Penulis percaya ketika ini ramai yang sudah membaca kisah menyedihkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang didera sampai mati oleh bapa dan ibu tirinya.

Walaupun undang-undang memperuntukkan yang seorang tertuduh itu belum bersalah selagi belum disabitkan kesalahan, namun kronologi kejadian termasuk kes lama tujuh bulan lalu menuding ke arah suspek - bapa kandung mangsa.

Mahkamah orang awam sudah pun menghukum suspek bersalah sebelum dibicarakan. Jika pun tidak sebagai ‘pembunuh’ kanak-kanak itu tetapi sebagai ‘pemusnah’ harapan seorang anak terhadap bapanya.

Bapa, panggilan untuk seorang lelaki yang sepatutnya diberi hormat kerana sifatnya sebagai tulang belakang dan pelindung keluarga rupa-rupanya bukan semua layak untuk menerimanya.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana azab dan seksanya seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan dan penderitaan yang dihadapi di rumahnya sendiri selama ini. Ke manalah lagi tempat hendak mengadu?

Apalah pula yang dapat dilakukan oleh seorang kanak-kanak yang baru berusia sembilan tahun untuk mempertahankan dirinya?

Persoalan demi persoalan bermain di fikiran penulis apabila membaca dan mengikuti kisah malang kanak-kanak perempuan Nur Aina Nabihah yang menemui ajal dalam keadaan menyayat hati gara-gara didera ahli keluarga sendiri.

Rata-rata komen pembaca Utusan Online turut menyelar perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan suspek terhadap mangsa yang adalah darah daging suspek sendiri.

Sudah hilang langsungkah sifat kemanusiaan dalam diri sehingga tergamak mendera anak sehingga sebegitu rupa? Sejauhmanakah besarnya kesalahan yang dilakukan si anak, sehingga tergamak seorang bapa ‘menghukumnya’ sehingga sebegitu kejam.

Mengikut rekod, suspek pernah ditahan kerana memukul sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa sebelum ini, namun dibebaskan atas alasan mahu mendidik anaknya itu.

Jika betul mahu mendidik, inikah caranya? Menendang, memijak dan melibas dengan tali pinggang tentera? Mangsa juga dilaporkan pernah dipukul dengan kerusi plastik.

Jelas dan nyata, perbuatan yang dilakukan ke atas mangsa adalah untuk melepaskan geram dan amarah. Anak kecil ini dijadikan tempat belasahan dan menunjuk kuat. Sungguh bacul dan durjana suspek sebagai orang dewasa hanya berani menunjuk ‘terer’ terhadap anak kecil yang tidak berdaya.

Seperti biasa, soalan susulan yang timbul di sini, ke mana ahli keluarga lain? Sanak-saudara, nenek atau datuk? Bagaimana pula dengan jiran tetangga, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa? Tidak adakah orang yang waras tinggal di sekeliling mangsa, yang melihat atau mendengar raungan atau rintihannya ketika diperlakukan lebih buruk daripada haiwan?

Adakah mereka benar-benar tidak tahu, tidak mendengar dan tidak melihat? Atau mereka buat-buat pekak dan buta?

Malang sungguh kerana kita sebagai orang dewasa telah gagal melindungi seorang kanak-kanak daripada menjadi mangsa.

Dalam kes terdahulu, pihak polis telah menjalankan siasatan dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya namun tidak ada tindakan susulan diambil kerana pihak pendakwaraya mempercayai alasan yang diberikan suspek untuk mendidik anaknya.

Malangnya dalam tempoh dari Jun tahun lalu sehinggalah ke tarikh malang tengah malam kelmarin, tidak ada siapa yang memantau ‘perbuatan mendidik’ anaknya oleh suspek. Selama tujuh bulan lamanya. Akhirnya, mangsa menemui ajal di tangan atau mungkin di kaki suspek, bapa yang konon mahu mendidiknya.

Dalam hal ini, kita semua termasuk pihak penguat kuasa dan pelaksana undang-undang bersalah kerana tidak menyelamatkan mangsa.

Kalaulah kes mangsa pada Jun tahun lalu disusul dan dibuat pemantauan secara teliti. Kalaulah pihak Timbalan Pendakwa Raya meneruskan pendakwaan ke atas suspek dan tidak melepaskannya begitu sahaja. Kalaulah ibu kandung mangsa dan siapa juga yang terlibat membuat aduan dalam kes sebelum ini berkeras meneruskan pertuduhan ke atas suspek. Kalaulah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat misalnya peka dengan kes ini dan menghantar pegawainya menyusul keadaan anak ini dari semasa ke semasa, Nur Aina Nabihah mungkin masih lagi bernyawa.

Namun bercakap tentang ‘kalau’ dan kebarangkalian tidak akan membawa ke mana. Nasi sudah menjadi bubur. Kanak-kanak perempuan malang ini sudah mati kerana didera. Menemui ajal di dalam rumahnya sendiri, oleh ahli keluarganya sendiri.

Hanya kerana kita sebagai anggota masyarakat, anggota pihak berkuasa dan ahli perundangan gagal membela nasibnya. Suara anak kecil yang kita diamkan di tangan orang dewasa yang kita percaya bulat-bulat patut menjadi pelindungnya.

Derita Nur Aina Nabihah sudah terhenti. Namun perbuatan ‘pembunuhnya’ perlu dibalas dengan seberat-berat hukuman yang ada.

Dalam pada itu, sudah tiba masanya pihak berkuasa khususnya yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kebajikan dan hak kanak-kanak di negara kita mengambil sikap peka dan prihatin terhadap apa jua perkembangan yang berlaku membabitkan golongan lemah ini.

Dengarlah suara kecil mereka. Pekalah dengan kes-kes dera yang berlaku biar di mana sahaja. Apatah lagi yang pernah diadukan ke pengetahuan pihak yang berkuasa, tidak kira kepada polis, pejabat khidmat masyarakat, pejabat wakil rakyat, pentadbiran sekolah apatah lagi yang pernah dibawa ke mahkamah.

Mungkin sudah tiba masanya pegawai-pegawai khidmat sosial ditugaskan menyusul kes-kes berkaitan termasuk mengunjungi potensi mangsa di rumah dan kediaman mereka sebagai langkah waspada dan berjaga-jaga.

Tidak salah mencegah sebelum parah. Marilah kita hentikan perbuatan bacul mereka yang hanya tahu menunjuk berani ke atas orang yang lemah dan tak berdaya.

Semoga tidak ada lagi Nur Aina Nabihah lain selepas ini.