Semalam, dalam sidang akhbar di pejabat parti itu di Kota Bharu, beliau telah menuduh Pas Kelantan ke­tandusan pemimpin sehingga mahu mengimport teraju utamanya dari luar untuk bertanding di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Bagi saya sekarang bukan masa bawa masuk pemain import. Agaknya Pas Kelantan sekarang sudah tidak ada pakar politik,” katanya.

Apakah bekas Ahli Majlis Dewan Harian Pas Kelantan itu lupa bahawa kerusi Parlimen Kubang Kerian ketika diwujudkan pada tahun 1995 ditandingi oleh Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang ketika itu jaguh ceramah Pas kemudiannya bertukar tangan kepada Salahudin Ayub pada tahun 2004 dan 2008.

Kemudian diikuti dengan Nasharuddin Mat Isa dan Mohd. Hatta Ramli yang bertanding di Bachok dan Kuala Krai pada tahun 2008.

Soalnya pada ketika itu kenapa beliau tidak membantah dan kenapa baru kini beliau meluahkan rasa tidak puas hati dengan pemimpin luar yang diberi keistimewaan bertanding di kerusi selamat di negeri ini?

Untuk rekod, Wan Abdul Rahim diberikan kerusi hitam untuk Pas iaitu Gua Musang pada PRU-13 yang menyaksikan beliau tewas dengan majoriti yang amat besar kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Wan Abdul Rahim dalam sidang akhbar itu juga menyifatkan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bukan seorang pejuang kerana meninggalkan tanah tumpah kelahirannya dan memilih kawasan selamat seperti Kelantan untuk bertan­ding.

Jika begitu hujahnya, apakah Presiden PAN sendiri iaitu Mat Sabu bukan pejuang kerana berasal dari Puala Pinang kemudian datang bertenggek di Kubang Kerian?

Walaupun Pas Kelantan masih belum mendedahkan calon yang akan bertanding di negeri ini pada PRU-14, namun sudah tersebar khabar angin yang Tuan Ibrahim akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Pemimpin utama lain yang dikatakan akan bertanding di negeri ini ialah Ketua Pene­ra­ngan Pas, Nasruddin Hassan (Parlimen Bachok) serta Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (Parlimen Pasir Puteh).

Justeru, bukanlah suatu perkara aneh jika Pas Kelantan memberikan ruang kepada pe­mimpin utamanya untuk bertanding di negeri ini pada PRU-14 nanti.