Ramai berkata bahawa persa­tuan bola sepak lain juga memiliki isu yang sama. Ya, memang ada benarnya tetapi tidaklah seperti mana PFA. Perit untuk diterima tetapi itulah realiti PFA ketika ini.

Lebih malang, presiden PFA sendiri telah meletakkan jawatan baru-baru ini di saat pasukan itu dalam keadaan terumbang-am­bing. Begitu juga salah seorang daripada tiga timbalan presidennya yang punca peletakan jawatan itu tidak dinyatakan.

Untuk rekod, Singa Utara sebelum ini adalah antara gergasi bola sepak negara apabila pernah memenangi pelbagai kejuaraan se­perti Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 manakala Liga Super pada 2005 iaitu ketika zaman Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi Presiden PFA

Umum mengetahui tanpa sum­­bangan individu yang berpe­ngaruh di negeri itu, PFA sukar digerakkan. Perbelanjaannya di­katakan mencecah RM8 juta untuk semusim. Ini termasuklah mengambil kira gaji para pemain yang secara purata RM5,000 sebulan bagi setiap orang. Itu pun masih dikira rendah berbanding gaji pemain-pemain di pasukan bola sepak negeri lain.

Sebelum ini, Shahidan ada me­nyatakan kesediaan beliau untuk menggalas semula tanggungjawab untuk menerajui PFA dan meminta semua pihak menunggu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun sehingga kini masih belum menampakkan sebarang tanda-tanda, apatah lagi Shahidan kini sedang mendapatkan rawatan sakit saraf di sebuah hospital di ibu negara.

Seperkara lagi, jika di negeri-ne­geri lain, pasukan bola sepak mereka ‘dijaga’ oleh kerajaan negeri, tetapi tidak di Perlis. Pasukan itu terpaksa bergerak sendiri dengan sumber kewangan yang terhad.

Maka sebab itu, ada wakil rak­yat semasa sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) baru-baru ini mencadangkan supaya perlemba­gaan PFA digubal. Ini bagi memastikan Menteri Besar secara automatik dilantik sebagai Presiden PFA. Secara tidak langsung, segala perbelanjaan mengurus PFA terletak di bawah kerajaan negeri.

Namun perkara itu tetap tidak nam­pak sinarnya kerana Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sebaik sahaja diajukan tentang perkara berkenaan kekal de­ngan pendirian enggan menggalas ta­nggungjawab tersebut.

Pada masa sama, umum juga mengetahui sumber kewangan kerajaan negeri yang agak terhad apabila kini telah menjadi salah sebuah negeri pembangkang di dalam negara. Kemudian timbul pula cadangan untuk membubarkan sementara PFA.

Yalah, daripada menjejaskan nama baik negeri dan terdedah kepada saman, baiklah pasukan itu menarik diri daripada kancah bola sepak negara.

Idea itu pula ditentang oleh para peminat setia bola sepak Perlis yang menyifatkannya sebagai langkah terburu-buru. Apatah lagi bola sepak adalah satu-satunya sukan kegemaran bagi rakyat di negeri ini.

Berikutan itu, satu tabung khas bagi mengumpul dana te­lah dilancarkan pengurusan PFA baru-baru ini. Ia mengambil kira pandangan daripada peminat PFA sendiri yang prihatin terhadap nasib yang menimpa pasukan Singa Utara itu.

Cadangan itu dikemukakan menerusi laman rasmi Facebook PFA yang mempunyai 19,000 pengikutnya. Namun sehingga kini sokongan diberikan masih kurang mendapat sambutan. Ha­ri pertama berjaya mengumpul RM30 tetapi meningkat kepada RM330 pada 28 Julai lalu.

Jumlah dikumpul itu masih ja­uh daripada sasaran untuk se­kurang-kurangnya membantu mem­bayar gaji pemain yang tertunggak.

Perlu diingat bahawa pemain PFA sehingga kini masih terus bermain mewakili Singa Utara dalam Liga Malaysia walaupun tanpa gaji. Sebahagian besar mereka ialah anak tempatan yang sanggup berkorban untuk menaik­kan kembali nama PFA di persada bola sepak tanah air.

Fikirkanlah bahawa mereka juga insan-insan seperti kita yang juga mempunyai keperluan dan keluarga yang perlu ditanggung setiap bulan. Cuba bayangkan jika kita sendiri tidak menerima gaji, adakah kita masih mahu setia untuk bekerja?

Sumbangan RM1 adalah le­bih bermakna daripada peminat terus melemparkan kritikan ti­dak membina kepada pasukan.
Pada masa sama, peminat turut digesa memahami situasi yang melanda PFA ketika ini.

Pada ketika ini, itulah jalan yang dipercayai terbaik buat PFA sebelum Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan masa depan pasukan tersebut.

Sehubungan itu, mereka yang ber­minat bolehlah menyum­bang seikhlas hati menerusi akaun Bank Muamalat iaitu 09010003038713.

Buktikan sokongan anda kepada PFA!