Satu trend yang menguasai landasan peragaan dan kedai-kedai pakaian untuk musim pe­rayaan tahun ini adalah baju dan kurta tenun yang elegan, berbanding pakaian tradisional.

Walaupun sari dan lengeha terus digemari, orang ramai kini mula beralih daripada sut dan sari yang dihiasi penuh labuci kepada pakaian yang selesa dan minimalis yang memudahkan pergerakan seseorang sepanjang hari.

Pengasas Amitaruci, Tanesha Vinod percaya material tenun sedang melalui revolusi saat ini dengan kombinasi gaya India dan barat khususnya dalam kalangan orang muda.

“Musim ini lebih banyak mengenai pakaian selesa. Fabrik tenun lebih lembut dan warna­nya lebih terang.

“Tahun lepas saya memperkenalkan Kalamkari, sejenis tekstil lukisan tangan, ia popular dan sehingga kini orang menyukainya. Tahun ini saya menghasilkan pakaian Indo-barat menggunakan Madurai Sungudi Kattam Saree, Ikkat, Indigo, fabrik Kashish dan broked Banaras. Kesemua fabrik ini buatan tangan dan setiap satunya mempunyai keindahan unik tersendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Tanesha, fabrik cetak semakin kurang digemari kerana banyak kain tiruan boleh didapati di mana-mana dengan harga lebih murah dan kualiti rendah secara dalam talian.

“Fabrik tenun mempunyai kecantikan tersendiri dan untuk itu, semua fabrik saya pilih dengan teliti. Koleksi perayaan pertama saya semua habis dijual dalam tempoh dua jam dan saya sangat gembira, koleksi kedua kini sedang dalam proses. Kami juga mempunyai pembeli bukan orang India kerana saya mempelbagaikan rekaan pakai­an sederhana untuk memenuhi keperluan semua orang di Malaysia,” katanya.

Satu lagi trend yang semakin mendapat tempat ialah fabrik bercorak kotak-kotak Madras dan Poochampalli yang membuat kemunculan semula sebagai baju maxi, palazo dan skirt.

Memecahkan monotoni gaya tradisional, Pengasas Regalia Fashion (amp) Fabrics, J. Rebekah berkata, busana feminin tetapi mudah digayakan menjadi penggayaan yang paling dikehendaki pada masa ini.

“Tahun ini, semua orang ingin­kan warna terang dan meriah. Mereka sukakan campuran gaya berkelas dan kontras dalam pakaian mereka,” kata­nya.

Menurutnya, busana minimalis menjadi pilihan tahun ini untuk mudah bergerak, melawat saudara-mara, memasak dan mengemas, tetapi pada masa sama bergaya dan glamor.

Dalam pada itu, selain beraya dengan pakaian fesyen terbaharu, berinai dengan pelbagai corak yang menarik menjadi trend terkini bagi golongan wa­nita India untuk menyerlahkan lagi penampilan mereka pada musim perayaan Deepavali.

Inai dengan corak bunga-bu­ngaan dan tumbuhan menjalar pada tangan dan kaki itu yang dahulunya hanya dapat dilihat pada pengantin perempuan, kini menjadi budaya dalam kalangan masyarakat India, terutamanya pada perayaan Deepavali.

Pelukis inai, P. Umathevy berkata, permintaan melukis inai menjelang Deepavali sangat tinggi tanpa mengira umur sehingga pelukis inai tidak menang tangan.

“Dahulu, orang hanya melukis inai untuk perkahwinan tetapi sekarang orang juga berinai pada musim perayaan khususnya pada Hari Deepavali,” kata gadis berusia 23 tahun itu.

Umathevy berkata bukan hanya masyarakat India, malah lukisan inai mendapat sambutan hangat daripada kaum Melayu, Cina malah pelancong asing.

Pemilik Hello Gorgeous Beauty Parlour P. Komlashni pula berkata, selain pemakaian inai, mendandan rambut dan menghias kuku juga menjadi perkara penting bagi golongan wanita ketika musim Deepavali.

Beliau berkata, wanita kini ingin kelihatan lebih cantik dan berseri ketika perayaan, justeru jumlah pelanggannya meningkat dengan mendadak sehari dua sebelum sambutan Deepavali. – BERNAMA

INFO

- DEEPAVALI atau pesta cahaya adalah gabungan perkataan dipa yang bererti cahaya dan gavali yang bererti barisan.

- Perayaan itu disambut penganut agama Hindu pada hari ke-14 bulan Aipasi dalam kalendar Tamil (antara Oktober dan November).

- Ketika perayaan ini, pelita turut dipasang dalam barisan bagi melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan.

- Pada awal pagi Deepavali, sekitar pukul empat hingga lima pagi, semua ahli keluarga akan mengambil mandian minyak.

- Pada pagi hari perayaan, penganut Hindu akan pergi ke kuil dan mendapatkan restu orang tua sebelum bersarapan dengan keluarga dan sanak-saudara.

- Biasanya pada hari pertama Deepavali, penganut Hindu tidak akan keluar rumah malah memilih tinggal di kediaman masing-masing untuk melayan tetamu.