Ini memandangkan arus di peringkat akar umbi tidak me­ngizinkan untuk UMNO terus me­lakukan tindakan politik yang dilihat masih belum mahu be­­r­ubah biarpun sudah rebah.

Sebagai pemimpin berpengalaman, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi amat memahami sentimen dalam kalangan ahli UMNO.

Mereka mahu melihat UMNO keluar daripada pemikiran dan pendekatan politik lama yang sudah terbukti akhirnya tidak me­nguntungkan mereka.

Membenarkan jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan bukanlah bermaksud mahu menyingkirkan mana-mana pemimpin, sebab itulah Ahmad Zahid ­menegaskan, beliau dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berlapang dada dan bersikap terbuka dalam isu yang mula dibangkitkan pertama kalinya oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Walaupun pada mulanya ada dalam kalangan sesetengah pe­mimpin UMNO tidak selesa de­ngan kelantangan Khairy yang membantah cadangan supaya jawatan tertinggi tidak dipertan­dingkan, namun majoriti mereka bersetuju dengan pemimpin ber­usia 43 tahun itu.

Hakikatnya, UMNO tidak boleh lagi berpolitik cara lama. UMNO memerlukan perubahan secara total sama ada dari segi memantapkan barisan kepemimpinan mahupun pendekatan.

Tidak boleh lagi berpolitik mahu menjaga hati ketua-ketua bahagian atau mana-mana pemimpin.

UMNO perlu bangkit, ­biarpun dengan mengekalkan wadah perjuangan sedia ada tetapi UMNO perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Dan apabila MT membuat keputusan menyerahkan kepada Khairy untuk menstrukturkan semula UMNO, walaupun ia boleh dianggap langkah tepat, namun tempoh sebulan yang diberikan untuk beliau menyelesaikan tanggungjawab tersebut boleh disifatkan terlalu singkat.

Oleh itu penulis secara peri­badi berpendapat, MT UMNO perlu memberi ruang dan masa lebih panjang kepada Ketua Pemuda UMNO tersebut untuk ­melaksanakan tugas tersebut, paling tidak pun sehingga akhir tahun ini.

Ini memandangkan tugas beliau amat berat kerana penulis difahamkan ia bukan sahaja melibatkan soal UMNO sahaja tetapi juga komponen Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan terma­suk di Sabah dan Sarawak.

Seperkara perlu diingatkan, UMNO dan BN bukan lagi parti pemerintah. BN ber­kuasa di Perlis, Pahang dan Sarawak.

Di negeri-negeri lain BN adalah pembangkang dan di sesete­ngah negeri, BN mahupun UMNO memerlukan perubahan secara menyeluruh termasuk dari segi kepemimpinan.

Semua itu perlu dikaji oleh Khairy kerana menstrukturkan semula UMNO bukan hanya melibatkan soal di peringkat pusat atau dasar sahaja tetapi juga membentuk barisan kepemimpinan yang mampu meraih kembali kepercayaan dan keyakinan ­rakyat kepada UMNO serta BN.

Bagaimanapun perlu ditegaskan, UMNO bukanlah parti picisan, sebaliknya jika mengikut kepada statistik keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang tersebar baru-baru ini, UMNO merupakan parti yang mencatatkan jumlah undi popular paling tinggi iaitu 21.15 peratus atau 2.5 juta bagi memenangi 54 kerusi Parlimen.

Ia diikuti DAP yang mendapat 2.1 juta undi dan PKR serta Pas yang masing-masing mendapat 16.89 peratus undi (2.041 juta undi) dan 16.70 peratus (2.018 juta undi), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN pula mencatatkan perolehan undi di bawah 1 juta.

Namun begitu kalah tetap kalah. UMNO dan BN sudah me­nunjukkan kematangannya de­ngan menerima secara terbuka keputusan yang dibuat oleh rak­yat.

UMNO tidak mencanangkan soal undi popular tersebut seperti mana pernah dilakukan oleh sesetengah parti sebelum ini.

Apa yang penting adalah bagaimana UMNO menjadikan perolehan undi popular tersebut sebagai pembakar semangat ke­rana seperti mana kata Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan: “Jangan patah semangat supaya hasrat untuk berjuang dan berbakti kepada masyarakat akan dapat kita hidupkan kembali. Kita bukan berjuang atas kepentingan ­peribadi tetapi kita nak pastikan yang dapat manfaat adalah rak­yat.”

Sememangnya UMNO perlu mempunyai semangat untuk bangkit semula, tetapi sekadar semangat sahaja tidak mencukupi kerana apa yang lebih penting adalah mengatur strategi supaya parti keramat orang Melayu itu kembali megah di persada politik tanah air.

Dalam mencapai usaha itu, pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu benar-benar jujur bagi meneruskan perjuangan parti.

Mereka tidak boleh lagi bersikap hipokrit apatah lagi bersandiwara untuk menjaga hati pe­mimpin sehingga akhirnya parti yang menjadi ‘mangsa’.

Cabaran UMNO untuk bangkit semula jauh lebih hebat memandangkan mereka kini adalah pembangkang. Namun ini bukanlah mustahil.

Kuasa politik bukan ada di tangan parti mahupun seseorang pemimpin tetapi di tangan rak­yat. Merekalah penentu untung nasib sesebuah parti.

Justeru jika UMNO benar-benar mahu meraih semula soko­ngan rakyat maka lakukanlah perubahan.

Berilah masa mencukupi kepada Khairy untuk me­lakukan penstrukturan semula.

Pada masa sama, penulis bersetuju dengan cadangan agar ahli-ahli MT turun bertemu dengan pemimpin dan ahli UMNO di pe­ringkat akar umbi.

Ini wajar dilakukan kerana semangat mereka perlu dipulihkan.

Ahli-ahli UMNO harus diberikan keyakinan bahawa parti itu akan bangkit semula dan ia hanya akan berjaya jika mereka bersatu, setia dan paling penting sanggup berubah sikap demi meraih sokongan rakyat.