriti besar di bawah Pilihan Raya Negeri. Di PRK pula, kepemimpinan beliau mampu mempamer prestasi baik. Dari 12 PRK, BN menang di tujuh kawasan termasuk Teluk Intan, Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ini juga akan menjadi cabaran dan sandaran untuk mengekalkan ­prestasi di PRU akan datang.

Sepanjang kepimpinan beliau, ada beberapa isu yang akan dijadikan bahan berterusan oleh parti lawan walaupun pada masa sama berlaku perubahan drastik dalam rangkaian kerjasama ­mereka terutama dengan ber­akhirnya Pakatan Rakyat dan membawa kepada Pakatan Harapan; kelahiran parti serpihan PAN dari Pas dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) dari UMNO; serta kerjasama tidak rasmi di antara Pas dan UMNO.

Barangkali isu yang perlu diberi perhatian segera termasuk kos kehidupan yang berubah-ubah; kenaikan harga petroleum dan harga barangan; cukai barangan dan perkhidmatan (GST); penyaluran dana ke peringkat bawahan, sistem penyampaian serta isu 1MDB yang boleh muncul semula di PRU.

Isu penangkapan dan pendakwaan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh memberi kesan di ­samping sabotaj dalaman dan luaran oleh pihak tertentu. Yang penting adalah pencerahan dengan hujah praktikal, rasional dan mudah difahami untuk mempamer kepercayaan dalam kalangan pengundi.

Sepanjang lapan tahun, Najib sudah melalui pelbagai fasa dalam mentadbir Malaysia. Dalam meminimumkan konflik dalaman, beliau berhadapan dengan percaturan politik berpandukan 41 tahun pengalaman sejak berada di Parlimen pada 1976; berumur 23 tahun.

Banyak yang sudah dilihat, dilalui, dipelajari dan terasuh dengan sendirinya. Setiap langkah yang diambil, beliau cermat implikasi­nya dari wajah sosiologi politiknya; beliau tahu hasil akhirnya. Keputusan popular dan tidak popular diambil.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.