Kemenangan tanpa bertan­ding bagi membolehkan beliau kekal menerajui parti tersebut me­ranapkan impian musuh-musuh politik Pas yang meng­harapkan berikutan wujudnya PAN, kedudukan Abdul Hadi akan tergugat. Mereka juga begitu yakin dengan tindakan Abdul Hadi menerima cadangan Dewan Ulama supaya Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan DAP sekali gus meninggalkan Pakatan Harapan akan menimbulkan kemarahan ahli-ahli Pas terhadap ulama berusia 70 tahun itu.

Tidak cukup dengan DAP, PAN yang adalah parti serpihan Pas turut ‘tumpang semangkuk’. Melalui segelintir pemimpin yang berada dalam Pas tetapi berjiwa PAN, mereka cuba memberi gambaran bahawa Abdul Hadi telah melakukan ‘kerosakan’ politik kepada Pas kerana meninggalkan Pakatan Harapan. Turut ­menyerang Abdul Hadi ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau yang kini menjadi sahabat karib Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengambil kesempatan ­menyerang Abdul Hadi dengan menganggap beliau kurang berkarisma berbanding ­pemimpin Pas terdahulu.

Dr. Mahathir yang dilihat sanggup ‘menyembah’ DAP bagi mencapai cita-cita politiknya membandingkan Abdul Hadi dengan dua Presiden Pas sebelum ini iaitu Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda dan Allahyarham Fadzil serta Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Abdul Hadi diserang sedemikian. Sebelum ini DAP dianggap ‘jahil’ dalam soal hubungan antara parti apabila memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi sebagai Presiden tetapi mahu be­kerjasama dengan Pas.

Secara tersirat ‘serangan’ ke atas Abdul Hadi dilakukan de­ngan tujuan mempengaruhi ahli-ahli Pas supaya menolak beliau dalam pemilihan kali ini. Tetapi ahli-ahli Pas sudah tidak sanggup lagi menjadi ‘pak turut’, dan maruah politik mereka jauh lebih baik daripada Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin PAN apabila tidak tunduk kepada ‘serangan’ DAP terhadap Abdul Hadi.

Justeru mereka memberi kemenangan kepada Abdul Hadi. Keputusan itu dibuat kerana mereka melihat apa yang dilakukan oleh Abdul Hadi dalam me­nguruskan parti itu adalah betul.

Walaupun tindakan Abdul Hadi membawa Pas keluar daripada Pakatan Harapan digembar-gemburkan oleh bekas pemimpin-pe­mimpin Pas yang kini ‘berpeluk’ dengan DAP akan memberi kesan buruk kepada Pas dalam pilihan raya umum datang, namun ahli-ahli Pas tidak mempedulikan ­‘hasutan’ berkenaan. Mereka percaya Abdul Hadi mempunyai seni politik tersendiri dalam memastikan Pas terus kukuh di persada politik tanah air.

Sejak awal lagi Abdul Hadi tidak pernah kisah dengan sera­ngan bertubi-tubi DAP, PAN mahupun PPBM. Sebaliknya beliau terus istiqamah dengan apa yang beliau gagaskan ketika menyampaikan ucapan di Muktamar Tahunan Pas Ke-62 di Kota Bharu, Jun tahun lalu apabila membawa Pas untuk melaksanakan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’.

Ketika itu beliau menegaskan: “Ahli Pas perlu menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan menyelesaikan, gagasan, cada­ngan atau langkah bertindak me­ngatasi sesuatu isu dan perkara. Laungan kasar dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertenta­ngan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan”.

Pendekatan politik inilah yang tidak disenangi oleh Pakatan Harapan kerana mahu Pas bersama mereka iaitu mempolitikkan apa sahaja isu dalam usaha mencapai cita-cita menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang. Begitu juga apabila Abdul Hadi menegaskan, Pas tidak kemaruk kuasa untuk menumbangkan UMNO sebaliknya mahu ­menegakkan syiar Islam, ke­nyataan itu di­bidas Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai ‘ucapan ­paling pelik dalam dunia sebagai ahli politik’. Mungkin bagi pemimpin-­pemimpin seperti Mohamad Sabu, ucapan itu pelik tetapi ahli-ahli Pas bukan seperti beliau. Mereka sentiasa patuh dan taat kepada Abdul Hadi sebagai Presiden. Ahli-ahli Pas sentiasa yakin sebagai seorang ulama, Abdul Hadi tidak akan membuat keputusan atau mengubah pendekatan politik parti tersebut tanpa sebab.

Oleh itu, mereka terus memberi kepercayaan kepada Abdul Hadi untuk menerajui Pas. Pendirian mereka sudah tentulah tidak disenangi Pakatan Harapan khususnya DAP. Ini me­mandangkan matlamat mereka adalah mahu melihat Pas dipimpin oleh seseorang yang bersedia mengikut telunjuk mereka. Hakikatnya mereka melakukan percaturan politik yang salah dan tidak bijak memahami sentimen ahli Pas. Memang benar mungkin ada segelintir dalam kalangan ahli Pas yang tidak berpuas hati dengan pendekatan politik Abdul Hadi. Namun mereka tidak sanggup lagi menjadi ‘pak turut’ kepada DAP. Biarlah ‘tugas’ itu diambil alih oleh PAN dan PPBM. Apatah lagi pemimpin DAP langsung tidak menghormati Abdul Hadi bukan sahaja sebagai seorang Presiden tetapi juga ulama.

Justeru melalui kemenangan Abdul Hadi, ia memberi isyarat kepada Pakatan Harapan, segala usaha mereka untuk menghakis keyakinan ahli Pas terhadap beliau hanya sia-sia.