MAHDZIR KHALID
MAHDZIR KHALID

Kesemua mereka adalah remaja yang tercicir persekolahan sehinga terjebak dalam gejala sosial termasuk mengambil dadah. Lanjutan itu pelbagai pihak menuding jari mempersoalkan sistem pendidikan negara.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD . ASRON MUSTA PHA pada Isnin lalu, Menteri Pendidikan DATUK SERI MAHD ZIR KHALID mengupas isu yang hangat diperkatakan itu.

MINGGUAN: Apabila kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah disahkan dilakukan oleh sekumpulan remaja bawah umur, masyarakat mula bercakap soal kejatuhan moral dan mengaitkannya dengan kegagalan sistem persekolahan kita, apa pandangan Datuk Seri?

MAHDZIR: Tidak ada kegagalan sebenarnya. Hakikatnya, mereka yang berada dalam pelbagai lapangan pekerjaan hari ini sama ada ahli politik, profesional, teknokrat atau sebagainya, lahir daripada sistem pendidikan yang ada.

Sistem itu tidak gagal cuma pada saya kita mungkin perlu meneliti semula untuk disesuaikan dengan cabaran semasa. Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan dasar yang jelas dalam pendidikan kebangsaan, dari awal lagi kita telah perincikan.

Itulah sebabnya ramai dalam kalangan anak orang kampung walaupun ibu bapanya tidak bersekolah, anak mereka boleh menjadi seorang profesional kerana kerajaan menyediakan dasar yang jelas.

Dalam soal pendidikan ini, saya pecahkan kepada dua segmen iaitu 30 tahun bagi setiap segmen. Segmen pertama (1957 hingga 1980-an) dan segmen kedua (1990-an hingga 2017).

Bagi segmen pertama istilah yang boleh digunakan untuk tempoh itu ialah asal ada. Asal ada sekolah, asal ada guru, asal ada buku teks maka cukuplah untuk dinamakan sebagai pendidikan.

Kemudian datang segmen kedua yang membawa cabaran baharu dalam pendidikan negara.

Kita masih pakai dasar yang sama tetapi selepas tahun 2000 kita mula memikirkan untuk mentransformasikan dasar pendidikan negara agar bersesuaian dengan tuntutan zaman, maka lahirlah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015.

Ada lapan anjakan dalam pelan itu, sebab yang pertama tuntutan masyarakat dalam segmen kedua.

Apa tuntutan masyarakat? Mereka mahu kepada kualiti pendidikan.

Dalam segmen pertama mana ada tadika, murid akan terus masuk sekolah ke darjah satu tetapi dalam segmen kedua ini, masyarakat menuntut kepada pendidikan awal kanak-kanak.

Sebab apa? Sebab sosial budaya dan landskap ekonomi negara telah berubah daripada segmen yang pertama.

Malaysia dari negara pertanian, berubah kepada industri, kemudian multimedia dan sekarang digital.

Dalam perubahan ini, sosio-budaya juga berubah. Dahulunya horizontal kini berubah kepada vertikal.

Di mana vertikalnya? Ruang yang paling besar dalam masyarakat kita sekarang adalah kumpulan kelas pertengahan, pertengahan atas dan yang kaya.

Di bawah kumpulan kelas pertengahan ini adalah golongan masyarakat M40 yang berpendapatan sederhana dan seterusnya kumpulan B40 yang berpendapatan rendah dan akhir sekali yang kita istilahkan miskin tegar.

Bila sudah terjadinya vertikal, keperluan, kehendak dan tuntutan masyarakat kita juga berubah.

Bagi kelompok pertengahan dan ke atas mereka mahu pendidikan berprestij sehingga rata-rata memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa.

Isu melibatkan kumpulan B40 terutamanya yang menetap di bandar, apabila tuntutan kewangan keluarga banyak menyumbang kepada masalah kejatuhan enrolmen kehadiran, keciciran dan penglibatan dalam aktiviti tidak sihat.

Puncanya banyak dan salah satunya adalah isu kewangan serta perpecahan keluarga.

Banyak kes yang kita dapati, pelajar miskin ini duduk dengan emak selepas ibu bapa bercerai. Emaknya pula menyewa rumah dan terpaksa berkerja untuk menampung keluarga sehingga tidak sempat untuk mengambil kisah soal sama ada anak pergi sekolah atau tidak. Ini yang berlaku.

Keduanya ada kaitan pula dengan penyalahgunaan dadah, samseng, buli, dan gengsterisme.

Inilah yang jadi kebimbangan dan betullah selepas peristiwa tahfiz di Keramat, ada unsur yang boleh dikatakan bahawa berlaku gangguan terhadap nilai dalam masyarakat yang berkait dengan sahsiah diri, personaliti serta disiplin.

Jadi kita kena tengok balik secara holistik, apa sebenarnya yang terjadi? Saya kira satu daripada lontaran masyarakat adalah mereka mahu kita melihat semula sistem pendidikan kita.

Saya sendiri sebagai menteri pun mahu perkara serupa. Kita bukan sahaja mahu pendidikan kita hanya memberi kecemerlangan akademik tetapi lebih penting mesti seiring dengan sahsiah diri.

Apa langkah kerajaan setakat ini?

MAHDZIR: Kalau bercakap soal langkah ia terbahagi kepada dua bahagian. Pertama jangka pendek dan seterusnya jangka panjang.

Jangka pendek ini langkah segera yang perlu kita laksanakan, apa yang perlu dibuat sebab isu disiplin memang berlaku, melibatkan permasalahan dadah, buli, gengsterisme dan sebagainya.

Bagi saya, kita perlu mempunyai strategi lautan biru, bukan hanya libatkan Kementerian Pendidikan tetapi semua pihak khususnya agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni, teknokrat, serta tenaga profesional.

Kita perlu perhalusi bersama apa sebenarnya yang patut dibuat dan kemudian baru kita fokuskan.

Ia memandangkan kita mempunyai 10,175 buah sekolah di Malaysia, tetapi tentu sekali apabila bercakap soal disiplin, fokus kita kepada sekolah yang menjadi hotspot.

Langkah jangka pendek ini kita memerlukan tindakan bersepadu daripada semua agensi dan di peringkat kementerian, penyelesaian jangka pendek ini perlu dibuat tiap-tiap hari melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, pegawai pendidikan daerah (PPD), pengetua dan pihak sekolah.

Dalam hal ini, salah satu pendekatan baharu yang saya perkenalkan ialah program Perintisan Industri Menengah Atas (PIMA).

Program ini baru sahaja kita rintis tahun ini dan akan perluaskan ke sekolah hotspot mulai tahun depan. Melalui PIMA, mana-mana pelajar bermasalah, dengan persetujuan ibu bapa mereka akan ditempatkan selama tiga hari di industri manakala dua hari lagi mereka perlu ke sekolah dalam seminggu.

Sekolah yang dipilih pula buat masa ini ialah yang berada dalam radius lima kilometer dari kilang dan berdasarkan penilaian awal pelajar bermasalah ini seronok menimba kemahiran begitu.

Contoh yang kita telah buat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra di mana para pelajar bermasalah diberi latihan kemahiran di kilang motosikal dan pada akhirnya nanti, selain Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia peringkat satu.

Kita harapkan dengan sijil kemahiran ini mereka mampu mencari pekerjaan atau menyambung pendidikan.

Yang keduanya langkah jangka panjang. Ini nak kena duduk sebagaimana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebut, kena ada bengkel, meja bulat, sama ada nak kena tengok balik sistem pendidikan atau macam mana. Ini bukanlah bermaksud kita nak rombak dasar tetapi kita mahu kepada penambahbaikan.

Dalam mendepani isu sosial melibatkan pelajar, kerajaan perlu bertindak bukan sahaja secara luar kotak tetapi mesti berani, apakah kementerian bersedia untuk berdepan dengan kerenah ibu bapa dan masyarakat dalam hal ini?

MAHDZIR: Betul, itu satu lagi masalah tetapi kalau kita boleh bermuafakat secara baik, saya fikir ia boleh ditangani.

Dalam soal ibu bapa ini kita perlu mendekati mereka dengan cara libatkan dalam aktiviti sekolah. Setakat ini, apa yang berlaku ibu bapa masih lagi menjauhi sekolah dan jika terlibat pun hanya terhad kepada aktiviti PIBG sahaja.

Ini satu cabaran besar sebenarnya. Begitu juga dalam soal mendisiplinkan pelajar melibatkan keperluan merotan.

Dalam pekeliling masih ada lagi merotan dengan kuasa merotan ini diberikan kepada pengetua atau guru besar, penolong kanan dan guru disiplin.

Selain itu pengetua dan guru besar boleh turunkan kuasa kepada mana-mana guru untuk merotan tetapi tidak dibuat hingga kini kerana persoalan ibu bapa tadi.

Kemudian, merotan di tempat awam juga mendapat bantahan daripada masyarakat, hingga sudah tidak boleh merotan secara terbuka di khalayak.

Merotan sekarang hanya terhad di dalam bilik sahaja kerana ada ibu bapa menganggap ia bukan satu pendekatan bertamadun. Jadi mengajar ini hanya atas konsep kaunseling sahaja.

Tapi pada saya, tidak cukup macam itu. Kita kena pergi satu atau dua langkah ke depan lagi. Maknanya perlu ada hukuman jika melibatkan pelanggaran disiplin berat.

Saya bukan menentang mereka yang tak suka hukuman itu tetapi saya mahu anak-anak mereka berjaya.

Baru-baru ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong hukuman merotan, tetapi tidak kurang juga yang menentang.Oleh itu bagaimana ia hendak dilaksanakan?

MAHDZIR: Betul, saya maklum perkara itu apabila ada yang menyifatkan rotan sudah tidak lagi sesuai, tetapi saya berpendapat ia boleh dilaksanakan khususnya kes-kes yang berat.

Saya sudah meminta Pengarah Bahagian Sekolah Harian bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan dan penasihat undang-undang mengkaji semula peraturan sedia ada.

Merotan ini bukanlah semua, yang berat-berat ini kita hukumlah. Saya cadangkan kalau kes buli, ketuanya kita gantung sekolah sehingga enam bulan dan bawa mereka lihat penjara tetapi ada pula yang salah anggap.

Kita bukan hendak sumbat pelajar ini dalam penjara tetapi lawat penjara dan dengan itu mereka boleh melihat sendiri kekesalan banduan.

Bila pelan strategik bagi menangani isu sosial pelajar ini dijangka siap untuk dilaksanakan?

MAHDZIR: Dari segi hukuman itu saya berpendapat hujung tahun ini kerana ia bersifat tindakan jangka pendek.

Cuma untuk jangka panjang itu, kita perlukan pandangan pelbagai pihak khususya kumpulan pakar.

Saya sudah pun meminta Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti Pendidikan UKM duduk dengan kita tengok macam mana boleh membantu kami. Saya jangkakan tahun depan pelan ini siap.

Apa yang penting dalam soal pendidikan dan masalah disiplin, kita mahu cari jalan supaya pendidikan negara dapat berjalan serentak antara akademik dengan kelestarian bangsa berbudaya tinggi.

Ini kita dapat lihat dalam sistem pendidikan dan sosio-budaya Jepun. Di Jepun, mereka tiada sangat masalah sosial dalam kalangan pelajar sekolah ini dan kita perlu mencontohinya.