Ambil contoh mudah seperti latihan ketenteraan tidak kira sama ada ia hanya melibatkan satu negara atau pun latihan secara besar-besaran yang membabitkan beberapa negara, sudah agak pasti mempunyai maksud dan objektif tersendiri. Masalah akan timbul apabila negara yang tidak terlibat dengan latihan tersebut membuat andaian dan tafsiran yang mampu menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar latihan tersebut.

Umpamanya setiap kali secara berkala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) bersama-sama menjayakan latihan ketenteraan yang digelar Kerjasama Kesiagaan dan La­tihan (CARAT), ia menimbulkan pelbagai interpretasi menarik terutama sekali daripada saingan terdekat Washington iaitu China ke­rana lazimnya latihan ini berlangsung di perairan sensitif iaitu sama ada di Laut China Selatan atau Selat Melaka.

Beijing gusar dengan CARAT kerana khuatir latihan tersebut digunakan sebagai salah satu langkah persiapan menghadapi China dalam isu tuntutan bertindih sempadan maritim di Laut China Selatan. Tambahan pula CARAT bukan hanya melibatkan kerjasama Malaysia-AS tetapi juga dilaksanakan latihan serupa antara Filipina-AS dan Brunei-AS yang merupakan dua negara anggota ASEAN yang turut terbabit dalam tuntutan bertindih tersebut.

Begitu jua apabila buat julung kali ATM dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China mengadakan latihan ketenteraan yang dinamakan ‘Eksesais Keamanan dan Persahabatan 2015’ di Selat Melaka dari 17 hingga 22 Sep­tember 2015 yang dianggap terbesar pernah dilakukan oleh PLA dalam kalangan negara ASEAN. Washington memerhatikan perkembangan ini dengan penuh minat. Walaupun tema tersurat latihan adalah ‘Menangani Ancaman Bukan Tradisional dan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR)’ tetapi yang paling menarik perhatian apakah maksud di sebalik tabir perkembangan seperti ini.

Bukan sahaja faktor latihan ketenteraan yang mampu membawa isyarat yang berbagai-bagai, serupa juga dengan acara yang melibatkan pameran aset keselamatan dan pertahanan juga sarat dengan interpretasi yang pel­bagai. Pameran Antarabangsa Maritim dan Ae­roangkasa Langkawi (LIMA) yang diadakan setiap dua tahun um­pamanya, sentiasa mendapat perhatian ter­utama sekali apabila ada penyertaan dari negara kuasa besar terutama sekali Rusia dan China.

LIMA 2015 umpamanya membawa maksud yang begitu bermakna kerana pada ketika itu Kuala Lumpur sebagai pengerusi ASEAN turut menganjurkan acara sampingan bersempena LIMA iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Forum Perniagaan ASEAN, Sidang Kemuncak Penerbangan ASEAN, Himpunan Belia Asean serta Karnival Kebudayaan ASEAN yang antara lain sarat dengan strategi diplomasi.

Paling terkini Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-16 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 yang berakhir semalam juga mendapat perhatian yang agak istimewa. Jika latihan ketenteraan memberi maksud dasar luar pertahanan sesebuah negara, maka pameran seperti LIMA, DSA dan NATSEC bukan sahaja menjurus kepada warna warni dasar pertahanan tetapi juga memberi gambaran mengenai tahap kekukuhan ekonomi negara penganjur.

Kali ini kedua-dua pameran DSA dan NATSEC menyaksikan 1,500 pempamer dari 60 negara berhimpun di bawah satu bumbung bagi mempamerkan kekuatan dan teknologi ketenteraan terkini dunia yang boleh diunjurkan sebagai keyakinan pempamer terhadap penganjur. DSA umpama­nya yang buat pertama kali dianjurkan pada 1988 adalah pameran yang menjurus untuk memenuhi keperluan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi kini telah mencakupi sasaran pasukan keselamatan rantau Asia Pasifik.

Perlu ditekankan juga salah satu sebab mengapa DSA sentiasa mendapat sambutan daripada pempamer adalah ke­rana perancangan Malaysia untuk menjadi negara hab industri pertahanan untuk rantau Asia Tenggara. Kekuatan ekonomi Malaysia dan juga dasar fiskal yang diamalkan meyakinkan pengeluar aset pertahanan dan keselamatan bahawa Malaysia adalah saluran terbaik untuk meninjau pasaran Asia Tenggara.

Tidak dapat dinafikan ASEAN mempunyai per­se­fahaman ekonomi, kebudayaan dan sosial yang agak kukuh tetapi agak rapuh jika berkait dengan isu per­tahanan dan keselamatan. Sebab itu juga DSA dan NASTEC yang menghimpunkan menteri pertahanan dan panglima angkatan tentera negara ASEAN telah dijadikan sebagai medan untuk merapatkan persefahaman terutama sekali perkara yang berkait dengan perkongsian maklumat risikan.

Jika dikaitkan dengan isu tuntutan bertindih sempadan maritim Laut China Selatan, Malaysia telah berjaya melaksanakan dasar yang mendahului kedaulatan negara dan strategi melalui latihan ketenteraan adalah jelas mempamerkan kebijaksanaan Kuala Lumpur berhadapan kuasa besar seperti Washington dan Beijing.

Malah isu ancaman keganasan terutama sekali yang didalangi oleh kumpulan militan seperti Daesh sentiasa mendapat perhatian Kuala Lumpur kerana isu ini sering diselitkan dan dibincangkan dalam forum antarabangsa seperti yang berlaku dalam LIMA, DSA dan juga NASTEC.

Tetapi satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah kestabilan dan keutuhan ekonomi negara melalui dasar fiskal yang bertanggungjawab adalah sebab utama me­ngapa Malaysia sering diberi perhatian dan keyakinan tidak kira terhadap perkara berkaitan secara langsung dengan ketenteraan seperti latihan ketenteraan tetapi juga acara pameran seperti LIMA, DSA dan NASTEC.