RAKAMAN video kes buli membabitkan dua murid tahun enam sebuah sekolah yang menjadi tular di laman sosial dalam satu kejadian di Putatan, Sabah, September tahun lalu.

Mangsa, Muhammad Farid Ibrahim (16 tahun ketika itu) mengalami kecederaan serius di kepala, usus dan hati meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban akibat dibelasah teruk oleh pelajar-pelajar senior terlibat.

Ekoran kes tersebut, lapan pelajar tingkatan lima dari sekolah yang sama telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Seremban pada 6 Ogos 2004 atas tuduhan membunuh Allahyarham Muhammad Farid. Mahkamah kemudian memerintahkan mereka yang masih juvenil diletakkan di bawah tahanan selama diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Kini 13 tahun berlalu. Namun isu buli tidak pernah surut malah terus berlarutan hingga saat ini. Seolah-olah isu ini langsung tiada kesudahan.

Bukan setakat berlaku di sekolah, bahkan turut melibatkan pelajar di peringkat pengajian tinggi seperti mana nasib yang dialami oleh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dalam kejadian awal Jun itu, Zulfarhan Osman yang juga seorang Pegawai Kadet Laut menemui ajal akibat dibuli oleh rakan-rakan sepengajiannya selepas didera menggunakan seterika wap. Tidak lama kemudian iaitu sekitar 9 Jun, seorang remaja, T. Nhaveen mengalami nasib serupa apabila dibuli sekumpulan empat orang remaja dalam satu kejadian di Pulau Pinang.

Kes itu mendapat perhatian masyarakat selepas mangsa dibuli dan dibelasah oleh sekumpul­an remaja menggunakan topi keledar. Mangsa meninggal dunia selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri ketika mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Tidak cukup dengan kejadian itu, dua pelajar tahun satu sebuah kolej vokasional di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini menjadi mangsa buli setelah dibelasah hampir 20 orang pelajar senior dalam satu kejadian pada 9 Ogos lalu.

Persoalannya, mengapa perbuatan buli ini sukar dibendung? Yang pasti, isu buli ini adalah satu isu besar dan wajar diberikan perhatian serius oleh semua pihak.

Bayangkan tatkala anak-anak ini dihantar untuk tinggal di asrama dalam keadaan ceria dan sihat walafiat, akhirnya kita terima tubuh mereka dalam keadaan tidak bernyawa. Betapa luluhnya hati seseorang ibu mahupun bapa ketika menerima sekujur tubuh yang kaku akibat menjadi mangsa buli.

Apatah lagi anak yang menjadi mangsa buli ini menjadi harapan keluarga untuk mengubah nasib hidup mereka. Mahu tidak mahu sesuatu perlu dilakukan agar perbuatan buli ini dapat segera ditangani.

Sungguhpun begitu, penulis percaya, pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan sentiasa mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah buli khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Malahan dalam beberapa kenyataan sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilihat begitu komited untuk menangani masalah ­berkenaan. Antaranya meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sentiasa bekerjasama dengan pihak polis untuk mengawasi sekolah yang mempunyai rekod masalah disiplin terutama berkaitan isu buli.

Pensyarah Kanan Psikologi Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Awang Idris ketika dihubungi baru-baru ini mahu pihak Kementerian Pendidikan memasukkan topik buli secara khusus dalam subjek ­tertentu.

“Tujuannya untuk kita memberi pendedahan dan kesedaran kepada anak-anak tentang perbuatan buli dalam sistem pendidikan formal. Sebaik-baiknya bermula di peringkat sekolah rendah lagi,” ujarnya.

Dengan mengambil Australia sebagai contoh, beliau berkata, hasilnya para pelajar lebih peka tentang isu itu dan tidak sewenang-wenangnya bertindak membuli atau menjadi mangsa buli.

“Bahkan tafsiran buli di Australia lebih luas. Bukan setakat dipukul, dibelasah atau disepak malahan kata-kata berbentuk menghina atas sebab keturunan atau kaum juga dianggap buli. Sebagai contoh, perkataan black tidak boleh sama sekali digunakan di Australia kerana perkataan itu dianggap buli kerana ada ciri-ciri perkauman.

“Melalui cara ini perlakuan buli mampu disekat sejak awal-awal lagi. Selain itu, kempen-kempen anti buli perlu diperhebatkan antaranya menampal poster-poster serta menggantung banting anti buli di mana-mana tempat strategik,” katanya.

Kata rakan penulis, jika perlu, jadikan kempen ini sebagai salah satu program di peringkat nasional.

Dalam pada itu, seorang guru di sebuah sekolah menengah pernah berkongsi pandangannya dengan penulis dalam isu ini. Katanya, guru juga tidak terkecuali dibuli yang sehingga ke tahap menggugat keselamatan guru berkenaan.

Sebab itu katanya, guru hanya memberi tumpuan kepada mereka yang benar-benar mahu belajar. Katanya pada penulis lagi, tiada guru yang mahu melihat pelajar-pelajarnya gagal namun jika terdapat pelajar yang terlalu biadab dan bertindak samseng kepada guru, apa yang boleh guru itu lakukan, lebih-lebih lagi guru wanita?

Lebih malang lagi, kumpulan pelajar sebegini mendapat pembelaan daripada ibu bapa sekiranya laporan diberikan kepada mereka. Inilah dilema yang dihadapi guru-guru sekarang.

Justeru demi kebaikan semua pihak, sudah tiba masanya pihak kerajaan mengklasifikasikan perbuatan buli ini sebagai salah satu musuh yang perlu diperangi habis-habisan.