“Jadi pemimpin itu harus pintar, bijaksana dan memahami anak buah (kakitangan). Ertinya anda harus lebih pintar daripada anak buah, mengetahui lebih daripada anak buah. Anda tidak boleh memimpin hanya berdasarkan sehelai surat arahan,’’ kata Jusuf.

Peringatan itu disampaikan beliau kepada sekumpulan pelatih kepemimpinan nasional di Indonesia tetapi kalau mahu difikirkan ia juga sesuai dengan pelbagai kekalutan yang melanda negara ini berikutan kenyataan-kenyataan pemimpin politik terutamanya yang berada dalam kerajaan sekarang.

Kalau kita masih ingat suatu ketika dahulu ketika berada di luar kerajaan, mereka menjadi pengkritik hebat kepada anggota Kabinet, ada kenyataan menteri pada masa itu akan dieksploitasi atas tujuan politik. Walaupun penjelasan diberikan namun menteri atau timbalan menteri terlibat tetap ‘diserang’.

Tetapi kini apabila mereka berada pada kedudukan tersebut, barulah mereka mahu orang memahami bahawa menteri tidaklah bodoh. Sememangnya tiada siapapun yang menganggap mana-mana menteri berada pada tahap itu. Kalau sudah dilantik sebagai menteri sudah tentulah mereka seorang yang hebat, walaupun ada dalam kalangan mereka dipersoalkan kebolehannya.

Namun itu rezeki mereka untuk menjadi menteri, apabila sudah menteri, buatlah perangai seperti seorang menteri. Berhati-hati dalam tindak-tanduk dan cermat dalam berkata-kata supaya ia tidak disalah tafsir sehingga menjadi polemik atau lebih teruk menjadi bahan lawak dalam media-media sosial.

Apabila sudah menjadi polemik, maka pelbagai hujah mereka keluarkan untuk mempertahankan diri. Dalam soal ini penulis tertarik dengan pandangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melalui akaun Twitternya kelmarin yang menyatakan: “Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat agar mengelakkan salah faham yang akan menjadi kemelut awam’’.

Kenyataan itu tepat sekali kerana apa pun yang mahu dilakukan terutamanya yang berada dalam Kabinet perlu berhati-hati. Rakyat menilai segala tindak-tanduk dan tutur kata mereka. Setelah menjadi menteri, tidak boleh lagi beri alasan sesuatu tindakan atau kenyataan dibuat atas kapasiti peribadi. Ini memandangkan rakyat tidak melihat mereka dari sudut individu tetapi sebagai seorang menteri.

Ketika berbual-bual dengan sekumpulan orang kampung di Kedah baru-baru ini, mereka memuji Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang dianggap betul-betul memahami bidang tugas masing-masing.

“Sejak jadi menteri, depa (mereka) tak cari salah menteri dulu, depa buat kerja dan bila cakap ada isi, bukan macam sesetengah menteri, cakap ikut sedap mulut, macam tak sedar depa dah jadi menteri,’’ kata seorang warga emas yang mengaku menyokong Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berada dalam barisan Kabinet bukanlah mudah. Seseorang itu perlu betul-betul memahami bidang tugasnya, kalau tidak faham sesuatu perkara jangan terus buat kenyataan apatah lagi meluahkannya dalam media sosial, rujuk dahulu kepada pegawai-pegawai kementerian kerana mereka adalah kelompok yang memahami sesuatu isu berkaitan kementerian terlibat.

Perlu difahami apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan, mereka turut mengharapkan barisan Kabinet yang dilantik adalah terdiri daripada menteri-menteri yang bijaksana. Apabila wujud atau timbul sesuatu isu, mereka mengharapkan menteri itu akan melakukan sesuatu.

Malangnya, dalam kalangan anggota Kabinet masih ada yang seolah-olah tidak memahami apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Bagaimanapun untuk bertindak adil, rakyat perlu memberi masa kepada sesetengah menteri yang dilihat masih ‘teraba-raba’ dalam menyesuaikan diri sebagai anggota Kabinet. Mungkin dalam tempoh empat bulan ini, mereka masih lagi belajar, tetapi diharapkan janganlah terlalu lama sehingga sudah setahun menjadi menteri pun masih lagi ‘meraba-raba’.

Rakyat sekarang sudah bijak. Pada masa ini pun sebahagian besar sudah berasa kecewa dan menyesal kerana mengundi Pakatan Harapan. Sudahlah janji tinggal janji dengan pelbagai alasan diberikan selepas tidak mampu menunaikannya, jangan ditambah ‘derita rakyat’ dengan sikap ‘tidak pandai’ para menteri menyesuaikan diri.

Sebab itulah, dalam keadaan rakyat disogokkan dengan kenyataan bahawa banyak perkara dilakukan bagi ‘memulihkannya’ hasil pemerintahan terdahulu, adalah diharapkan para menteri akan cepat belajar dan tidak mengulangi kesilapan atau membuat kenyataan yang boleh menyebabkan mereka dilihat tidak sesuai untuk jawatan tersebut.

Apabila menjadi menteri, mereka menjadi pemimpin dan harapan seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik dalam menguruskan negara. Oleh itu jadilah menteri yang pandai dalam tindak-tanduk, bukannya dilihat tidak cerdik dalam perbuatan dan tidak berhati-hati apabila bersuara kerana jadi menteri bukan mudah.