Semua orang merasa lega setelah ‘musim pilihan raya’ yang bermula sejak lima tahun lalu tamat. Sepanjang lima tahun itu suhu politik negara tak pernah turun ke tahap sejuk atau nyaman. Semuanya berada pada tahap panas dan menggelegak tidak kira sama ada di sebelah pihak kerajaan mahupun pembangkang. Sepanjang kempen banyak sungguh kata-kata kurang enak, nista, tuduhan, dakwaan, cacian dan makian dihamburkan oleh kedua-dua pihak bertanding. Ini belum termasuk lagi syak wasangka, tuduhan dan pembongkaran skandal peribadi.

Dalam tempoh itu juga banyak drama dapat disaksikan. Apa sahaja kejadian yang berlaku terutama yang melibatkan rakyat jelata maka akan keluarkan drama-drama susulan. Maka muncullah ahli-ahli politik bertuala separuh bogel berdemonstrasi di hadapan pejabat kerajaan dan macam-macam lagi sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang ketika itu.

Dalam masa yang sama juga banyak juga kejadian yang tidak ada kena mengena dengan politik pun turut terseret menjadi isu politik atau perkauman. ‘Terima kasih’ kepada kepada kecanggihan teknologi maklumat yang menjadikan media sosial, satu medium yang paling berkuasa pada masa ini. Ada sahaja pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab cuba mengaitkan satu-satu kes dengan perkemba­ngan politik negara walaupun kes-kes yang tular itu belum tentu benar.

Orang ramai menjadikan medium itu sebagai sumber maklumat paling pantas tanpa perlu disaring-saring. Sepanjang tempoh berkempen yang panjang itu, kebergantungan kepada berita dan laporan daripada media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp sangat tinggi. Para pengguna mudah percaya kepada apa yang dihidang oleh media sosial. Kebanyakan pengguna percaya bulat-bulat kepada apa yang tular ketika kali pertama menerima berita sedemikian. Mereka hanya akan ‘kendur’ apabila pihak berkuasa menafikan perkara tersebut. Itu pun tidak semua mudah termakan dengan penjelasan atau penafian pihak terlibat.

Pahlawan-pahlawan papan kekunci dan tentera maya kedua-dua pihak bertempur tanpa henti, tanpa waktu rehat sepanjang hari. Kedua-dua pihak tidak pernah mahu mengalah. Malah ketika keputusan pilihan raya sudah diketahui pun mereka masih berperang sehingga sekarang. Walaupun tidak sehebat sepanjang tempoh berkempen pertelagahan berterusan dan dipercayai tidak akan berakhir sampai bila-bila pun.

Hari ini walaupun sudah memasuki hari ketiga Ramadan, tidak nampak tanda-tanda suhu politik negara akan turun. Lagi mendidih adalah. Cuaca panas dan penat berpuasa tidak memberi kesan langsung kepada sesetengah orang. Orang ramai masih lagi bercakap tentang pilihan raya sementelah lagi ada banyak peristiwa susulan pascapilihan raya muncul tidak semena-mena. Antaranya, tampuk kepemimpinan pegawai tertinggi di beberapa agensi penting dan strategik kerajaan dirombak bagi disesuaikan dengan kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Walaupun sudah dijangka, beberapa pemimpin politik mula disiasat tetapi tidaklah secepat apa yang berlaku sekarang. Perkembangan siasatan diikuti dengan penuh minat oleh seluruh rakyat di negara ini, walaupun cara dan adab pelaksa­naannya dikritik lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang berpuasa. Malah dalam kalangan pemimpin kerajaan sekarang pun turut tidak berkenan dengan cara pihak berkuasa terlibat menjalankan siasatan tersebut.

Sebagai contoh, ada kerajaan negeri baharu yang membuka kediaman rasmi pembesarnya untuk ‘ditonton dan diziarahi’ oleh orang ramai selama sebulan. Kononnya bertujuan untuk menunjukkan mereka sebuah kerajaan negeri yang telus. Dalam tempoh sebulan ini kediaman rasmi itu seolah-olah dijadikan `muzium’ untuk dilawati oleh sesiapa sahaja. Lantas orang ramai berduyun-duyun keluar masuk di rumah tersebut termasuk ke dalam bilik tidur utama dan ahli keluarga bekas pemimpin itu. Kononnya mahu mempertontonkan kepada rakyat elemen-elemen ‘kemewahan dan pembaziran’ yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Apa yang berlaku itu mengingatkan penulis kepada peristiwa ketika kerajaan Presiden Iraq, Saddam Hussien jatuh ditakluk tentera Barat. Tanpa rasa hormat sedikit pun anggota tentera menceroboh masuk, menjelajah dan menjarah setiap sudut istana pemimpin Islam itu. Nama lagi istana, di dalamnya sudah tentu penuh kemewahan.

Tetapi apa yang berlaku di kediaman rasmi di Melaka ini (yang selepas tempoh lawatan orang ramai itu akan didiami oleh pe­mimpin kerajaan negeri baharu) tidak pula ternampak elemen kemewahan melampau.

Tidak dapat dipastikan adakah setiap mangkuk tandas di kediaman itu diperbuat daripada emas dan ditatah dengan permata sehingga dianggap sebagai mewah dan membazir!

Pilihan raya sudah berakhir. Setiap orang sudah mendapat ‘hak’ masing-masing. Ramadan yang tiba sejurus selepas berakhir pilihan raya adalah rahmat kepada semua ahli politik terlibat, sama ada yang menang atau yang tewas. Inilah waktu terbaik untuk bermuhasabah, merenung dan mem­perbaiki diri.