Namun begitu ada juga tanggapan negatif apabila SPRM bertindak ke atas anggota agensi tersebut. Membalas dendam adalah antara tuduhan yang dilemparkan kepada SPRM.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, Ketua Pesuruhjaya SPRM, DATUK DZULKIFLI AHMAD menjawab tuduhan tersebut. Beliau turut menyatakan keazaman SPRM untuk memastikan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.


MINGGUAN: Apakah langkah dan pendekatan yang dilakukan oleh SPRM dalam memastikan Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (Gerah) mendapat sambutan masyarakat?

DZULKIFLI: Seluruh jentera dan tenaga kerja SPRM akan menjadi ejen penggerak kepada gerakan revolusi ini. Melalui gerakan Gerah, kita berharap akan terus membina dokongan serta sokongan padu daripada rakyat dan memastikan agenda penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa perlu menjadi agenda nombor satu negara.

Pada 8 Mei lalu, seramai 2,000 tenaga kerja SPRM di seluruh negara turun ke padang secara serentak dan berjumpa dengan masyarakat. Dalam perjumpaan itu, SPRM mengambil kesempatan mendekati rakyat dan menjelaskan betapa pentingnya rakyat membenci, menolak dan bangkit memerangi rasuah.

Melalui pendekatan ini juga SPRM akan membina inter-personal relationship dan seterusnya menjalinkan satu rangkaian kerjasama dengan rakyat agar mereka merasai keperluan untuk bersama dan membela SPRM dalam perang menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa. Pendekatan turun padang oleh SPRM akan dijalankan dalam minggu pertama pada setiap bulan tanpa gagal. Di bawah payung Gerah, SPRM juga melancarkan kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) yang akan dikembangbiakkan oleh pegawai-pegawai SPRM dengan bantuan rakan-rakan media SPRM di media cetak dan elektronik.

Kempen 3J bertujuan menyampaikan mesej kesedaran kepada rakyat agar tidak sesekali terlibat dalam perbuatan rasuah dan salahguna kuasa melalui perbuatan menerima dan memberi rasuah. Perkataan "Hulur, Kawtim dan Settle" adalah sinonim dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di negara ini dan SPRM mengambil pendekatan ini untuk membolehkan masyarakat lebih memahami hasrat dan tujuan kempen dilancarkan.

Alhamdulillah, pada ketika ini SPRM menerima pelbagai sokongan dan maklum balas positif daripada pelbagai lapisan masyarakat hasil inisiatif Gerah. Jujur saya nyatakan bahawa SPRM telah didekati oleh Persatuan Peniaga India Muslim, Persatuan Perniagaan dan Industri Cina, syarikat-syarikat gergasi konglomerat, para pimpinan dan golongan mahasiswa, pihak universiti-universiti tempatan, sahabat-sahabat media cetak dan elektronik yang lain serta agensi-agensi kerajaan yang amat menyatakan sokongan dan keinginan mereka untuk bersama SPRM untuk menjayakan Gerah.

Bolehkah Datuk ceritakan maklum balas yang diterima daripada rakyat?

DZULKIFLI: Tindakan dan pendekatan tegas serta agresif oleh SPRM dalam memerangi rasuah nyata semakin merimas dan melemaskan perasuah-perasuah. Lantaran kesungguhan SPRM dalam memerangi barah rasuah dan salahguna kuasa, maka hari demi hari, keyakinan, sokongan dan dokongan rakyat kepada SPRM semakin jelas dan meningkat.

Perkara ini kami rasai apabila turun bertemu rakyat di mana sejumlah besarnya melahirkan keyakinan dan rasa penghargaan mereka kepada SPRM secara langsung. Peningkatan keyakinan dan sokongan rakyat ini juga kami rasai apabila semakin hari jumlah aduan atau maklumat daripada rakyat mengenai rasuah dan salah guna kuasa semakin melimpah ruah.

Saya pasti keadaan ini berlaku kerana masyarakat mulai mempercayai jika aduan atau maklumat dikongsi bersama SPRM maka SPRM akan bersama mereka dan akan mengambil serius maklumat serta aduan tersebut dan tindakan pasti akan diambil.

Tambahan pula jika kita amati semakin banyak masyarakat daripada pelbagai kelompok termasuk ahli turut melahirkan sokongan mereka terhadap SPRM. Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan di SPRM berharap agar gelombang sokongan itu akan terus disemarakkan dan meningkat. Kami juga berharap masyarakat akan sentiasa mendoakan kesejahteraan kami para pejuang anti rasuah agar terus tabah dan istiqamah dalam perjuangan.

Baru-baru ini ada pihak menegur tindakan SPRM mengucapkan tahniah kepada UMNO sempena ulang tahun parti itu, sebenarnya apakah yang ingin Datuk capai melalu ucapan sedemikian?

DZULKIFLI: Masyarakat, khususnya suara-suara nakal yang menegur ini harus lebih bijak dan matang dan tidak melatah berkata-kata sambil berlapikkan agenda peribadi mereka. SPRM adalah sebuah agensi penguat kuasa anti-rasuah yang membawa mesej perjuangan amat besar dan universal.

Perjuangan SPRM memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa amat besar agendanya yang merentasi perbezaan agama, kaum, mahupun ideologi politik.

Jika SPRM takut untuk menyatakan sesuatu yang hak dan benar, apatah lagi yang membawa manfaat kepada perjuangan kami, maka apalah ertinya jihad yang kami bawa ini. Sekiranya ucapan SPRM itu dibaca secara keseluruhannya dengan penuh kejujuran dan kepintaran maka mereka akan sedar bahawa konteks besar ucapan tersebut adalah memberi peringatan kepada UMNO, sebagai antara parti politik utama di negara ini pemimpin dan ahli parti itu tidak harus mengkhianati rakyat dan perlu melaksanakan amanah serta tanggungjawab mereka kepada rakyat dengan menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam ucapan tersebut juga SPRM secara khusus meminta UMNO memberi sokongan Gerah yang dipelopori SPRM serta meminta agar UMNO menjadi penggerak utama bersama-sama SPRM untuk menjadikan ‘Rasuah Musuh No. 1 Negara’. Bukan mudah bagi SPRM dan saya sebagai seorang penjawat awam tertinggi yang masih berkhidmat untuk menyatakan perkara ini secara terbuka kepada UMNO. Namun perkara ini saya lakukan juga kerana saya yakin tidak harus merasa takut dan gentar untuk berdakwah ke arah kebaikan dan seterusnya menyatakan agenda perjuangan kami di SPRM.

Perkara ini akan kami nyatakan juga secara lantang dan berani bukan sahaja kepada UMNO malah kepada parti-parti politik yang lain juga sekiranya sesuai dan berkesempatan.