Perkara ini mempunyai alasan yang mudah kerana UMNOlah yang membekalkan jumlah bila­ngan besar dalam keahlian Dewan Rakyat. Untuk memiliki Kabinet, mana-mana parti pembangkang perlulah menewaskan UMNO.

Mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), gelanggang ibu segala pilihan raya itu sebenar­nya bukanlah semata-mata menyaksikan persaingan atas kertas antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

Tetapi jauh dari itu, hakikat sebenar adalah pertembungan UMNO dengan DAP. Pakatan Harapan bukanlah diketuai oleh mana-mana parti Melayu, hatta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun diterajui pengerusi­nya yang dulunya Perdana Menteri berkuasa selama 22 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tetapi pakatan itu dikepalai DAP - yang memiliki sejumlah besar kerusi dan dipercayai akan mengekalkan sebahagian besar kerusi-kerusi Cina yang dimenangi dalam PRU-13.

Dalam taklimat presiden petang kelmarin di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), difahamkan Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap panjang lebar kebimba­ngannya terhadap gejala sabotaj calon pilihan pucuk pimpinan.

Ini sebenarnya tidak menghairankan kerana itulah realitinya - isu sabotaj calon masih menjadi ‘duri dalam daging’ dalam UMNO.

Ingatlah! selagi UMNO me­nge­kalkan status quo kekuatan dan pengaruhnya yang sekali gus menikmati sokongan popular orang Melayu, Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai pi­lihan melainkan untuk melantik seorang Presiden UMNO menge­tuai Kabinet sebagai Perdana Menteri.

Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor: “Mereka yang ingkar daripada memahami dan tidak belajar daripada sejarah akan dihukum dengan me­ngulangi ­kesalahan dan kesilapan yang sama.”

Tabiat cah keting (dalam konteks mensabotaj calon) pernah di­sebut oleh Munshi Abdullah dalam buku catatan pelayarannya pada 1838. Iaitu ketua-ketua ne­geri yang dipanggil sultan ketika itu ada menasihatkan rakyatnya (Kelantan) antara lain berbunyi: “Berperanglah (berlumba) kamu untuk mendapatkan sesuatu ja­watan.”

Soal cah keting secara realiti bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah di negeri lain. Tidak sahaja dalam UMNO, bahkan parti pembangkang dan organisasi lain yang tiada sangkut paut dengan politik. Isu cah keting tidak dapat tidak, mesti... mesti... mesti dielakkan oleh ahli UMNO. Cuma, bila agaknya persoalan cah keting ini akan berakhir?

Sebenarnya sampai bila pun persoalan itu tidak akan selesai selagi manusia mempunyai pe­rasaan tamak dan dahaga kuasa.

Cara paling baik untuk me­ngatasi cah keting adalah dengan mematuhi segala arahan ketua. Jika berlaku perbezaan atau perlumbaan, cepat-cepatlah kembali kepada asas perjuangan dengan segera merapatkan barisan bagi berhadapan dengan musuh.

Jangan melawan atau cepat melenting. Selepas itu ambil masa sejenak memikirkan sebab musabab sesuatu keputusan dibuat.

Bermuhasabah diri adalah jalan terbaik, ingat setiap perkara yang berlaku ada baiknya. Mungkin tidak kepada individu, tetapi menguntungkan sekumpulan orang yang jelas lebih baik daripada kepentingan peribadi.

Di sebalik risiko cah keting, perlu diingatkan, tanpa kuasa sebagai pengundi berdaftar yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah ahli UMNO yang mencecah lebih 3.5 juta sekali pun tidak akan memberi makna apa-apa dalam politik penentu parti memerintah.

Dan itu belum lagi yang liat untuk mendaftar, bahkan telah mendaftar pun, masih malas me­nunaikan tanggungjawab sebagai pe­ngundi. Ini berbeza dengan kaum lain, yang akan terpacul seawal pagi lagi yang belum pun pusat pengundian dibuka - untuk berlumba-lumba membuang undi dalam usaha memenangkan calon mereka.

Orang Melayu termasuk daripada UMNO harus sedar dan mengambil iktibar hal ini.

Misalnya, dalam proses pelantikan Perdana Menteri tidak ada disebutkan prasyarat mengenai bangsa atau agama. Ini bermakna bangsa bukan Melayu boleh dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa akan datang untuk menjadi Perdana Menteri, iaitu selagi beliau dapat mengu­asai keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Hakikat bahawa ini tidak pernah berlaku sebelum ini tidak bermakna bahawa ia tidak boleh atau tidak akan berlaku pada masa depan terutamanya apabila keadaan politik yang berubah-ubah di Malaysia.

Yang menguatkan parti adalah roh perjuangan. UMNO bukan lahir di tepi jalan. UMNO tidak lahir di lereng bukit tetapi lahirnya UMNO adalah di Istana Besar Johor pada 1946.

Sesekali ambillah teladan dari kisah malang Pak Kadok. Ayam­nya menang kampung tergadai. Ada nasi dicurahkan, awak pulang kebuluran. Mudek menongkah surut, hilir menongkah pasang. Ada isteri dibunuh, nyaris mati oleh tak makan. Masa belayar kematian angin, sudah di­labuh bayu berpuput. Ada rumah bertandang duduk.

Satira rakyat telah berpesan supaya tidak menang sorak kampung tergadai. Suatu cerita yang turun temurun sebagai peringatan kepada anak cucu.

Namun setakat mana diambil iktibar dari pesanan leluhur ini?

Kejayaan yang dikecapi rakyat selama ini adalah hasil perjua­ngan UMNO yang sentiasa berusaha memastikan rakyat terus maju seiring dengan pembangunan negara.

Jadilah kapal korek yang berjasa. Bukannya me­ngorek kapal yang akan tenggelam dan mero­sakkan semuanya.