Setakat hari ini, penduduk ne­geri ini sudah 22 kali dilanda banjir kilat iaitu kejadian paling ba­nyak yang direkodkan di sesebuah negeri.

Banjir besar awal pagi Sabtu lalu juga adalah yang kedua dalam tempoh kira-kira tiga minggu yang sebelum ini juga disifatkan terburuk dalam tempoh 10 tahun.

Namun, hanya banjir kali ini yang benar-benar membuka mata banyak pihak berhubung betapa seriusnya kejadian bencana itu boleh berlaku di negeri ini sekiranya langkah pencegahan tidak diambil dalam kadar segera.

Memang diakui banjir besar Sabtu lalu disebabkan hujan luar biasa yang turut membawa angin kencang dan ribut kuat sehingga menyebabkan puluhan pokok tumbang.

Namun dalam beberapa keja­dian seperti tanah runtuh di le­reng bukit dan banjir lumpur yang menyebabkan air bertukar menjadi kuning dan bercampur tanah, situasi itu jelas menunjukkan adanya kelemahan pemba­ngunan oleh pihak berkuasa.

Dalam kebanyakan kejadian tanah runtuh, tragedi itu berlaku di bahagian lereng bukit yang ditarah atau terlalu dekat dengan kerja-kerja pembangunan khususnya projek perumahan berkepadatan tinggi.

Sedangkan sudah acap kali diingatkan, sama ada oleh pakar-pakar atau penduduk tempatan, struktur tanah di kawasan bukit negeri ini tidak sesuai untuk projek-projek berskala besar.

Namun dalam tempoh bebe­rapa tahun kebelakangan ini, pu­luhan projek baharu diberi kelulusan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada pemaju bagi tujuan pembangunan berisiko ini.

Ini juga menjelaskan mengapa keadaan banjir di negeri ini lebih bersifat mengejut dengan paras air naik mendadak sehingga penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda setiap kali hujan lebat.

Dengan kerja-kerja tanah yang aktif dijalankan, larian air menjadi berlipat kali ganda dan tidak mampu ditampung sistem saliran sedia ada yang boleh dianggap lapuk serta ketinggalan zaman.

Kandungan tanah yang tinggi ekoran kerja-kerja tarahan bukit juga menyebabkan saliran air tersumbat sekali gus melipat gandakan lagi risiko banjir kilat.

Faktor-faktor ini adalah ciptaan manusia atau lebih tepat kesan da­ripada pembangunan tidak terka­wal yang mana tanpa berlakunya ribut taufan atau hujan luar biasa lebat sekali pun boleh menyebabkan bencana banjir besar.

Namun ini adalah sesuatu yang gagal dipelajari dan diambil perhatian oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dan apa yang lebih dikesalkan ia berlaku di sebalik sekian banyak suara bantahan penduduk yang bimbang dengan pembangunan di lereng bukit.

Sebab itu Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak boleh dengan mudah mahu melepaskan diri daripada mengambil tanggungjawab terhadap bencana banjir besar yang sedang melanda ketika ini.

Rasa simpati yang dicurahkan seluruh rakyat Malaysia terhadap mangsa-mangsa banjir di negeri ini ketika ini tidak seharusnya menutup hakikat kegagalan pe­rancangan pembangunan kerajaan negeri juga menjadi antara punca bencana banjir kali ini bertukar tragedi luar biasa.  

Pampasan sewajarnya mengikut kemusnahan harta benda yang dialami penduduk perlu di­salurkan segera apatah lagi dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa berulang sepanjang 22 kali banjir melanda tahun ini.

Untuk satu tempoh jangka masa panjang, kerajaan negeri juga perlu bekerjasama dengan semua pihak khususnya Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan secara menyeluruh punca berlakunya banjir tersebut.

Atau sekurang-kurangnya mencari jalan meminimumkan kesan kemusnahan terhadap penduduk yang disebabkan banjir kilat setiap kali berlakunya hujan lebat.

Sesuatu yang pasti, penduduk Pulau Pinang selepas ini tidak lagi mampu tidur lena kerana banjir kali ke-23 boleh melanda mereka pada bila-bila masa.