Walaupun kebakaran melibatkan pusat tahfiz bukan kali pertama berlaku malah pernah pun memakan korban sebelum ini namun insiden ini memang luar biasa. Lain daripada yang lain.

Kebakaran yang berlaku bukan kerana kecuaian manusia atau perbuatan tidak sengaja, sebaliknya ada unsur khianat dan jenayah. Lebih mengejutkan pihak yang terlibat bukan pesakit mental mahupun pengganas tetapi anak-anak remaja kita.

Hakikat yang pahit untuk ditelan, kita telah gagal sebagai anggota masyarakat dalam menjalankan tanggungjawab untuk bantu menasihatkan segelintir pelajar tahfiz yang kita dakwa ‘tidak sebaik mana’ apabila pernah tertangkap oleh penduduk keluar malam.

Kita juga gagal membantu ‘memimpin’ tangan tujuh budak Keramat yang tidak lagi bersekolah, yang kerjanya hanya berpe­leseran tanpa hala tuju.

Kita gagal membimbing mereka ke jalan benar, berikan mereka peluang kedua selepas dibuang sekolah untuk menyerlah di bidang lain jika bukan akademik.

Kita hanya mengikut arus. Kita melayan mereka sebagai ‘sampah masyarakat’ dan tidak peduli pun apa yang akan terjadi kepada budak-budak ini asalkan tidak mengganggu kehidupan kita.

Kita tidak kisah tentang masa depan mereka, masa depan generasi muda.

Kita hanya mahu menjaga dan mengambil buah yang elok, sedangkan yang kurang manis, yang masam dan tidak berapa cantik warnanya kita enggan pandang pun walau sebelah mata. Kita abaikan mereka.

Kita mendengar orang bercakap tentang masalah dadah di Keramat, yang bukan lagi menjadi rahsia, malah melibatkan remaja sebagai penjual atau pengedar.

Namun apa tindakan kita? Kita hanya berdiam diri, membisu dan meneruskan hidup seperti biasa.

Apa yang lebih menyedihkan, cubalah baca komen-komen di bawah setiap posting berkaitan insiden kebakaran tahfiz itu dan kita akan temukan segala macam perkataan yang menyakitkan hati dan berbaur kebencian.

Pada satu ketika ada dalam kalangan kita yang berasa lega kerana remaja terlibat bukan anak sendiri. Kita rasa bertuah kerana yang ‘bersalah’ anak orang lain.

Dalam kata lain, kita merasakan tak apa insiden itu berlaku asalkan yang terbabit bukan anak kita.

Mentaliti sebeginilah yang mengundang petaka.

Kita tahu tentang kumpulan remaja bermasalah di Ke­ramat yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah tetapi kita hanya membutakan mata dan memekakkan telinga.

Kita tidak berminat apatah lagi bersungguh-sungguh membantu mencari penyelesaian terhadap masalah mereka.

Minggu lepas penulis berpeluang ‘menemui’ anak-anak muda yang kini menjadi penghuni Penjara Bentong. Ada dalam kalangan mereka akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, ada juga yang sedang membuat persediaan dari sekarang, untuk mendudukinya pada tahun hadapan.

Mereka berpakaian seragam sekolah seperti anak-anak kita. Mereka juga pergi ke sekolah seperti anak-anak kita. Bezanya, selepas habis sesi persekolahan, mereka kembali ke sel masing-masing, di sebalik tirai besi, bukan pulang ke rumah seperti anak-anak kita.

Anak-anak ini yang terjebak melakukan kesalahan, dan kini menjalani hukuman, cukup rindu untuk pulang ke rumah dan berada dalam pangkuan keluarga. Namun itu tidak lagi mampu dilakukan mereka.

Mujurlah peluang mereka untuk belajar masih terbuka. Ada sekolah khusus untuk mereka. Sekolah yang semasa ‘bebas’ mungkin paling tidak disukai mereka. Kini sekolah itu menjadi tempat paling menceriakan kehidupan mereka di penjara.

Mereka yang ditemui berulang kali mengatakan mahu belajar, belajar dan belajar. Sesuatu yang dulunya mungkin kurang dihargai mereka. Begitu juga oleh anak-anak sekolah yang ramai lagi berpeleseran dan mungkin ponteng di luar sana.

Masalah remaja bukan hanya di Keramat. Masalah dadah pula bukan hanya di ibu kota. Tinjau-tinjaulah kawasan sekitar kita.

Dengan itu kita mungkin dapat mengelakkan berulangnya tragedi Keramat pada hari muka. Ingatlah masalah anak orang pun boleh jadi masalah anak kita.