Oleh itu adalah tepat sekali apabila peringatan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak me­nyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai ‘bapa segala pilihan raya’. PRU-14 itulah penentu nasib negara dan paling penting PRU-14 adalah penentu untung nasib bangsa Melayu.

Hakikatnya, apabila Perhimpunan Agung UMNO berakhir pada hari ini, perwakilan dan ahli UMNO perlu pulang ke kawasan masing-masing bukannya sekadar bercerita pemimpin mana yang mereka jumpa, selebriti mana yang mereka terserempak, tetapi lebih mustahak ialah me­nyampaikan mesej kepada rakyat apa amanat dan pesanan Najib.

Bagi pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian, tidak kira apapun jawatan mereka, hentikan segera soal mahu menjadi calon atau siapa yang akan menjadi calon. Penentu nasib UMNO dan masa depan negara serta orang Melayu terletak di tangan mereka.

Golongan inilah yang bakal mencorakkan tahap sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jika mereka masih berbalah, berebut-rebut mahu menjadi calon dan mahu terus memperjuangkan kepen­tingan politik peribadi, percayalah mereka akan menjemput petaka bukan sahaja kepada parti itu tetapi juga masa depan orang Melayu.

Najib sudah memberikan segala-galanya.

Beliau sudah memimpin negara dengan cara terbaik untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, beliau sudah memberikan peringatan yang cukup ‘keras’ bahaya ya­ng menanti negara dan beliau sudah melontarkan amaran natijah yang menunggu orang Melayu.

Kini terserah kepada pe­mimpin dan ahli UMNO tidak dikira apa peringkat sekalipun untuk memastikan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri tidak sia-sia dan segala per­i­ngatan Presiden UMNO tersebut tidak menjadi ibarat mencurah air ke atas daun keladi.

Hakikatnya, mereka sudah tidak perlu lagi diperingatkan berkali-kali berhubung pen­tingnya PRU-14 bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga negara dan bangsa Melayu. Oleh itu ja­nganlah butakan mata, pekakkan te­linga, keras hati untuk tidak mahu ‘menghadam’ fakta itu.

Berdasarkan perbahasan perwakilan dan kenyataan pe­mimpin kanan UMNO, satu perkara yang tidak boleh dinafikan ialah kebimbangan berhubung pemilihan calon. Masih wujud kerisauan ‘menebal’ dalam kalangan mereka bahawa penentuan calon boleh menjadi ‘benih’ yang akan ‘mencambahkan’ bahaya yang diperingatkan oleh Najib.

Atas sebab itulah pemimpin di peringkat bahagian tidak boleh bersikap hipokrit, berpura-pura, bersandiwara atau ‘melakonkan wayang kelas tertinggi’ dalam berhadapan PRU-14.

Mereka perlu jujur dan ikhlas apabila bercakap soal kesetiaan kepada pucuk pimpinan dan meletakkan kepenti­ngan parti mengatasi segala-galanya.

UMNO tidak boleh melangkah masuk ke gelanggang PRU-14 dalam keadaan ‘ada kecederaan’ yang boleh menjejaskan peluang UMNO dan BN bagi menumbangkan Pakatan Harapan diketuai DAP. Sebab itulah budaya ‘cah keting’ atau perangai ‘aku tak dapat, kaupun tak dapat’ perlu dihapuskan sama sekali.

Pakatan Harapan sebenar­nya tidak ada apa-apa kekuatan. Mereka hanya bersandiwara dalam satu gabungan semata-mata untuk mencari kuasa politik sebab itulah sehingga ke hari ini mereka masih berbalah soal siapa akan menjadi Perdana Menteri.

Mereka juga tidak ada apa-apa perancangan negara atau mempunyai apa-apa kelebihan berban­ding BN, tetapi mereka tetap yakin dan bersemangat mahu merampas Putrajaya, bukan kerana mereka kuat tetapi mereka percaya pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bawah akan berbalah soal calon sehingga sanggup menjadi pengkhianat kepada parti.

Justeru jika pemimpin dan ahli-ahli di peringkat bahagian benar-benar mempunyai maruah politik, jangan biarkan Pakatan Harapan ‘berpesta’ kerana kejahilan mereka berpolitik. Fahami dan mengertilah seperti mana kata Najib ‘percaturan perjua­ngan kali ini cukup serius dan tidak ada tawar-menawar lagi’.

Buktikan kepada pakatan tersebut bahawa pemimpin-pe­mimpin UMNO masih ada maruah dalam berpolitik. Mereka masih ada maruah untuk mempertahankan orang Melayu dan mereka masih ada maruah untuk memastikan negara tidak jatuh ke dalam cengkaman pembangkang yang DAP menjadi ‘tuannya’.

Bagi mencapai perkara itu, dengar, patuhi dan ikutlah pesa­nan Najib supaya sentiasa bermuhasabah. PRU-14 adalah detik, masa dan saatnya yang menentukan sejauh manakah pemimpin-pemimpin UMNO meletakkan maruah diri, parti dan negara mengatasi agenda peribadi.

Ingatlah jika mereka masih belum mahu insaf, hanya sekadar bersorak di PWTC, berpura-pura menyatakan bersemangat mencapai kemenangan dan bersandiwara melaungkan kesetiaan, percayalah merekalah yang akan tergolong dalam kelompok yang diungkapkan oleh Perdana Menteri akan berkata, “Wahai anak cucuku, ampunkan, ampunkan, dosa-dosa kami ini...’’

Bagi memastikan ‘dialog’ itu tidak berlaku maka bersihkan hati dan sucikanlah jiwa untuk membolehkan UMNO terus memerintah, BN terus berkuasa. Berjuanglah habis-habisan atas nama parti, bangsa, agama dan negara, bukannya berhabis-habisan untuk mencipta kejayaan peribadi yang pastinya tidak bererti jika UMNO tersungkur PRU-14 nanti. Oleh itu buktikan kalian masih ada maruah!