Bunga kemuncup tidak boleh dijadikan alasan yang melambatkan perjalanan. Cuma ia tidak selesa kerana sifatnya merimaskan, semua orang tidak suka, tetapi tidak memudaratkan. Maka kalau hendak memastikan kita sampai ke tempat yang dituju, abaikan bunga kemuncup yang kelihatan seolah-olah mahu menggagalkan atau melambatkan perjalanan.

Kenapa orang tua-tua berpesan sedemikian? Jawabnya kerana mereka belajar dan membaca isyarat yang dipancarkan oleh alam. Mereka kenal sangat dengan sifat bunga kemuncup. Inilah hasilnya mereka berkawan dengan alam dan dari alam juga mereka memetik makna dalam kehidupan. Alam adalah cermin kehidupan.

Dulu ketika saya masih kanak-kanak, ayah selalu berpesan: “Cabut bunga kemuncup itu bila sampai ke sekolah. Kalau asyik mencabut sambil berjalan tentu lambat sampai ke sekolah.”

Ketika itu saya tidak faham apa-apa kecuali bunga kemuncup yang melekat pada stoking putih. Memang merimas dan mencomotkan. Tetapi pesan ini terus berguna biarpun zaman berubah, manusia silih berganti dan alam juga bertukar rupa. Tetapi kini makna bunga kemuncup sudah berkembang dan bukan lagi yang melekat di stoking saya.

Mungkin sesetengah dalam kalangan generasi muda tidak tahu lagi dengan bunga kemuncup atau nama saintifiknya chrysopogon acicutatus. Kalau tidak tahu carilah bagaimana rupa dan apa sifatnya. Ini zaman maklumat berada di hujung jari. Kepada yang kenal dan faham sifat bunga kemuncup, bertuahlah. Ini satu pengalaman hidup yang berguna.

Pengalaman adalah ibu bagi segala guru. Mengenali sifat bunga kemuncup adalah satu pengalaman alam yang cukup bermakna. Telaah dan susuri maksud bunga kemuncup, barulah kita dapat menghargai pesanan orang tua-tua yang kaya dengan kiasan.

Orang tua-tua mahu menegaskan bahawa dalam hidup ini banyak perkara yang hendak dilaksanakan. Pilihlah yang utama diutamakan, yang tidak utama dikemudiankan. Banyak juga yang cuba me­lambatkan atau menggagalkan. Tetapi kalau bukan utama, abaikan sahaja.

Maka kebijaksanaan memilih keutamaan pada yang utama juga adalah satu cabaran. Kalau memberi keutamaan pada yang tidak utama misalnya bunga kemuncup tadi, kita akan terus gagal. Ini kerana melayan yang bukan keutamaan.

Bunga kemuncup bukanlah duri. Malah bagi orang yang kuat semangatnya untuk menuju ke satu-satu tempat, duri pun diredahnya. Duri-duri di jalanan itu adalah cabaran dan rintangan yang mahu menggagalkan matlamat untuk sampai ke satu-satu tempat. Kalau duri pun ada yang meredah, inikan pula bunga kemuncup.

Maka untuk memastikan segala perancangan jangka panjang berjalan dengan lancar, abaikan manusia-manusia yang meminjam sifat kemuncup. Manusia begini memang wujud dengan tujuan untuk menggagalkan kecuali dia mendapat keuntungan daripadanya. Semasa diberi kepercayaan mereka bukan sahaja tidak meraikan malah mengkhianati kepercayaan itu.

Tetapi selepas orang hilang kepercayaan, mulalah mereka meraih kembali kepercayaan itu. Kalau dulu waktu berkuasa mereka adalah duri nibung yang bisa dan digeruni. Tetapi sekarang hanya bunga kemuncup.

Bagaimanapun, ada yang tidak dapat menerima atau tidak sedar hakikat demikian. Mereka tidak dapat menerima hakikat menjadi bunga kemuncup di kaki seluar.