Persepsi itu kemudian melingkar di fikiran segelintir rakyat hingga mereka membuat pelbagai dakwaan dan tuduhan. Sedangkan semuanya itu tidak benar. Secara logiknya mustahil kerajaan mengambil ketetapan sedemikian memandangkan golongan bumiputera adalah kumpulan majoriti di negara ini.

Dari segi jumlah kependudukan terkini, golongan bumiputera mewakili 68.6 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia sebanyak 31.7 juta orang. Diunjurkan, jumlah tersebut akan meningkat kepada 69.1 peratus kira-kira tiga tahun lagi. Dijangka, menjelang 2030, jumlah keseluruhan bumiputera boleh mencapai 70.7 peratus.

Apa yang boleh dirumuskan berdasarkan statistik tersebut, jumlah keseluruhan golongan bumiputera dijangka meningkat sehinggalah 13 tahun akan datang. Dengan berlakunya pertambahan tersebut dan dengan kedudukan sebagai golongan majoriti, tidak mungkin kerajaan mengambil sikap acuh tidak acuh dalam konteks membangun dan memperkasakan agenda bumiputera.

Apatah lagi tuntutan untuk memelihara kepentingan golongan bumiputera jelas termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas, agenda membangun dan memperkasakan bumiputera adalah agenda negara yang wajib dilaksanakan oleh setiap kerajaan memerintah. Oleh itu sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, agenda ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehinggalah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah antara misi utamanya selepas beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009 ialah memperjuangkan kepentingan bumiputera dengan menjadikan agenda berkenaan sebagai agenda nasional. Bahkan, agenda itu juga menjadi elemen terpenting dalam pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional 2050.

Sedar tidak sedar, agenda membangun dan memperkasakan golongan bumiputera sejak beberapa dekad yang lalu sebenarnya telah banyak memberi manfaat kepada negara khususnya untuk menyeimbangkan kedudukan ekonomi antara semua kaum di Malaysia.

Semuanya bermula dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970, setahun selepas berlaku peristiwa hitam 13 Mei 1969. Sejak itu, kerajaan terus mengorak langkah untuk membantu dan memberi sokongan kepada golongan bumiputera sehinggalah hari ini.

Antara kejayaan terbesar melalui agenda pemerkasaan bumiputera ialah menurunkan kadar kemiskinan yang banyak melibatkan golongan itu. Pada 1970 kadar kemiskinan yang dahulunya pada kedudukan 49.3 peratus telah berkurangan kepada 3.8 peratus pada tahun 2009 dan terus menyusut 0.6 peratus pada 2014.

Tidak terkecuali dalam bidang pendidikan. Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas agenda bumiputera berjaya melahirkan 700,000 graduan anak-anak Melayu. Lebih membanggakan lagi ada di antara mereka yang mendapat pendidikan di UiTM mempunyai nama yang cukup besar dalam bidang masing-masing khususnya profesional dan teknokrat.

Berbalik kepada usaha Perdana Menteri untuk membangun dan memperkasakan agenda bumiputera, beliau telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pada Februari 2011 dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) pada 1 September 2009 bagi melancarkan lagi usaha tersebut.

Kedua-dua agensi ini telah diberi bertanggungjawab untuk membantu dan memajukan lagi syarikat-syarikat bumiputera yang berdaya saing, seterusnya disenaraikan di Bursa Malaysia. Sebenarnya banyak pihak di luar sana tidak tahu, terlalu banyak kisah kejayaan hasil daripada program yang disusun oleh kedua-dua agensi berkenaan.

Sebagai contoh, syarikat milik bumiputera, System Consultancy Services Sdn. Bhd. telah berjaya memecah monopoli syarikat luar negara dalam perkhidmatan teknologi maklumat berkaitan industri pertahanan.

Begitu juga kisah kejayaan syarikat AUEI Teras Holdings Sdn. Bhd. dari Kelantan. Syarikat milik bumiputera ini bermula dengan hanya mengendalikan projek-projek bernilai lebih RM25 juta tetapi kini telah melonjak kepada RM300 juta.

Contoh lain, sebuah syarikat milik seorang bumiputera Sabah iaitu SMR Aquaculture Sdn. Bhd. telah diberikan geran sebanyak RM2.6 juta untuk menjalankan perniagaan serampang tiga mata iaitu akuakultur, pertanian hidroponik dan pengeluaran tenaga solar. Projek bernilai RM48.35 juta ini dijangka merancakkan lagi industri pelancongan di Sabah, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Tiga contoh ini boleh dijadikan bukti kejayaan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan bumiputera khususnya dalam bidang ekonomi.

Bagi melengkapkan lagi perjuangan agenda membangun dan memperkasakan bumiputera, Perdana Menteri pada 19 April 2017 telah melancarkan Hala Tuju Transformasi Bumiputera (BETR) 2.0 juga dikenali dengan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB).

Hasrat Perdana Menteri melalui pelaksanaan TKB ini adalah untuk membela dan memperkasakan agenda bumiputera dalam segenap aspek kehidupan dan bukan tertumpu kepada sudut ekonomi semata-mata. Beliau mahu TKB lebih bersifat inklusif, terangkum lagi holistik.

Kepada semua agensi pelaksana seperti Teraju, mereka sebenarnya mempunyai tugas yang amat besar dalam merealisasikan hasrat mulia kerajaan ini.