Menuju penghujung 2018, kita diuji meredah beberapa ranjau. Integrasi nasional cuba dicemari, kekuatan institusi ekonomi Islam terganggu-gugat, hala tuju pendidikan nasional tidak tentu arah, kemampuan penjawat awam mentadbir perbandaran cuba dinafikan bagi diganti dengan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan banyak lagi.

Lapan bulan berlalu, sudah cukup rasanya masa untuk menilai hasil eksperimen itu bagi merencana agenda kemakmuran bermula dari berdetik waktu memasuki 2019. Hendaknya 2019 ini kita tidak lagi terikat dengan bebanan, memikul biawak hidup dan tiada beban batu digalas.

Sayugia juga saya sentuh di sini, dalam ranking dunia pada 2016 mengenai Indeks Kemakmuran oleh Legatum Index of Prosperity, London, negara ini berada pada ranking ke-38 daripada 149 buah negara yang dilibatkan dalam kajian itu. Ia adalah ranking terbaik pernah kita capai. Selepas itu kita kembali merudum ke dalam kelompok 40. Di antara sembilan tiang-seri kemakmuran yang menyumbang kepada penurunan ranking itu ialah yang berkaitan dengan tadbir urus dan keselamatan manakala tiang seri kebebasan individu saya tolak kerana ukuran mereka ialah mengikut acuan budaya barat yang tidak sesuai dengan negara ini.

Saya luahkan isi hati saya dan lemparkan pandangan mengenai agenda perkongsian kemakmuran yang wajib kita semua garap dan berikan komitmen menyokong kerajaan melaksanakannya.

i) Tadbir urus

Kerajaan serius menangani isu-isu berkaitan rasuah dan salahguna kuasa. Ini amat jelas dan mula menunjukkan petanda baik terhadap usaha dan komitmen ini.

Harapan kita semua pada 2019 ini ialah kerajaan beri tumpuan khas kepada usaha pertingkatkan tahap kecekapan pentadbiran, produktiviti dan penyelarasan pelaksanaan di semua institusi kerajaan, badan berkanun dan institusi kepentingan Melayu-Islam. Seringkali bidang kuasa jabatan kerajaan menjadi kurang relevan. Masalah ini berlaku dalam banyak sektor ekonomi yang ada struktur sedemikian dan kesannya ialah dalam beberapa dekad yang lampau, Negara kerugian berbilion ringgit kerana ketirisan akibat daripada kelemahan proses penyelarasan pelaksanaan yang diutarakan itu.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyarankan kepada kerajaan agar melaksanakan perkara-perkara berikut bagi memperkukuhkan lagi tadbir urus, lebih-lebih lagi dalam usaha memastikan agenda kemakmuran dapat diterajui bumiputera:

a) Penubuhan semula UDA.

b) Penyusunan semula Felda kembali ke model ekonomi asalnya, dan

c) Pemerkasaan sesungguhnya Mara sebagai agensi amanah bangsa Melayu.

ii) Pendidikan

Ekosistem pendidikan dilihat kian bercelaru dan ia amat membimbangkan. Di penghujung 2018, Perdana Menteri turut menyentuh isu pendidikan Islam di semua sekolah kebangsaan. Siapa pun menduduki kerusi Menteri Pendidikan akan berdepan dengan masalah kecelaruan ini. Dalam masa sepenggal seseorang itu menduduki kerusi itu tak akan mampu menyelesaikan semua kemelut yang melanda kementerian. Eloklah dirungkai satu per satu isu-isu ini.

Harapan kami bagi 2019 ialah kementerian beri keutamaan dahulu kepada kebajikan dan pemerkasaan guru. Perkara ini sudah begitu lama terabai. Di antara aspek kebajikan, keutamaannya ialah kepada sistem, fasiliti atau kemudahan perumahan. Kompleks perumahan guru wajib mencukupi dan memuaskan, baik di bandar atau di luar bandar. Aspek kedua ialah sistem pentadbiran pendidikan di mana setiap sekolah wajib mempunyai pentadbir pendidikan mencukupi bagi membolehkan para guru memfokus kepada tugas utama mereka iaitu mendidik, membina keperibadian dan membina bakat para pelajar. Sesebuah sekolah itu tidak semestinya mempunyai semua kemudahan yang canggih tetapi ia wajib punyai guru-guru yang punyai cukup masa kepada peranan perguruan mereka. Jangan sampai peranan perguruan mereka terabai kerana mereka dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran yang sepatutnya dilakukan oleh pihak lain. Maknanya, jangan bazirkan masa dan kepakaran perguruan mereka dengan memaksa melakukan kerja-kerja bukan berkaitan langsung dengan peranan perguruan mereka.

iii) Ekonomi

Rata-rata dunia meramalkan ekonomi 2019 akan lembab. Kerajaan juga semasa membentangkan Bajet 2019 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah. Bagi Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB), perkara paling membimbangkan mereka ialah pengurangan projek kerajaan dan pendekatan pembidaan terbuka. Saya tidak berhasrat menuding jari menyalahkan kerajaan melakukan perubahan ini. Bagi saya, pengaruh globalisasi ke atas ekonomi domestik jauh lebih besar daripada perubahan angin pentadbiran kerajaan. Lambat laun KEB wajib menerima hakikat ini bahawa ekonomi adalah sesuatu yang universal. Persaingan merebut kek ekonomi adalah sesuatu yang lumrah, maka kemampuan KEB bersaing adalah penentu kepada kejayaan mereka.

Pun begitu, di samping ungkapan yang Perdana Menteri sering lemparkan kononnya Melayu golongan pemalas, sebagai pemimpin pribumi, beliau komited memastikan agenda bumiputera dan Islam akan kekal terpelihara. Maknanya, beliau kekal komited menjayakan agenda ekonomi bumiputera Islam.

Harapan kami bagi 2019 agar KEB lebih berjimat (tidak ulangi budaya pembaziran seperti yang pernah berlaku), lebih inovatif, kreatif, produktif dan berdaya-saing. KEB wajib berani dan mampu wujudkan peluang bisnes mereka sendiri dan kurangkan kebergantungan kepada projek kerajaan yang kian menguncup. KEB wajib berani meneroka pasaran global yang lebih besar dan terbuka.

iv) Keselamatan

Tiada isu besar sepanjang 2018 kecuali beberapa insiden yang menimpa Jabatan Bomba dan Penyelamat. Yang menyayat hati ialah kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang menjadi mangsa kekecohan di sebuah kuil di USJ, Subang Jaya, Selangor. Harapan kami bagi 2019 ialah usaha memperkemaskan prosedur dan tatacara perlindungan keselamatan penjawat awam sepanjang mereka menjalankan tugas masing-masing. Tragedi yang menimpa arwah Muhammad Adib yang hingga kini kematiannya belum terbela, wajib dijadikan pengajaran kepada semua.

v) Kesihatan

Tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia adalah antara terbaik di dunia. Usaha kerajaan melarang merokok di tempat awam adalah sesuatu yang amat wajar. Ia nampak satu inisiatif yang kecil tetapi impaknya kepada kesihatan amat signifikan. Syabas kepada Kementerian Kesihatan.

Harapan kami bagi tahun ini ialah untuk kerajaan memberi keutamaan kepada jaminan bekalan air bersih berkualiti dan mencukupi. Isu bekalan air bersih dan berkualiti terpakai kepada semua kawasan baik luar bandar mahupun bandar, baik bagi keperluan isi rumah mahupun keperluan ekonomi dan perindustrian.

Itulah antara harapan saya bagi 2019. Saya yakin dan percaya, rakyat semua sudah puas berpolitik dan telah memilih kerajaan yang mereka idam-idamkan. Inilah tahunnya kita semua corak dan rencana pembangunan berteraskan kemakmuran, diterajui bumiputera untuk dikongsi bersama. Kita boleh lakukannya.

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).