Syukurlah. Tutup buku lama, buka lembaran baharu melalui pilihan raya kecil PD ini.

Kalau tidak, rakyat pasti terus `bercakap’ tak habis-habis ke cerita politik Malaysia ini. Takkanlah semuanya pasal Dr. Mahathir dan Anwar saja?

Ceramah mega Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu di hadapan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, Port Dickson Waterfront (belakang Regina Mall) malam ini setidak-tidaknya menamatkan desas-desus kononnya dua calon bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan ‘diheret’ masuk ke gelanggang PD atas ‘restu’ pemimpin tertentu untuk menyekat kemaraan Anwar.

Bila mengikuti penjelasan Dr. Mahathir kenapa beliau turun ke PD, sejenak penulis teringat serangkap pantun yang pernah diungkapkan bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46, Tan Sri Dr. Rais Yatim terhadap mereka yang berkontra politik dengannya.

Jambatan baharu

Apabila Rais yang merupakan watak penting dalam S46 sebelum dibubarkan pada 6 Oktober 1996 menerima pelawaan Dr. Mahathir untuk menyertai barisan Kabinet selepas November 1999, begini bunyi pantunnya:

Pokok lada tepi tempayan,

Kalau dibakar menjadi abu,

Apa ada pada jambatan,

Kalau terbakar binalah yang baharu.

Sebab itu Rais yang kini Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan pada 3 Oktober lalu mengharapkan gandingan tenaga sekutu antara Anwar dan Dr. Mahathir bersama pemimpin lain dalam Pakatan Harapan dapat membawa kepada pencapaian negara yang lebih baik.

Dr. Mahathir pun pernah menjelaskan bahawa dalam politik tiada yang kekal. Kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan. Yang kekal hanya perjuangan dan isu-isu yang dibawanya.

Dr. Mahathir yang selama ini berjuang dan mentadbir negara dan parti (UMNO dan sekarang, Bersatu) memang berkelulusan ‘genap’ dan tinggi untuk menyatakan hakikat itu. Beliau telah menempuh segala pahit-maung dan saat-saat manis perjuangan. Kata-katanya itu tepat. Dan ketepatan itu boleh sesiapa perakukan sendiri kerana telah tersua banyak peristiwa dan kejadian yang membuktikan falsafah itu sebagai kenyataan sejagat.

Tajam, berkilat

Pengalaman mana-mana menteri Kabinet, UMNO dan Bersatu di bawah Dr. Mahathir memberi mereka teladan untuk melengkapkan diri supaya sentiasa dalam keadaan ‘tajam’ dan ‘berkilat’. Bukan tajam dengan tujuan hendak mengenakan orang. Tetapi tajam dan berkilat untuk bersedia terhadap apa jua kemungkinan.

Dan sebenarnya dalam mana-mana parti politik pun, penyakit tenat dan berat ialah gara-gara para pemimpin sendiri bercucuk radak mengatasi pemimpin lain. Sebahagian besar dihabiskan dengan gara-gara buruk ini sehingga bidalan ‘ikan mula busuk di kepala, bukan di ekornya’ lumrah dipadankan dengan kekacauan yang dicetuskan oleh pemimpin.

Kadang-kala mereka tak sepatutnya bersengketa kerana kebolehan serta tahap pencapaian masing-masing tidak mengharuskan mereka berlumba-lumba. Tetapi ego politik sentiasa mengatasi fiil positif yang lain hingga ramai yang lupa diri. Misalnya mereka lupa dari mana mereka berasal. Apa sebenarnya yang dikatakan perjuangan? Apa dia pengorbanan?

Bagi seseorang ahli politik untuk berangan-angan tinggi bukanlah perkara ganjil atau satu kesalahan. Malah, ahli politik yang tanpa angan-angan tinggi bukan ahli politik namanya. Pepatah ada mengatakan, bila dapat betis, hendakkan peha dan bila dapat peha, hendakkan badan pula. Ini naluri manusia biasa, apatah lagi dalam dunia politik.

Cuma ‘daya dorong’ ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem yang berimbang. Dalam politik, proses inilah yang banyak ketinggalan, lantas menelurkan pergeseran dan permusuhan. Apabila proses naik ke tahap atasan ini tidak terlandas kepada prinsip dan nilai yang teguh bermoral, maka akan wujud sengketa yang menjadikan kawan kepada lawan.

Tamatkan spekulasi

Dengan turun padang di PD malam ini, Dr. Mahathir sudah pun menamatkan spekulasi 'getir’ hubungannya dengan Anwar. Semuanya ini demi kestabilan politik, seterusnya untuk manfaat ekonomi dan negara.

Beliau sebelum ini pun sudah bermadah, Melayu sudah lupa, Melayu sudah lupa. Melayu akan berubah dan terus berubah kerana sesuatu bangsa dan tamadun itu tidak akan menunggu sesiapa.

Melayu tetap berevolusi dan berubah. Budaya berubah, nilai berubah.

Mana-mana bangsa yang boleh menunggang dan memacu kuda perubahan ini akan selamat. Yang tidak, akan ditinggalkan zaman. Melayu yang kini masih berpecah belah dari aspek kepartian - ada kata pecah lima hingga enam - mesti berbuat sesuatu ke arah menjamin keutuhan generasi orang Melayu pada masa depan.

Jika kita yang mewujud dan mengekalkan kesejahteraan ini tidak pula mahu mengadakan pagar penjamin baginya, yang akan dipersalahkan nanti ialah kita sendiri.

Jangan disalai ciku kedondong,

Salailah ikan atas para,

Jangan disalahkan 
ibu mengandung,

Salahkan badan 
yang buruk pinta.