Dalam konteks upah dan gaji, keengganan majikan untuk membayar sebagaimana yang dipersetujui boleh menjadikan mereka sebagai ‘musuh Allah’. Mengapa soal upah dan gaji menjadi sesuatu perkara yang kritikal?

Satu laporan hasil kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk The School-To-Work Transition of Young Malaysians yang dikeluarkan penghujung tahun lalu ada menemukan persepsi tentang gaji yang telah menyebabkan wujudnya ketidakserasian dalam permintaan dan penawaran buruh muda.

Secara umumnya, kajian ini mendapati bahawa pengangguran dalam kalangan anak-anak muda di antara usia 15 hingga 29 tahun adalah tinggi. Soal selidik ini turut mengambil maklumat individu di peringkat sekolah.

Didapati sebahagian ibu bapa dan pelajar sendiri menganggap pendidikan dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) sebagai aliran ‘kelas kedua’.

Mereka mempunyai persepsi pendidikan TVET ini sebagai jalan akhir bagi pelajar yang kurang cemerlang dalam akademik. Sedangkan kajian KRI mendapati wujud perbezaan gaji yang bermakna antara graduan TVET dengan graduan kemahiran yang lain.

Selain itu, persepsi tentang graduan meminta gaji tinggi bagi pekerjaan dimohon juga perlu diubah. Hal ini kerana kajian mendapati, anak-anak muda meletakkan gaji minimum yang boleh dipertimbangkan adalah sekitar RM1,715 sebulan.

Majikan pula mempunyai persepsi bahawa graduan khususnya meletakkan sasaran gaji di antara RM2,400–RM3,000 sebulan.

Pada masa sama, anak-anak muda percaya bahawa pekerja asing, termasuk yang berkemahiran rendah memberi saingan kepada mereka.

Mereka menyebut bahawa keengganan untuk bekerja dalam sektor 3D (dirty, dangerous, difficult) bukanlah kerana pekerjaan itu sendiri.

Akan tetapi, ia disebabkan oleh penawaran upah begitu rendah. Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017 ada menyebut tentang lebih kurang 40 peratus daripada 200,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, bekerja dalam bidang separa mahir dan rendah.

Maknanya, jenis pekerjaan tersebut bukanlah sebab utama anak-anak muda enggan bekerja.Ketidakserasian ini sebenarnya telah bermula di peringkat alam persekolahan lagi apabila aliran TVET seperti yang telah dinyatakan, dianggap sebagai ‘kelas kedua’.

Manakala aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula dilihat lebih menjamin masa hadapan tetapi sukar dimasuki kerana kelas yang terhad.

Sedangkan pada hakikatnya, aliran TVET memberi nilai tambah kepada graduan, manakala graduan STEM adalah yang diperlukan dalam industri terkini.

Tetapi hanya seramai 32 peratus pelajar peringkat tertiari di seluruh Malaysia yang mengambil bidang berkaitan STEM.

Menyedari hal ini, beberapa langkah boleh dicadangkan seawal peringkat sekolah lagi.

Pertama, jika selama ini mungkin pelajar sahaja difokuskan tentang potensi pendidikan TVET, kini ibu bapa juga perlu diberi penerangan bersama agar tidak lagi menganggap bahawa bidang ini hanya untuk pelajar kurang cemerlang.

Sebaliknya, ibu bapa perlu menyokong dan menggalakkan anak-anak yang menunjukkan minat dalam aliran tersebut.Kedua, sektor 3D perlu ‘dijenamakan’ semula untuk menarik minat pekerja muda tempatan.

Hal ini termasuklah menyemak tangga gaji dan manfaat pekerjaan, menggunakan teknologi terkini yang sesuai serta meneruskan kempen-kempen hijau dan amalan kebersihan kepada masyarakat.

Ketiga, berkaitan peningkatan gaji minimum kepada RM1,100 bermula Januari ini, secara tidak langsung ia menggambarkan Malaysia semakin menuju ke arah masyarakat berpendapatan tinggi.

Pada akhirnya, Malaysia berbanding dengan negara serantau seperti Thailand dan Singapura masih lagi bertuah kerana populasi kumpulan umur bekerja negara adalah di peringkat progresif dengan umur penengah 28.2 tahun pada 2015.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).