Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” (al-Anbiya’: 107).

Tahun ini tema sambutan adalah Kesatuan Ummah Kesejahte­raan Negara. Sambutan itu biasa­nya dimulakan dengan selawat nabi, diikuti perarakan dan sete­rusnya diisi dengan sesi ceramah atau forum.

Cuma yang perlu diberi perhatian, hendaknya sambutan Maulid kita bukan sekadar melaungkan slogan dan perarakan. Yang lebih utama mencari jalan bagaimana kita dapat mencontohi sifat dan keperibadian baginda SAW.

Jangan kita menjadi Abu Lahab. Keputeraan Nabi SAW bukan sa­haja disambut dengan penuh ke­gembiraan oleh ibu bapanya, Abdullah bin Abdul Mutalib dan Aminah binti Wahb tetapi juga sa­nak saudara termasuk Abu Lahab.

Kegembiraan Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad itu terbukti apabila dia memerdekakan hambanya, Suaibah. Namun, semua itu tidak bermakna kerana Abu Lahab enggan menerima dan menyahut seruan Rasulullah SAW supaya memeluk Islam sehinggalah dia mati dalam kufur.

Sebab itu, jangan kita jadi se­­perti Abu Lahab. Dia antara orang yang merai dan paling gembira dengan kelahiran nabi SAW tetapi dia mengingkari seruan baginda. Apabila Nabi SAW menyeru penduduk Mekah memeluk Islam di atas Bukit Safa, Abu Lahablah yang mencela ba­ginda sehingga Allah menurun­kan surah al-Masad.

Cinta dan kasih kita kepada Nabi SAW sepatutnya sepanjang masa. Bukan bermusim atau pada hari-hari tertentu sahaja. Antara bukti kecintaan itu hendaklah kita mengikuti sunnah-sunnah baginda.

Solat berjemaah adalah satu daripada sunnah yang amat diberi perhatian oleh baginda SAW. Rasulullah SAW dalam ke­sibukan baginda mentadbir nega­ra tidak pernah meninggalkan solat berjemaah.

Justeru, kalau kita mencintai baginda, kita juga mesti mencontohi baginda dalam aspek solat berjemaah. Semua orang tahu kelebihan solat berjemaah berbanding solat sendirian. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat lain pula ada yang menyebutkan 25 kali ganda. Ia seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): “Ya Allah, ampunilah dia ya Allah kasihanilah ia. Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat”. (Riwayat Muslim).

Solat berjemaah mendidik kita agar bersatu dan patuh kepada imam (ketua). Dalam solat, imam adalah orang yang diikuti. Sebab itu makmum perlu ikut perbuatan imam dalam solat. Walau sehebat mana pun pangkat dan darjat seorang makmum, waima ia Perdana Menteri atau raja, beliau tidak boleh mendahului perbuatan imam. Jika mendahului imam secara sengaja maka batal solatnya.

Persediaan sebelum solat berjemaah, iaitu membina saf juga bertujuan memupuk kesatuan umat. Sebab itu para imam akan memberi arahan supaya makmum membetul, merapat dan meluruskan saf sebelum solat ditunaikan.

Saf yang bengkang-bengkok menjejaskan kesempurnaan solat berjemaah dan boleh memberi ruang kepada syaitan ‘menyelit’ dan seterusnya menimbulkan rasa was-was semasa kita solat. Pendek kata, yang tersirat daripada yang tersurat daripada tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini juga sebenarnya turut menekankan aspek kesatuan tersebut.

Perintah bersatu turut ditegaskan dalam al-Quran. (rujuk ‘ali-Imran: 103). Dalam mentafsirkan ayat ini, Al Qurthubi berkata, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan persatuan dan melarang daripada perpecahan. Kerana sesungguhnya perpecah­an adalah kebinasaan dan al ja­maah (persatuan) merupakan ke­selamatan. (Al Jami’ Li Ahkamil Qur’an 4/159)

Satu lagi bukti kecintaan kita kepada Rasulullah ada dengan berselawat ke atas baginda. Walau sesibuk manapun jadual seharian, pastikan jangan tinggal berselawat ke atas nabi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi; wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu dan ucapkan salam kepadanya.” (al-Ah­zab: 56)

Paling tidak, hendaklah kita ber­selawat 10 kali sehari semalam agar mendapat 100 rahmat daripada Allah. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berse­lawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali.” (Riwayat Muslim)

Sambutan maulid ini bagi me­ngingatkan yang lupa dan dilalaikan oleh kesibukan dunia termasuk melayan gajet-gajet yang semakin canggih. Bagi mereka yang sentiasa mengingati baginda SAW, maulid menguatkan lagi kerinduan dan rasa kasih ke atas penutup para nabi itu.

Mengenai sambutan Maulidur Rasul, Imam As-Suyuthi di dalam Al-Hawi li al-Fatawa berkata: “Menurutku, asal perayaan Mau­lid Nabi, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Muhammad sejak kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong Bidaah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan baginda, menampakkan kesukaan dan ke­gembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad yang mulia.”