Memikirkan mengapa kita begitu ghairah menghitung berapa jumlah pemain beragama Islam di dalam pasukan Coatia dan Perancis yang bakal membuat perhitungan akhir pada Piala Dunia.

Apakah Umtiti penjaring gol tunggal ketika Perancis menumpaskan Belgium tempoh hari Islam. Bagaimana pula Matuidi dan Pogba?

Walaupun kita tahu komposisi agama pemain dalam pasukan bola tidak mempengaruhi prestasi dan pastinya tiada kaitan dengan kita apatah lagi untuk membekas kepada kehidupan secara individu yang terperosok di pelosok dunia berbeza.

Mungkin kerana mahu tumpang bangga dan turut mempunyai rasa kebersamaan, telah membangkitkan keterujaan itu.

Pada masa sama kita seolah-olah tidak menghiraukan rakan seagama kita yang sebenarnya menjadi tanggungjawab kita.

Bahkan mereka di sekitar kitalah yang mempunyai pengaruh dan kesan kepada kehidupan kita.

Lebih buruk lagi kita tidak menghiraukan komposisi pimpinan negara. Sedangkan negara ini negara Islam.

Sudah pasti majoriti penduduknya beragama Islam. Sikap memandang enteng isu ini menyebabkan ramai mula tidak sensitif atau sengaja melanggar norma hidup yang selama ini kita terima dan fahami agar keharmonian bermasyarakat di negara ini berkekalan.

Perbuatan menghidang daging babi kepada penganut Islam dengan sengaja, memang tidak dapat diterima atas apa jua alasan.

Ini menunjukkan rasa hormat terhadap penganut Islam semakin tipis. Bukan salah orang bukan Islam, salahnya umat Islam sendiri yang lebih ghairah menonjolkan diri mereka sekular, liberal dan mengikut peredaran masa, hinggakan ada yang memperjuangkan LGBT.

Dan lebih buruk mereka yang menyahut seruan itu dan menjadikannya arus perdana atas dasar hak asasi manusia.

Meletakkan hak asasi manusia melebihi agama satu perbuatan yang amat salah.

Janganlah kita jadikan hak asasi manusia sebagai agama baharu dan kiblat kedua.

Sempena hari Jumaat, hari terakhir Syawal marilah kita muhasabah diri.

Kerajaan baharu sudah dibentuk. Malaysia baharu, kitalah yang mencorak pengisiannya.