Ia mewujudkan persoalan di benak fikiran beliau, apakah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti akan dijadikan medan bagi memperkukuhkan kerajaan sedia ada atau menjadi medan untuk membalas dendam?

Sebenarnya bukan sahaja rak­yat biasa, malah dalam kalang­an ahli-ahli politik termasuk UMNO mereka juga tertanya-tanya bila pilihan raya diadakan. Mereka diberi gambaran kemungkinan besar pada tahun ini.

Tetapi perlu ditegaskan bukan soal bila pilihan raya, sebaliknya sejauh manakah persediaan Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO untuk menghadapi ‘satu pilihan raya’ yang dianggap penentu hidup mati pemerintahan parti itu yang berkuasa sejak awal merdeka lagi.

Dalam memperkatakan hal ini tiada perkara yang paling penting selain sejauh manakah keupayaan pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat akar umbi meyakinkan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada parti keramat orang Melayu tersebut.

Selain itu turut menjadi persoalan, apakah perangai lama dalam kalangan pemimpin-pe­mimpin bahagian sudah berubah, khususnya apabila menyentuh soal siapa paling layak bertanding dan boleh dikategorikan calon boleh menang.

Berdasarkan maklumat diterima penulis, kedudukan UMNO di peringkat akar umbi masih belum kukuh malah lebih meresahkan ada dalam kalangan ahli parti itu sendiri belum tentu mengundi parti berkenaan.

Mungkin fakta ini tidak begitu disenangi oleh ramai pihak, maklumlah sering kali yang kita de­ngar semuanya berada dalam keada­an baik tetapi fakta tetap fakta dan ia adalah satu hakikat yang harus diterima oleh semua pihak.

Keadaan itu berlaku kerana terdapat gerakan yang agak lemah di peringkat akar umbi dalam mendekati rakyat.

“Pilihan raya sudah dekat, sekarang bukan masa untuk membuat penerangan atau ceramah secara besar-besaran sebaliknya perlu turun ke padang mendekati rakyat bagi memboleh­kan UMNO mengetahui apa yang terbuku di hati mereka,” kata pegawai ber­kenaan ketika kami menikmati hidangan sup ayam kampung di sebuah warung di Seremban, Selasa lalu.

Turut menjadi perhatian ialah bagaimana ada pemimpin-pemimpin UMNO masih lagi dengan perangai lama iaitu mengumpulkan orang untuk menghadiri sesuatu majlis. Pendekatan yang dianggap strategi tahun 90-an itu disifatkan oleh pegawai ber­kenaan sudah tidak lagi relevan.

Ini memandangkan sama ada suka atau tidak, kehadiran orang ramai ke ceramah atau majlis anjuran pembangkang adalah secara sukarela. Walaupun yang hadir itu tidak sampai 1,000 orang itulah sebenarnya ‘ancaman’ kepada UMNO.

Justeru UMNO di peringkat akar umbi perlu memahami senario ini dan bukannya cuba menarik perhatian pemimpin Pusat dengan kehadiran ramai orang tetapi sokongan belum tentu menyebelahi parti tersebut.

Turut perlu diberi perhatian ialah di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang BN khususnya UMNO menang dengan majoriti undi bak kata orang, ‘nyawa-nyawa ikan’. Malangnya ada segelintir wakil rak­yat berkenaan masih belum sedar. Mereka lebih sibuk dengan urusan politik peribadi berban­ding untuk mengukuhkan kedudukan di kawasan ber­kenaan.

Walaupun penduduk di kawasan tersebut sudah memberi ‘isyarat’ akan menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang tetapi mereka tidak juga insaf-insaf.

Dalam berhadapan dengan wakil rakyat seumpama ini, UMNO perlu berani untuk memastikan individu seumpama itu tidak lagi dipilih bertanding. Parti itu mempunyai pilihan sama ada mahu mengekalkan kemenang­an parti atau mempertahankan orang yang sah-sah akan kalah.

Menyentuh soal calon juga, penulis turut diberitahu oleh sumber-sumber bahawa masih ada ketua-ketua bahagian yang begitu liat untuk mengundurkan diri walaupun mereka tahu sudah tidak berupaya lagi ber­khidmat kepada rakyat di kawasan mereka.

Apa yang anehnya, kelompok ini tetap mahu mempertahankan kekuasaan dan berasa iri hati apabila melihat ada pemimpin lain khususnya dalam kalangan Pemuda UMNO mengadakan program-program di kawasan ter­sebut.

Individu seumpama itu tidak melihat kehadiran pemimpin muda sebagai petanda baik untuk parti sebaliknya melihat ia ancaman kepada perjalanan politik peribadinya.

Sikap tersebut sudah tentulah tidak akan menguntungkan parti. Sepatutnya apabila merasakan diri sudah tidak berupaya, mereka perlu memberi laluan kepada orang lain khususnya golongan muda kerana kelompok itulah yang akan menjadi pengundi terbanyak dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebenarnya, banyak lagi kisah yang penulis dengar mengenai situasi UMNO di peringkat akar umbi. Oleh itu dalam masa yang semakin suntuk ini, kepemimpinan parti di peringkat Pusat perlu melakukan sesuatu bagi memastikan UMNO tidak kecundang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sememangnya parti-parti pembangkang sedang berkecamuk, tetapi itu bukan bermaksud kemenangan sudah pasti dalam genggaman BN mahupun UMNO kerana pemikiran rakyat sukar dibaca. Inilah hakikatnya. Oleh itu berubahlah sebelum direbahkan!