Hang ni dah kenapa? tanya akak cun. Isteri telefon, suruh ambil anaklah kak, jawabnya dengan suara antara dengar tak dengar. Nada suaranya tidak semeriah sebelum itu. Akak cun senyum. Senyum jahat orang kata.

Entah kenapa hari itu, mulut akak cun ringan saja berkata-kata - “Eh, hang ni rupanya takut bini. Selalunya beria-ia benar kata hendak cari girl friendlah, nak kahwin lagilah tapi bila isteri telefon, awat hang kalut semacam nak balik rumah ni?”

Tiba-tiba, mukanya berubah kembali berseri-seri apabila akak cun cakap pasal kahwin lagi. Cepat-cepat dia membetulkan statement akak cun, katanya, dia bukan takut isteri tetapi isterinya yang tak takutkan dia.

“Siapa kata saya takut bini kak? Saya hormat isterilah. Kalau saya hendak kahwin lagi, saya kahwinlah apa pula hendak takut-takut. Masalahnya tak ada orang yang hendakkan saya sekarang ni. Kalau ada... memang jadi,’’ katanya acah-acah berani.

Kata-katanya itu disokong oleh beberapa rakan sekerja lelaki lain. Tiba-tiba saja riuh-rendah mereka bercerita hal kahwin lagi. Dalam hati akak cun, kalaulah isteri-isteri mereka dengar, mahu keluar rumah ikut tingkap semua ini.

Entah kenapa akak cun perhatikan, orang lelaki memang suka cerita bab-bab kahwin lagi ini. Belakang isteri berdegar-degar dia punya sembang. Tetapi apabila depan isteri, tak berani pula buka mulut pasal hal ini.

Bila sembang di kedai kopi atau mamak pula, bukan main lagi cakap besar dan ketawa kuat berdekah-dekah macam dia bayar sewa restoran itu tetapi bila isteri telefon, kelam-kabut habiskan teh tarik dan cepat-cepat balik ke rumah.

Seorang lagi kawan akak cun memberitahu, janganlah kaitkan pulang awal ke rumah atau sentiasa berada di rumah selepas habis bekerja dengan takutkan isteri.

Katanya, ada suami yang tidak suka melepak tidak tentu pasal selepas bekerja. Mereka akan terus balik ke rumah kerana mahu menghabiskan masa bersama dengan anak dan isteri. Itu bukan bermakna mereka takut isteri.

Menurutnya, kawan-kawan mengejek dia takut isteri apabila dia tidak suka keluar malam menyertai aktiviti melepak mereka. Bila dia menolak ajakan kawan-kawan, mereka akan mengatanya lesen kecil sampai tak boleh keluar malam.

“Ramai orang salah anggap, bila tidak suka melepak dengan kawan-kawan bukan kita takut isteri. Kalau tidak boleh sertai mereka memancing pun bukan takut isteri. Bukan semua lelaki suka keluar malam atau melepak ni,’’ katanya bersungguh-sungguh.

Sebenarnya, akak cun bukan hendak besar-besarkan sangat isu takut isteri. Tapi kadang-kadang geram pula mendengar orang lelaki galak sangat bercerita hal kahwin lagi, tetapi depan isteri, terkebil-kebil angkat muka pun tak berani bila disuruh pergi ke kedai.

Harap-harap encik abang tinggi lampai akak cun taklah galak begini di belakang akak cun. Lelaki sejati sepatutnya gentlemanlah. Jangan tunjuk belang di belakang saja.

Kawan sekerja akak cun, abang hensem pun tak pernah sembang hal kahwin dua depan akak cun walaupun muka dia hensem. Tak tahulah kalau dia tak sanggup dengar akak cun berleter panjang.

Berikut adalah ciri-ciri dan penyebab lelaki takut isteri yang akak cun dapat dalam media sosial:-

Sering menurut semua permintaan isteri

Segala kemahuan dan permintaan isteri dituruti kerana malas hendak dengar isteri marah-marah atau mengamuk dan bercerita pula kepada keluarga dan kawan-kawan sekerjanya.

Gaji isteri lebih banyak

Kebiasaannya perempuan yang berpendapatan lebih tinggi daripada suami lebih dominan dalam hal rumah tangga. Isteri yang bergaji tinggi ini sering mengatur serba serbi termasuklah mengatur pergerakan suami. Suami pula akur kerana bimbang, isterinya akan mengungkit-ungkit dia membayar bil itu ini termasuk menaja segala perbelanjaan percutiannya dengan anak-anak.

Isteri cemburu buta

Antara kenapa sebab suami takut isteri juga boleh di­lihat daripada sikap si isteri. Jika isteri terlalu kuat cemburu boleh jadi suami dikawal menyebabkan pergerakan terbatas. Mungkin sahaja si suami lebih kepada mahu menjaga hati isteri dan keharmonian rumahtangga tetapi ia dilihat kawan-kawan sebagai takut bini.

Anak-anak lebih rapat dengan suami

Jika anak-anak lebih rapat dengan anda berbanding isteri. Ini mungkin kerana si isteri garang atau mudah melenting tidak tentu pasal bukan sahaja dengan kamu tetapi juga dengan anak-anak. Anak anda akan lebih senang berkepit dengan anda berbanding si isteri.

Isteri memang semula jadi garang

Apabila dapat isteri yang garang macam harimau maka bersiap-sedialah. Selalunya isteri garang lebih dominan. Yang ini baru betul, bukan suami takut isteri tetapi isteri yang tidak takutkan suami!